Categories
SELANGOR

Wujud Dataran Belia di semua PBT, buka peluang belia niaga

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Peluang generasi muda melibatkan diri dalam perniagaan akan diperluaskan dengan mewujudkan Dataran Belia.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Dataran Belia ini akan dilengkapi pelbagai kemudahan perniagaan seperti kiosk mudah alih dan lain-lain.

“Saya melihat secara khusus, kita boleh meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melihat isu belia dalam konteks memberi peluang dalam ekonomi.

“Kita minta PBT kita mengenalpasti kawasan peniaga atau apa yang disebut Dataran Belia dan kita akan berkerjasama dengan Lembaga Peladang, mungkin kita akan buat kiosk mudah alih dan bagi kepada belia supaya dataran ini khusus untuk memberi peluang kepada belia kita memulakan perniagaan,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata demikian dalam Segmen Inspirasi Pagi yang dikendalikan DJ Aenraen di Radio Selangor FM di Wisma Angkasapuri di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, selain Pertubuhan Peladang, beliau juga akan melibatkan agensi Kerajaan Negeri lain seperti HIJRAH.

Ketika menjawab soalan berkaitan pembangunan modal insan dan sasiah diri generasi muda, Mohd Khairuddin memberitahu Kerajaan Negeri akan mengadakan seminar di sekolah dan melantik pakar perunding menjalankan kajian bagi mengenal pasti isu dalam membangunkan sasiah diri generasi muda di Selangor.