Categories
NASIONAL

Proton serah 1,000 unit X70 dalam sehari

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) melakar satu lagi kejayaan bermakna apabila menyerahkan sebanyak 1,000 unit kenderaan utiliti sukan (SUV), Proton X70 kepada pelanggan dalam tempoh sehari pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.

Acara terbabit diadakan di 74 pusat 3S/4S Proton di serata negara pada 2 Februari lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Proton berkata, pelanggan terbabit turut diberi taklimat mengenai keunikan SUV pertama syarikat itu selain diajar menggunakan ciri berkenaan.

“Taklimat secara komprhensif itu dilakukan pengurus pasca jualan di setiap cawangan terbabit bagi memberi pemahaman lebih terperinci mengenai kenderaan berkenaan.

“Ini bagi memastikan pemilik kenderaan itu dapat memaksimumkan keseronokan pemanduan masing-masing dengan memanfaatkan ciri-ciri keselesaan, kemudahan dan keselamatan yang disediakan oleh X70,” katanya, lapor BERNAMA.