Categories
NASIONAL

Polis bakal rekod keterangan rakyat Malaysia ditahan di Kemboja

SHAH ALAM, 20 FEB: Polis akan memanggil kesemua 47 rakyat Malaysia yang sebelum ini ditahan di penjara wilayah Banteay Meanchey, Kemboja untuk direkodkan keterangan dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati terdapat unsur jenayah dalam kes itu dan kertas siasatan dibuka menurut Seksyen 26 Akta Antipemerdagangan orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Langkah pertama kita mahu tahu apa cerita sebenarnya, bagaimana mereka (mangsa) terbabit dibawa masuk ke sana (Kemboja). Apa dijanjikan syarikat yang menawarkan perkhidmatan kepada mereka.

“Kita nak tengok sama ada wujud unsur seperti penipuan atau tipu daya, apa yang dijanjikan kepada mangsa, adakah syarikat terbabit penuhi janjinya dari segi tempat tinggal, kemudahan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor kepada 318 pegawai polis, di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt. Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, polis sudah mengenal pasti seorang warga tempatan yang disyaki terbabit dengan sindiket penipuan pekerjaan berhubung penahanan 47 rakyat Malaysia, di Kemboja.

Kesemua 47 rakyat Malaysia yang terbabit tiba di tanah air dari Kemboja, pada Ahad lalu.

Seramai 43 orang iaitu 40 dari Sarawak dan tiga anak jati Sabah diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, sementara empat lagi dari Semenanjung iaitu tiga dari Selangor dan seorang berasal dari Kuala Lumpur tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.