Categories
AGENDA NASIONAL

Proton gesa pemilik Perdana 2012-2018 tukar beg udara

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Proton Holdings Bhd (Proton) memohon kerjasama pemilik kereta Perdana yang dibina pada 2012-2018 untuk menukar beg udara Takata di pusat servis berhampirannya dengan seberapa segera.

Bagaimanapun, arahan itu tidak membabitkan kereta Perdana yang dikeluarkan selepas 31 Ogos 2018.

Dalam kenyataan hari ini, pengeluar kereta nasional itu berkata servis baik pulih berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif global untuk kereta-kereta yang dilengkapi dengan beg udara Takata.

Semua tindakan yang diambil itu adalah selaras dengan Laporan Maklumat Kerosakan (DIR) dikeluarkan oleh Pentadbiran Keselamatan dan Traffik Lebuh Raya Kebangsaan Amerika (NHTSA) mengenai penggantian inflator beg udara bukan kering.

Berikutan itu, pihak Proton telah memulakan proses penggantian berkenaan sejak Januari 2019.

“Sebanyak 6,342 kereta terjejas dan setakat 18 Ogos 2020, pusat servis kami telah melakukan penggantian untuk sejumlah 5,625 unit atau 87.5 peratus daripada jumlah keseluruhannya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah.

Menurutnya, Proton juga menegaskan bahawa proses itu tidak melibatkan mana-mana model lain keluarannya berikutan pembekal beg udara yang berbeza.

“Keselamatan pelanggan amat penting untuk Proton. Bagaimanapun, kami tidak dapat menghubungi semua pemilik Perdana terbabit berikutan maklumat pemilik yang tidak lengkap.

“Oleh itu, kami ingin menyeru semua pemilik yang belum mengganti inflator beg udara mereka untuk menghubungi pusat servis kami untuk membuat janji temu segera dan penukaran ini hanya mengambil masa kira-kira satu jam dan tiada bayaran dikenakan,” katanya.

Maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi talian khidmat pelanggan Proton di 1-800-888-398 atau e-mel [email protected].

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Proton sasar jual 132,000 kenderaan pada 2020

PETALING JAYA, 21 JAN: Proton Holdings Bhd menyasarkan untuk menjual sekurang-kurangnya 132,000 unit kenderaan pada 2020, peningkatan ketara daripada 100,821 unit dijual dicatatkan pada 2019.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata sasaran itu akan disokong oleh sekurang-kurangnya dua pelancaran model baharu, pasaran eksport yang semakin meningkat dan menambah lebih banyak pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) dan pusat 4S (jualan, servis, alat ganti dan pameran) tahun ini .

Beliau berkata selain dari Saga yang berwajah baharu, Proton juga menjangka lima kenderaannya sebagai pemimpin kelas tahun ini.

“Bagi pelancaran, kami akan melancarkan model tahun 2020 Proton X70 tidak lama lagi dan seperti yang anda sudah tahu, ia dibina di Tanjung Malim.

“Kami juga melancarkan model kedua terbaharu tahun ini, jadi dua pelancaran utama yang boleh anda nantikan daripada Proton,” katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina bersama media hari ini.

Li berkata Proton merancang untuk meningkatkan eksportnya daripada 1,070 unit kepada 4,000 unit.

“Dengan lebih banyak sokongan, kami boleh menjual sebanyak 6,000 kereta. Proton juga merancang untuk meningkatkan pasaran luar negara sedia ada daripada enam negara kepada 10 negara,” kata Li.

Proton akan terus meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatannya dan menyasarkan membuka sebanyak 150 cawangan 3S dan 4S daripada 121 unit ketika ini, menjelang akhir tahun ini, katanya.

Tahun lepas adalah tahun yang baik untuk pengeluar kereta nasional itu, 50.1 peratus unitnya dimiliki DRB-Hicom Bhd, ia pertama kali mencapai jualan 100,000 sejak tahun 2015.

Proton menjual 100,821 unit pada 2019, meningkat 55.7 peratus daripada 2018.

Secara keseluruhannya, bahagian pasarannya berada pada 16.7 peratus, menduduki tempat kedua dalam jadual jualan keseluruhan, kali pertama ia mencapainya dalam tempoh empat tahun.

“Pencapaian tersebut adalah yang terbaik, tapi hari ini, ia telah menjadi sejarah. Proton perlu menetapkan sasaran baharu untuk maju, dan bagi 2020 kita meletakkan beberapa sasaran tinggi,” kata Li.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Proton serah 1,000 unit X70 dalam sehari

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) melakar satu lagi kejayaan bermakna apabila menyerahkan sebanyak 1,000 unit kenderaan utiliti sukan (SUV), Proton X70 kepada pelanggan dalam tempoh sehari pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.

Acara terbabit diadakan di 74 pusat 3S/4S Proton di serata negara pada 2 Februari lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Proton berkata, pelanggan terbabit turut diberi taklimat mengenai keunikan SUV pertama syarikat itu selain diajar menggunakan ciri berkenaan.

“Taklimat secara komprhensif itu dilakukan pengurus pasca jualan di setiap cawangan terbabit bagi memberi pemahaman lebih terperinci mengenai kenderaan berkenaan.

“Ini bagi memastikan pemilik kenderaan itu dapat memaksimumkan keseronokan pemanduan masing-masing dengan memanfaatkan ciri-ciri keselesaan, kemudahan dan keselamatan yang disediakan oleh X70,” katanya, lapor BERNAMA.