Categories
NASIONAL

Isu RM90 juta: Pemimpin PAS bukan maksum

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 24 FEB: Masyarakat di negara ini wajar mempersoalkan kenyataan dan tindakan PAS berhubung isu RM90 juta yang diterima daripada Umno.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal itu ekoran Islam sendiri menuntut umatnya berfikir dan mempersoalkan jika ada tindakan pemimpin yang meragukan pengikut.

“PAS kena jawab isu RM90 juta, dulu kata fitnah, sekarang kata memang kita ambil untuk bayar wang deposit pilihan raya.

“Dia kena jawab hal itu, kena hadapi mahkamah tetapi dia tarik saman dan kemudian beritahu pengikut kita menang, menang apa macam itu?

“Kita nak Islam yang mengizinkan orang boleh berfikir, boleh bertanya, tak anggap ketua itu maksum kerana sepatutnya rakyat boleh boleh berhujah,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih, di Taman Sri Jenaris, di sini, malam tadi.

Katanya, ulama seluruh dunia juga bersepakat mengatakan setiap individu mempunyai hak untuk bertanya atau berbincang berkenaan sesuatu isu kepada pemimpin atasan khasnya pucuk pimpinan tertinggi.

Katanya, hal itu turut termasuk dalam isu PAS menarik balik saman terhadap Sarawak Report.

“Bagi mereka kononnya apa yang ketua kata mesti mutlak, termasuk tarik balik saman Sarawak Report yang sebenarnya bermakna kalah tetapi sebab ketua kata menang, maka yang bawah pun bersorak menang,” katanya.