Categories
NASIONAL

Wilayah Bangsamoro bakal selesai konflik, gerak pembangunan ekonomi

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Pembentukan Wilayah Bangsamoro, sebuah wilayah autonomi dengan majoriti penduduk Islam di selatan Filipina, diyakini akan menyelesaikan konflik keganasan yang telah sekian lama menimpa umat Islam di kawasan itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembentukan wilayah berkenaan akan mewujudkan suasana aman sekali gus membolehkan umat Islam di selatan Filipina memberi tumpuan kepada pembangunan sosial dan ekonomi.

β€œIa juga akan membuka jalan kepada pelaksanaan program ekonomi yang dirancang bawah Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-The Philippines – East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) di mana Malaysia antara negara terlibat dalam Wilayah Pertumbuhan ASEAN Timur,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, Malaysia akan menjadi tuan rumah mesyuarat BIMP-EAGA tahun ini dengan beliau akan mempengerusikan mesyuarat itu.

Katanya, umat Islam selatan Filipina telah memilih perdamaian, keamanan dan pembangunan, dan ia akan menjadi rangsangan kepada pelaksanaan program bawah BIMP-EAGA.

Menerusi satu referendum, majoriti umat Islam di Selatan Filipina telah menyokong pembentukan wilayah Bangsamoro di selatan Mindanao.

Ia kali pertama seramai dua juta umat Islam di selatan Filipina mengundi untuk membentuk sebuah wilayah autonomi itu bagi menggantikan wilayah yang lebih kecil yang sebelum ini dinamakan Wilayah Autonomi Muslim Mindanao (ARMM).

Sementara itu, Azmin berkata, keputusan referendum itu meskipun tidak rasmi, ia suatu perkembangan yang memberangsangkan bukan sahaja untuk umat Islam Filipina bahkan untuk Malaysia dan Asia Tenggara.

SUMBER: BERNAMA