Categories
NASIONAL

Surat perisytiharan Al-Sultan Abdullah sebagai Agong

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Berikut ialah kandungan surat perisytiharan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Foto Ehsan: BERNAMA

Surat perisytiharan itu dibacakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan di Istana Negara, di sini, hari ini:

“Bahawasanya adalah diperuntukkan oleh Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan bahawa hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang digelar Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja.

Dan bahawasanya menurut peruntukan Jadual Ketiga kepada Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja telah mengisytiharkan beta dipilih memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Maka oleh yang demikian beta, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dengan ini mengisytiharkan bahawa beta pada hari ini telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dan telah mengangkat sumpah yang dikehendaki oleh Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan mengikut cara yang ditetapkan oleh Perkara itu.

Diperbuat di Istana Beta, Istana Negara, di ibu negara beta di Kuala Lumpur pada tiga puluh satu haribulan Januari dalam tahun dua ribu sembilan belas”.

– BERNAMA