Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Proton sasar X70 catat jualan lebih baik pada 2020

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) yakin model X70 akan mencatat prestasi jualan lebih baik bagi tahun ini berbanding 2019 susulan pelancaran kenderaan itu versi CKD (unit secara pemasangan tempatan).

Tanpa mendedahkan angka sasaran sebenar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Radzaif Mohamed berkata versi CKD itu juga dijangka meraih sambutan hangat daripada pembeli yang berpotensi berikutan harga serta pakej menarik yang ditawarkan kepada pembeli awal.

“Kami mahu menjual lebih banyak model X70 tahun ini. Pada tahun lepas kami berjaya menjual sejumlah 30,000 unit dan yakin angka itu akan meningkat tahun ini. Malah, tawarannya juga amat menarik selain tarikan aspek harganya untuk kalangan bakal pembeli,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran model X70 versi CKD di sini hari ini.

Di bawah versi itu, terdapat empat varian ditawarkan – Standard 2WD (harga atas jalan tanpa insurans sebanyak RM94,800 seunit), Eksekutif 2WD (RM106, 800), Premium 2WD (RM119,800) dan Premium X 2WD (RM122, 800), yang dilengkapi dengan bumbung panorama.

Radzaif berkata versi CKD itu turut ditawarkan pada diskaun 13 peratus berbanding versi model diimport sepenuhnya (CBU), termasuk tawaran pembelian awal untuk 3,000 pembeli pertama.

Mengulas prospek pasaran jenis CKD itu, beliau berkata syarikat itu sedang menimbang untuk mengeksport versi itu ke pasaran antarabangsa walaupun ini dijangka memakan masa kerana Proton perlu meneliti permintaan di peringkat domestik terlebih dahulu.

“Pada tahun lepas, kami mengeksport unit CBU X70 ke Brunei. Bagi tahun ini, kami mahu memperluaskan lagi usaha yang telah dilaksanakan pada tahun lepas. Namun, keutamaannya adalah untuk memastikan kami dapat memenuhi pasaran domestik,” katanya.

Mengulas impak Covid-19 terhadap Proton, Radzaif berkata ia adalah minimum berikutan syarikat itu sedang menumpukan usaha pengeluaran di peringkat tempatan.

“Kami ada vendor di China, tetapi pada masa ini keadaan berjalan lancar dan baik. Tetapi pada masa sama, kami turut memantau keadaan dengan teliti.

“Oleh kerana tumpuan syarikat kepada usaha peringkat tempatan, kami menggantikan vendor China dengan bekalan komponen tempatan. Bagi X70 buat masa ini kami mempunyai stok mencukupi untuk memenuhi keperluan (sedia ada). Kami memang bernasib baik,” katanya.

Proton X70, kenderaan SUV segmen C- paling popular di Malaysia tahun lepas, dinobatkan sebagai Kereta Terbaik Keseluruhan 2019 dan diiktiraf Kenderaan Lima Tempat Duduk Terbaik SUV/Crossover Sederhana pada anugerah Kereta Terbaik Malaysia edisi Ke-18 pada bulan lepas.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Proton X70 atasi rekod jumlah penyerahan SUV

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton, X70, mengatasi semua catatan terdahulu bagi jumlah penyerahan dalam segmen itu, sekali gus memperkukuh jenama automotif nasional sebagai antara peneraju dalam pasaran SUV Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong dalam kenyataan berkata, syarikat itu sudah menjual 8,500 unit SUV itu hanya dalam tempoh 100 hari selepas ia dilancarkan.

Katanya, Proton turut merekodkan kadar pertumbuhan jualan tertinggi dalam kalangan tiga jenama automotif utama di Malaysia, apabila mencapai 42 peratus bagi tempoh dua bulan pertama 2019.

Pemacu utama prestasi ini adalah Proton X70, yang menjadi model paling popular pada Januari dan Februari (berdasarkan angka pendaftaran rasmi) serta berada di landasan untuk mencapai pengiktirafan yang sama bagi bulan ketiga berturut-turut, katanya.

“Ini membuktikan pembeli kereta di Malaysia meminati SUV pertama kami, dan Proton akan terus menghargai sokongan mereka, malah sentiasa berusaha menyiapkan lebih banyak unit secepat mungkin bagi mengurangkan tempoh menunggu,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Proton serah 1,000 unit X70 dalam sehari

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) melakar satu lagi kejayaan bermakna apabila menyerahkan sebanyak 1,000 unit kenderaan utiliti sukan (SUV), Proton X70 kepada pelanggan dalam tempoh sehari pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.

Acara terbabit diadakan di 74 pusat 3S/4S Proton di serata negara pada 2 Februari lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Proton berkata, pelanggan terbabit turut diberi taklimat mengenai keunikan SUV pertama syarikat itu selain diajar menggunakan ciri berkenaan.

“Taklimat secara komprhensif itu dilakukan pengurus pasca jualan di setiap cawangan terbabit bagi memberi pemahaman lebih terperinci mengenai kenderaan berkenaan.

“Ini bagi memastikan pemilik kenderaan itu dapat memaksimumkan keseronokan pemanduan masing-masing dengan memanfaatkan ciri-ciri keselesaan, kemudahan dan keselamatan yang disediakan oleh X70,” katanya, lapor BERNAMA.

Categories
EKONOMI

10,000 tempahan diterima bagi SUV Proton X70

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 baharu, setakat ini menerima 10,000 tempahan sejak tempahan prapelancaran dibuka pada 8 September lepas.

Dalam kenyataan hari ini, Proton Holdings Bhd berkata daripada jumlah itu, hampir 2,000 tempahan dibuat menerusi dalam talian, sekali gus mengesahkan keputusan yang dibuat syarikat untuk membangunkan dan melancarkan platform tersebut adalah tepat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Li Chunrong, pihaknya berusaha memastikan Proton X70 memenuhi jangkaan pembeli, dan pada masa sama membuat pelaburan besar bagi outlet dan pengedaran, selain mempunyai sumber jualan dan selepas jualan yang diperlukan bagi menyokong produk penting itu.

Ia merupakan SUV pertama Proton, serta yang pertama dibangunkan secara bersama oleh Proton dan Geely.

Proton X70, yang dikuasakan oleh enjin 1.8 liter Turbo Gasoline Direct Injection (TGDI), turut menawarkan aspek keselamatan canggih, termasuk sistem brek kecemasan autonomi, amaran pelanggaran hadapan, sistem maklumat titik buta, amaran terkeluar laluan serta kawalan suluh tinggi pintar.

Sementara itu, Proton dalam kenyataan berkata, ia telah mencapai lebihan sasaran kelulusan permohonan outlet 3S/4S pada 109 outlet, dan permohonan untuk membuka outlet 3S/4S masih diterima pihaknya.

SUMBER: BERNAMA