Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP: Kenderaan komersial tidak perlu surat kebenaran MOT

PUTRAJAYA, 13 JAN: Pemilik kenderaan komersial tidak perlu memohon surat kebenaran daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), demikian menurut kementerian itu hari ini.

“Sekatan tidak akan dikenakan kepada kenderaan komersial yang beroperasi semasa PKP,” menurut MOT dalam kenyataan hari ini.

Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP dilaksanakan di enam negeri – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – bermula hari ini hingga 26 Januari.

PKP Bersyarat pula dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala Perlis dan Sarawak berada di bawah PKP Pemulihan bagi tempoh sama.

MOT memaklumkan pemilik kenderaan komersial hanya perlu mengemukakan surat pengesahan daripada majikan apabila diminta petugas penguat kuasa dan lorong khas akan disediakan di semua sekatan jalan raya untuk kenderaan komersial.

Bagi syarikat logistik lain seperti syarikat penghantaran barang dan pengendali gudang yang berdaftar dengan persatuan, MOT memberitahu kebenaran daripada kementerian boleh diperoleh daripada persatuan masing-masing.

“Surat ini perlu dikemukakan bersama-sama bukti keahlian dalam persatuan apabila diminta oleh petugas penguat kuasa di sekatan jalan raya,” menurut MOT.

Syarikat yang tidak berdaftar dengan mana-mana persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan pula, surat kebenaran boleh dimohon menerusi https://application.mot.gov.my/.

MOT turut menasihati pengguna pengangkutan awam supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan dan garis panduan seperti diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), mengamalkan penjarakan fizikal dan menjaga kebersihan sebagai langkah untuk mencegah penularan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Badan kehakiman tumpu pendigitalan proses pengakuan salah lalu lintas pada 2021

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Bermula 2021, badan kehakiman merancang untuk membenarkan tertuduh dalam kes kesalahan lalu lintas membuat pengakuan bersalah melalui surat tanpa kehadiran di mahkamah.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam satu kenyataan sempena tahun baharu 2021 berkata cadangan itu akan diperkenalkan bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan akses kepada keadilan serta kecekapan Mahkamah Majistret dengan mengambil kira bilangan kes yang terlalu tinggi dan mengambil banyak masa kehakiman yang mewajarkan ia dilupuskan secara pendigitalan.

Beliau berkata Rancangan Badan Kehakiman untuk 2021 ialah mendigitalkan proses pengakuan bersalah dalam kes kesalahan lalu lintas dan membenarkan pembayaran denda secara elektronik.

“Pada masa ini, terdapat mekanisme dalam Seksyen 137 Kanun Tatacara Jenayah yang membolehkan seseorang yang dituduh untuk mengaku bersalah melalui surat tetapi peruntukan ini jarang digunakan dan statistik terkini menunjukkan tiada sebarang pengakuan bersalah dibuat melalui surat.

“Sebagai tambahan kepada kaedah pengakuan bersalah melalui surat, badan kehakiman juga mengesyorkan untuk membenarkan penerimaan pengakuan bersalah dan proses menjatuhkan hukuman denda sahaja melalui sistem elektronik yang ditetapkan,” katanya sambil menambah kaedah itu telah dilaksanakan di beberapa negara seperti Singapura, England, Wales dan Australia.

Tengku Maimun berkata pendigitalan kes kesalahan lalu lintas akan menjadi pelengkap kepada sistem e-Jamin iaitu satu sistem yang membolehkan pembayaran jamin secara dalam talian.

“Sistem e-Jamin telah pun beroperasi sepenuhnya yang mana tertuduh boleh menjelaskan bayaran jamin secara dalam talian. Kita juga telah mengembangkan sepenuhnya e-Courts Finance yang merupakan kaedah pembayaran secara dalam talian dan tanpa tunai ke seluruh Semenanjung Malaysia dan bagi negeri Sabah dan Sarawak, sistem ini akan siap pada akhir 2021,” katanya.

Rentetan pelaksanaan pendigitalan sistem pengakuan bersalah itu, beliau berkata badan kehakiman turut bercadang untuk menggabungkannya dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai garis panduan penghukuman.

“Mahkamah Rendah di Sabah dan Sarawak telah menerajui integrasi penggunaan AI dalam menjatuhkan hukuman untuk kesalahan tertentu. Bagi memastikan keselarasan dalam menjatuhkan hukuman, kita berusaha untuk melakukan perkara yang sama di Semenanjung Malaysia bagi kes-kes tertentu dan kita berhasrat untuk menggabungkannya dengan sistem pengakuan bersalah melalui teknologi AI.

“Projek ini sedang dalam proses untuk dilaksanakan pada akhir tahun 2021 tertakluk kepada wujudnya undang-undang berhubung sistem pengakuan bersalah secara elektronik tersebut,” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini.

Tengku Maimun juga berkata beliau mengambil maklum kerisauan yang dibangkitkan Majlis Peguam dalam menjalankan perbicaraan secara dalam talian seperti kebarangkalian wujudnya ‘bimbing saksi.’

“Pada masa ini, kita mempunyai peruntukan baharu yang dimasukkan sebagai Aturan 33A dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan telah berkuat kuasa bermula 15 Dis 2020. Aturan tersebut mengandungi tatacara khusus mengenai bagaimana perbicaraan dalam talian dijalankan.

“Bahkan sebelum Aturan 33A berkuat kuasa, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah pun berjaya menjalankan pemeriksaan terhadap saksi secara dalam talian,” katanya sambil menambah badan kehakiman perlu bergerak sejajar dengan perkembangan semasa.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 11,970 daripada 21,744 kes dan rayuan berjaya dilupuskan melalui perbicaraan dalam talian yang dikawal selia oleh badan kehakiman sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di negara ini, yang bermula pada Mac lepas.

“Mahkamah Tinggi di Malaya (Semenanjung Malaysia) dan di Sabah serta Sarawak telah berjaya melupuskan sebanyak 75 peratus iaitu 5,663 kes daripada 7,544 kes yang ditetapkan untuk perbicaraan dalam talian.

“Sebanyak 484 daripada 1,122 rayuan yang ditetapkan untuk pendengaran dalam talian berjaya dilupuskan di Mahkamah Rayuan manakala di Mahkamah Persekutuan pula, sebanyak 164 daripada 345 kes telah dilupuskan termasuk rayuan sivil dan jenayah.

“Di Mahkamah Rayuan, sebanyak 484 daripada 1,122 rayuan yang ditetapkan untuk pendengaran dalam talian telah dilupuskan. Bagi Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di seluruh Malaysia pula, sebanyak 5,659 daripada 12,733 kes yang ditetapkan untuk pendengaran dalam talian telah dilupuskan,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Maimun berkata tradisi badan kehakiman yang menganjurkan Pembukaan Tahun Perundangan pada setiap tahun tidak dapat diadakan pada 2021 berikutan penularan pandemik Covid-19.

“Cabaran utama yang timbul akibat pandemik ini adalah untuk memastikan bahawa pentadbiran kehakiman tidak terhenti walaupun langkah-langkah sekatan diambil kerajaan untuk mengawal penyebaran pandemik tersebut.

“Justeru, badan kehakiman mengambil pelbagai usaha penting ini untuk memastikan kelancaran prosiding undang-undang meskipun terdapat pelbagai kekangan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Surat perisytiharan Al-Sultan Abdullah sebagai Agong

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Berikut ialah kandungan surat perisytiharan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Foto Ehsan: BERNAMA

Surat perisytiharan itu dibacakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan di Istana Negara, di sini, hari ini:

“Bahawasanya adalah diperuntukkan oleh Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan bahawa hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang digelar Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja.

Dan bahawasanya menurut peruntukan Jadual Ketiga kepada Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja telah mengisytiharkan beta dipilih memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Maka oleh yang demikian beta, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dengan ini mengisytiharkan bahawa beta pada hari ini telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dan telah mengangkat sumpah yang dikehendaki oleh Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan mengikut cara yang ditetapkan oleh Perkara itu.

Diperbuat di Istana Beta, Istana Negara, di ibu negara beta di Kuala Lumpur pada tiga puluh satu haribulan Januari dalam tahun dua ribu sembilan belas”.

– BERNAMA

 

 

Categories
SELANGOR

DNS serah surat gesa rawatan segera DSAI 16 November

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 13 NOV: Dewan Negeri Selangor (DNS) akan menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan untuk menggesa supaya bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi rawatan segera.

Speaker DNS, Hannah Yeoh, berkata surat itu ditujukan kepada tiga pihak iaitu Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kesihatan.

“Disebabkan usul ini sudah diluluskan, maka pada Isnin nanti (16 November) dewan akan menulis surat kepada Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk S Subramaniam.

Hannah“Ia bertujuan memaklumkan kepada mereka bahawa DNS meluluskan usul ini dan meminta perhatian serius diambil berkenaan perkara ini supaya Anwar segera menerima rawatan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan sidang DNS di Dewan Annex, di sini, hari ini.

Terdahulu, Adun Selangor dalam pembentangan usul menggesa supaya Kerajaan Negeri mengambil tindakan segera mendesak Kerajaan Persekutuan supaya memberi rawatan kepada Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor.

Mengulas sesi DNS kali ini, Hannah yang juga Adun Subang Jaya, berkata sebanyak sembilan penyata usul dikemukakan termasuk pelantikan Senator mewakili Selangor.

Sidang DNS akan berhenti seketika dan bersambung semula, pada Mac 2016.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB dedah surat perkenan Sultan pemecatan 5 exco

SHAH ALAM 13 OGOS: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mendedahkan  surat perkenan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pemecatan lima Exco Pakatan Rakyat.

Salinan surat perkenan Sultan Selangor berhubung pemecatan lima exco Pakatan Rakyat yang didedahkan dimuat naik Abdul Khalid di laman Twitternya.

Salinan surat SultanMenerusi surat bertarikh 12 Ogos yang dialamatkan kepada Abdul Khalid itu, Baginda Sultan mengambil maklum mengenai cadangan menamatkan perkhidmatan lima exco iaitu dua daripada PKR dan tiga lagi mewakili DAP.

“Beta tiada halangan jika YAB Tan Sri Menteri Besar menamatkan khidmat mereka,” titah Baginda Sultan seperti yang terkandung dalam surat tersebut.

Semalam, Abdul Khalid mengemukakan surat cadangan bagi meminta perkenan Sultan Selangor supaya kelima-lima exco daripada PKR dan DAP yang tidak menyokong pentadbirannya digugurkan serta-merta.

Tiga anggota exco daripada DAP ialah Datuk Teng Chang Khim, V. Ganabatirau dan Ean Yong Hian Wah, sementara exco daripada PKR ialah Elizabeth Wong Keat Ping dan Dr Daroyah Alwi.

EZY