Categories
SELANGOR

Sidang meja bulat MAIS bincang isu pengislaman kanak-kanak

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengadakan perbincangan meja bulat berhubung Pengislaman Kanak-Kanak dan Penentuan Umur Baligh Kanak-Kanak, di Hotel De Palma di sini, semalam.

MAIS dalam kenyataan berkata, perbincangan itu bertujuan mendapatkan pandangan pakar berkaitan status agama kanak-kanak mengikut hukum syarak, pengislaman kanak-kanak menurut undang-undang dan penentuan umur baligh kanak-kanak dari perspektif Islam serta perubatan.

“Resolusi perbincangan ini akan dijadikan sebagai asas kepada pindaan peruntukan undang-undang berhubung dengan pengislaman kanak-kanak di Selangor,” katanya.

Terdahulu, perbincangan itu dipengerusikan Orang Besar Daerah Petaling merangkap Timbalan Pengerusi MAIS, Dato’ Emran Kadir.

Hadir sama, Timbalan Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir; Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid; Ketua Hakim Syarie Selangor, Mohammad Adib Husain dan Ketua Pendakwa Syarie, Abu Bakar Mohd Daud serta barisan Ahli Jawatankuasa Undang-Undang Negeri Selangor.

Pembentang bagi perbincangan itu dibarisi Timbalan Ketua Pengarah Eksekutif International Istitute of Advanced of Islamic Studies, Prof Dr Mohamed Azam Mohamed Adil; Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar dan Pensyarah Kanan Pediatric Endocrinologist UiTM, Dr Noor Shafina Mohd Noor.