Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor FC dijangka sambung latihan minggu depan

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Pasukan Selangor FC dijangka kembali menjalani kem latihan berpusat bermula minggu depan sebagai persiapan menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.

Selepas kerajaan dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberikan kebenaran kepada pasukan untuk menjalani latihan menerusi pendekatan kuarantin pada tempoh fasa pertama sekatan pergerakan penuh ini, skuad Gergasi Merah itu bakal memulakan latihan dengan menetap di sebuah hotel di Shah Alam.

“Sekarang ini tak apa jika tidak dapat adakan aksi persahabatan, yang penting latihan diteruskan. Saya yakin selepas lockdown berakhir, perlawanan persahabatan dapat dibuat sebelum liga bersambung (bulan depan),” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon dalam kenyataan daripada MFL semalam.

Selepas 13 aksi musim ini, Selangor FC kini berada di kedudukan kelima dengan 19 mata.

Sementara itu, Johan berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk membaik pulih kualiti padang Stadium MBPJ, selepas separuh musim beraksi dalam keadaan padang yang kurang memuaskan.

Ia berikutan padang itu sering terjejas teruk terutamanya ketika hujan lebat, sekali gus mendapat kritikan berhubung kualiti gelanggang itu.

“Kami mengambil peluang masa rehat yang ada ini untuk menaik taraf padang dengan pemasangan sistem saliran bawah tanah untuk memperbaiki saluran air supaya kalau hujan, tanah di padang tidak akan menjadi begitu lembut dan permukaan padang juga tidak akan rosak.

“Kita harapkan sekurang-kurangnya pemasangan sistem saliran itu akan siap sebelum liga bersambung tetapi yang lain-lain mungkin akan mengambil sedikit masa lagi dalam tempoh beberapa bulan untuk betul-betul sempurna sepenuhnya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Selangor atur aksi persahabatan, perkukuh pasukan untuk Liga-M

SHAH ALAM, 16 FEB: Selangor FC akan mengadakan tiga perlawanan persahabatan untuk memastikan pemain tampil lebih mantap pada kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2021 bermula 5 Mac ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata pasukan Gergasi Merah itu bakal beraksi menentang Polis Diraja Malaysia pada 20 Februari, PJ City (24 Februari) dan Kuala Lumpur (27 Februari).

“Tiga perlawanan persahabatan ini amat penting untuk mengukur tahap fizikal dan mental semua pemain selepas agak lama tidak berlatih bersama.

“Selain kita perlu manfaatkan sepenuhnya tempoh latihan singkat diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengukur kesefahaman dan kesesuaian corak permainan pasukan,” kata Dr Johan Kamal Hamidon kepada SelangorKini hari ini.

Pada 9 Februari Menteri Kanan (Keselamatan) mengumumkan kebenaran kepada pasukan menjalankan latihan berpusat atau secara kuarantin sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran tersebut melibatkan sesi latihan pasukan Liga-M, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL).

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Selangor guna Stadium MBPJ tiga tahun untuk Liga-M

SHAH ALAM, 8 JAN: Kelab Bolasepak Selangor (Selangor FC) akan beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk sekurang-kurangnya tiga tahun bermula musim ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata persiapan rapi stadium yang akan menjadi gelanggang rasmi Gergasi Merah bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) sedang giat dijalankan memandangkan Stadium Shah Alam kini dalam proses baik pulih.

“Untuk musim ini kita sah beraksi di stadium tersebut paling kurang pun dua atau tiga tahun dan sudah membuat persiapan untuk tujuan itu,” kata Dr Johan Kamal Hamidon ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Sumbangan di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kos baik pulih Stadium Shah Alam melibatkan penggantian bumbung polikarbonat serta pendawaian elektrik pada bahagian itu mencecah RM30 juta manakala kos keseluruhan RM250 juta.

Sementara itu, Dr Johan berkata Selangor FC membuat sedikit kelainan dengan memperkenalkan jersi ‘home’ pada penghujung Januari berbanding yang ketiga sebelum ini.

“Tahun ini kita lancarkan jersi ‘home’ terlebih dahulu diikuti ‘away’ dan ketiga pada pertengahan serta hujung Februari,” katanya.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

FAS tumpu pembangunan pemain muda, tingkat kemudahan pusat latihan

SHAH ALAM, 1 NOV: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) akan memanfaatkan peruntukan RM20 juta dalam belanjawan negeri tahun depan bagi meningkatkan kemudahan sedia ada dan pembangunan pemain muda.

Setiausaha agungnya berkata pihaknya bersyukur di atas sokongan Kerajaan Negeri dan FAS bersedia melakukan yang terbaik demi kemajuan bola sepak Selangor.

“Kita akan menggunakan dana tersebut untuk meneruskan usaha meningkatkan kualiti jabatan teknikal, memampankan pembangunan elit pemain muda Selangor dan menaik taraf fasiliti di Pusat Latihan FAS,” kata Dr Johan Kamal Hamidon ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan pengumuman Dato’ Menteri Besar ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2021 pada Jumaat lalu adalah kepercayaan terhadap transformasi serta perancangan jangka panjang dijalankan di bawah pentadbiran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah selaku Presiden FAS.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan RM20 juta adalah bertujuan untuk pembangunan bola sepak iaitu RM10 juta daripada Kerajaan Negeri manakala bakinya sumbangan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Malaysia: Selangor pertimbang beraksi di Paroi jika PKPB dilanjut

SHAH ALAM, 20 OKT: Selangor mempertimbangkan untuk beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan dalam saingan TM Piala Malaysia jika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor Dr Johan Kamal Hamidon berkata pemilihan stadium berkenaan dibuat atas faktor logistik yang berhampiran dengan Lembah Klang.

“Kita akan tulis surat kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan pengurusan stadium berhubung cadangan itu. Logistik antara sebab kita memilih stadium berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

MFL dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan pindaan tarikh TM Piala Malaysia dari 25 dan 26 Oktober kepada 6 hingga 8 November selepas PKPB dikuat kuasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 27 Oktober.

Perancangan jadual baharu turut mengambil kira perkara berkaitan termasuk tarikh Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia yang melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim bermula 19 November hingga 4 Disember ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasukan bola sepak Selangor kini dikenali Selangor FC

SHAH ALAM, 2 OKT: Pasukan bola sepak Selangor kini dikenali sebagai Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) selepas proses penswastaan kelab itu diluluskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara rasmi, Selasa lepas.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Dr Johan Kamal Hamidon bagaimanapun, berkata pasukan berkenaan masih mengekalkan logo keramat mereka yang berbentuk perisai, dengan lambang jata Selangor pada bahagian atas.

Beliau berkata kelainan pada logo Selangor FC berbanding logo asal hanyalah pada perkataan persatuan yang digantikan dengan kelab.

“Keputusan untuk terus menggunakan reka bentuk logo sedia ada bagi Selangor FC adalah kerana logo itu cukup bermakna dan simbolik, selain telah lama sebati dengan pasukan Gergasi Merah.

“Ia juga merupakan lambang keberanian dan kedaulatan yang ada pada pasukan Selangor dan dilihat tidak mudah untuk ditukarkan begitu sahaja. FAS juga akan mengekalkan logo sedia ada,” katanya dalam kenyataan menerusi portal rasmi FAS hari ini.

Johan berkata Selangor akan terus beroperasi dan bertanding sebagai FAS sehingga akhir musim ini memandangkan peraturan dan undang-undang liga tidak membenarkan perpindahan atau pertukaran entiti ketika perlawanan bola sepak sedang berlangsung.

“Segala urusan komunikasi, penjenamaan dan pengurusan di bawah Selangor FC hanya akan bermula secara rasmi pada 1 Disember ini selari dengan permulaan musim bola sepak yang baharu,” katanya.

Mengulas mengenai penswastaan pasukan itu pula, Johan berkata perbezaan peranan yang lebih jelas akan dapat dilihat antara FAS dan Selangor FC.

“FAS akan memberi lebih tumpuan kepada pembangunan akar umbi Selangor manakala Selangor FC pula akan berusaha membangunkan pasukan bola sepak elit dan pengkomersialan bola sepak Selangor di peringkat profesional.

“FAS dan Selangor FC akan terus bekerjasama meskipun kedua-dua entiti mempunyai fokus tugas yang berbeza. Matlamat utama adalah untuk saling membantu bagi meningkatkan industri bola negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata Selangor FC di bawah kendalian syarikat Red Giants FC Sdn Bhd dimiliki oleh beberapa pemegang saham antaranya Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pemegang saham utama, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Menteri Besar Incorporated (MBI) dan FAS.

“Walau bagaimanapun, struktur pegangan saham ini bukanlah muktamad dan kekal kerana Red Giants FC Sdn Bhd sentiasa terbuka untuk menerima pelabur yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada pemegang saham syarikat itu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Proses penswastaan FAS dijangka selesai pertengahan September

SHAH ALAM, 25 OGOS: Proses penswastaan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kini hampir lengkap dan dijangka selesai pertengahan bulan depan, kata Setiausaha Agungnya Dr Johan Kamal Hamidon.

Beliau berkata hanya tinggal beberapa perkara berkaitan proses penswastaan tersebut sedang diselesaikan sebelum diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Alhamdulliah, proses penswastaan berjalan dengan baik. Hanya dua atau tiga perkara yang belum diselesaikan.

“Dari segi persetujuan dan perancangan, pihak Red Giants FC Sdn Bhd sudah ada persefahaman dengan FAS. Jadi tarikh akhir 30 September itu (bagi proses penswastaan) tidak menjadi masalah kepada FAS,” katanya mengulas mengenai perkembangan proses penswastaan pasukan bola sepak Selangor.

Terdahulu beliau mewakili FAS dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd Burhanuddin Mohd Radzi menandatangani perjanjian kerjasama sebagai penaja bagi program pembangunan bola sepak akar umbi, ‘FAS Soccer School’ yang disaksikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang juga Presiden FAS di ibu pejabat Les’ Copaque Production di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada peminat FAS bakal menjadi antara pemegang saham Red Giants FC Sdn Bhd, Johan berkata setakat ini pihaknya belum menerima apa-apa cadangan mengenai perkara berkenaan namun terbuka terhadap perkara tersebut.

“Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sering menyatakan bola sepak adalah sukan rakyat, jadi kita terbuka atas cadangan tersebut tetapi setakat ini ia (cadangan pegangan saham) tidak dikemukakan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin memberi amaran keras bahawa pasukan yang gagal dalam proses penswastaan akan disingkir ke liga bawahan, malah turut berdepan halangan beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Setakat ini, lima pasukan sudah melengkapkan proses penswastaan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Petaling Jaya City FC (PJ City FC), Negeri Sembilan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sarawak United.

FAM memberi tempoh sehingga 30 September ini kepada semua 24 pasukan Liga-M menyelesaikan proses penswastaan termasuk melengkapkan proses pemisahan status persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC).

Mengenai perjanjian kerjasama antara FAS dan Les’ Copaque, Johan berkata syarikat animasi itu bersetuju menaja sebanyak RM120,000 untuk tempoh setahun bagi program FAS Soccer School.

“Ia merupakan peringkat awal penajaan. Semakin banyak sekolah yang menyertai program ini, jumlah penajaan juga akan bertambah. Kita (FAS) dan Les’ Copaque memang mempunyai beberapa petunjuk prestasi utama untuk dicapai dan bagi peringkat awal jumlah ini (penajaan) sudah mencukupi,” katanya.

Beliau berkata setakat ini enam sekolah rendah dengan kira-kira 500 murid menyertai program itu dan FAS menyasarkan 12 sekolah akan menyertai program berkenaan menjelang hujung tahun ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

FAS Soccer Schools dapat pengiktirafan FAM

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Program pembangunan bola sepak akar umbi kendalian Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Soccer Schools mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Piagam SupaRimau berstatus emas.

Menurut kenyataan FAS hari ini, pengiktirafan berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Agung FAS Dr Johan Kamal Hamidon dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Latihan FAS baru-baru ini.

Menurut FAS, usaha FAM melancarkan program Piagam SupaRimau bagi menaikkan martabat dan pemerkasaan akademi bola sepak akar umbi di seluruh negara selayaknya diberi pujian kerana ia bukan sahaja meletakkan penanda aras baharu kepada program pembangunan sedia ada, malah mewujudkan satu ekosistem bola sepak lebih sistematik dan dinamik.

“Kewujudan piagam ini juga bakal mempromosikan lebih banyak akademi bola sepak akar umbi, membawa ke tahap lebih tinggi dan sistematik, seterusnya membawa banyak manfaat kepada komuniti bola sepak secara umumnya.

“Akademi bola sepak yang wujud di seluruh negeri Selangor juga menunjukkan minat dan memberikan respon yang positif untuk turut terlibat dalam program ini dan dijangka lebih banyak penerima piagam akan muncul di negeri ini,” menurut kenyataan FAS.

Program FAS Soccer Schools adalah program akar umbi yang menitikberatkan pengenalan kepada pembangunan bola sepak bermula dari kanak-kanak sekolah rendah berusia tujuh hingga 12 tahun di seluruh Selangor.

Ia juga adalah program jangka panjang untuk melahirkan individu holistik melalui perkembangan fizikal, mental dan pembangunan sosial melalui pendekatan bola sepak.

“FAS berterima kasih kepada FAM di atas pengiktirafan ini yang juga pengukuhan kepada program pembangunan bola sepak akar umbi. Piagam ini juga bakal menjadi garis panduan dan kayu ukur untuk program-program pembangunan bola sepak akar umbi di seluruh negara, khususnya di negeri Selangor,” menurut FAS.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor beraksi di Stadium UiTM untuk Liga-M – Dr Johan

SHAH ALAM, 1 OGOS: Pasukan Selangor akan menjadikan Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai gelanggangnya bagi saingan kejohanan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan disambung 26 Ogos ini.

Setiausaha Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berkata pendekatan itu diambil kerana Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan beberapa kertas cadangan untuk proses baik pulih Stadium Shah Alam.

“FAS membuat keputusan bermain di tempat lain sambil beri ruang Stadium Shah Alam ditambah baik. Malah, kita juga cuba elak ketika Liga-M berlangsung tiba-tiba proses penambahbaikan perlu dijalankan,” kata Dr Johan Kamal Hamidon dalam kenyataan.

Beliau berkata perkara itu juga selari ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mahu Liga-M dijalankan tanpa penonton.

“Pada awalnya FAS berhasrat untuk habiskan kesemua baki perlawanan musim 2020 di Stadium Shah Alam kerana kita telah menjual pas bermusim kepada penyokong. Justeru (dengan keputusan MKN dan MFL) kita memilih berpindah lebih awal kerana komitmen menyediakan tempat duduk untuk penyokong bukan lagi fokus buat masa ini,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Johan berkata FAS juga sedang mempertimbangkan Stadium MBPJ sebagai gelanggang sementara The Red Giants untuk aksi tahun depan.

“Saya faham perasaan penyokong yang mahu pasukan kegemaran beraksi di gelanggang sendiri tetapi proses tambah baik ini perlukan sumber dan masa terperinci. Diharap penyokong boleh bagi masa untuk FAS mengkaji, memahami dan mencari dana membina stadium sendiri,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Digi kekal rakan telekomunikasi rasmi FAS

SHAH ALAM, 9 MAC: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) terus mengekalkan Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) sebagai rakan telekomunikasi rasmi skuad Gergasi Merah musim ini, kata setiausaha agungnya.

Dr Johan Kamal Hamidon berkata jalinan kerjasama memasuki tahun kedua bersama rangkaian telekomunikasi terbesar Malaysia itu bagi mengukuhkan hubungan bersama peminat melalui peluang pemasaran dan penjenamaan di dalam stadium termasuk meletakkan logo korporat Digi di lengan kanan semua jersi Selangor.

Katanya, ia memberi ruang kepada syarikat berkaitan menawarkan lebih banyak faedah untuk pelanggan seperti pengalaman perlawanan rumah (home) eksklusif dan diskaun tiket boleh ditebus melalui MyDigi Rewards.

“Kita teruja kerana sekali lagi bekerjasama dengan Digi untuk memberi nilai tambah kepada penyokong setia. Sudah pasti ada program lebih bermanfaat kepada penyokong Gergasi Merah terutama mereka yang melanggan perkhidmatan Digi.

“Diharapkan ia membuka mata bagi syarikat korporat lain untuk sama-sama turun padang dan menyediakan perkhidmatan serta ganjaran lebih baik kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Pemasaran Digi, Bernard Lee optimis sukan bola sepak mampu menyatukan rakyat berbilang bangsa seiring dengan matlamat untuk menghubungkan pelanggannya di satu medium yang relevan dengan mereka.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan pasukan yang inovatif dan tidak takut untuk mencuba cara baharu dalam usaha memberikan pengalaman terbaik kepada peminat tegar Gergasi Merah,” katanya.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor Asia Challenge medan pemain muda pamer bakat

SHAH ALAM, 8 JAN: Kejohanan Asia Challenge 2020 anjuran Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang dijadual berlangsung pada 18 dan 19 Januari ini menjadi medan terbaik Gergasi Merah mempamerkan bakat pemain muda.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata edisi sulung pra musim itu dijangka sengit apabila membabitkan penyertaan tiga kelab terhandal dari rantau Asia Tenggara.

“Ketiga-tiga pasukan jemputan iaitu Hanoi FC dari Vietnam; Bangkok United (Thailand) dan Persib Bandung (Indonesia) adalah antara kelab bola sepak yang berada di takhta teratas serta digeruni di negara masing-masing.

“Kita boleh melihat pemain muda dari setiap pasukan beraksi kerana mustahil untuk jurulatih meletakkan kesebelasan utama mereka di sepanjang dua hari kejohanan itu,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Dr Johan berkata pihaknya melakukan persiapan rapi bagi memastikan kejohanan berkonsepkan karnival itu berjalan seperti dirancang.

Katanya, skuad Gergasi Merah juga sudah bersedia daripada aspek mental dan fizikal bagi menampilkan aksi cemerlang dalam mengharungi perlawanan itu.

“Semua pemain kita berada dalam keadaan baik untuk diturunkan pada setiap perlawanan kecuali penyerang, Rufino Segovia dan Noor Hakim Hassan yang tidak dapat bermain.

“Sementara itu, kesemua pasukan pelawat dijangka tiba minggu hadapan dan mereka akan menjalani sesi latihan di padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Kelana Jaya serta Sime Darby, Bukit Jelutong,” katanya.

Beliau turut menyeru semua peminat bola sepak Selangor tampil memberi sokongan padu sebagai membuktikan pasukan itu memiliki kumpulan penyokong terbesar.

“Kita sepatutnya berbangga kerana dapat menganjurkan kejohanan ini buat pertama kali dan penyokong perlu mengambil peluang untuk menyaksikan pasukan terbaik menentang Selangor,” katanya.

Penyokong yang mahu menyaksikan perlawanan itu boleh mendapatkan tiket masing-masing menerusi laman sesawang FAS atau pada hari kejohanan dengan harga RM15 (pemegang kad Red Giants) dan RM30 (bukan pemegang kad) manakala RM5 (kanak-kanak).

Categories
AGENSI SELANGOR

Lepasan AMD di FAS boleh sambung pengajian di UiTM, UNISEL

SHAH ALAM, 28 DIS: Pemain lepasan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang menyertai Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bukan sahaja berpeluang mengembangkan karier sebagai pemain bola sepak profesional semata-mata.

Sebaliknya, Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pelatih terbabit juga boleh melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di Selangor berikutan Memorandum Persefahaman (MoU) yang wujud antara FAS dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak tahun lalu.

“FAS telah tandatangani MoU dengan UiTM termasuk perkembangan akademi juga kita ada bincangkan.

“Kita masih ada masa lagi kerana pengambilan pelajar seterusnya biasanya berlangsung pada bulan September,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Johan berkata, selain UiTM, FAS juga akan menjalin kerjasama dengan Universiti Selangor (UNISEL) untuk melanjutkan pelajaran pemain muda berkelayakkan.

Johan yakin kerjasama antara FAS dan UNISEL mampu direalisasikan berikutan status UNISEL sebagai institusi pengajian tinggi swasta milik Kerajaan Negeri.

“Insya Allah tiada masalah kerjasama dengan UNISEL, lebih-lebih lagi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sentiasa memberi sokongan padu terhadap usaha FAS termasuk meningkatkan pencapaian pemain dalam padang dan juga akademi,” katanya.