Categories
SELANGOR

22 premis perniagaan haram Taman Kanagapuram difail di mahkamah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Sebanyak 22 premis perniagaan haram di Taman Kanagapuram, difailkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di mahkamah dari 2017 hingga tahun lalu.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, daripada jumlah itu, 18 premis disaman dan dijatuh hukum oleh mahkamah, manakala selebihnya dirobohkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

“Antara aktiviti yang diambil tindakan termasuk
pusat jagaan tanpa kelulusan adalah tujuh kes, aktiviti menjual kereta dan lori (lima kes), aktiviti servis kereta (satu kes) dan pameran motosikal (satu kes) sekali gus menjadikan keseluruhan 15 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, R Rajiv berhubung statistik penguat kuasaan MBPJ terhadap perniagaan haram, di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, melalui peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBPJ 2007, tindakan penyitaan dijalankan ke atas premis berlesen berdasarkan beberapa peruntukan.

“Ia termasuk Peruntukan UUK 38(1) iaitu pihak berkuasa melesen atau pegawai diberi kuasa yang menjalankan kuasa di bawah undang-undang kecil 36 dan 37, boleh menyita apa-apa benda yang semunasabahnya dipercayai olehnya sebagai mempunyai kaitan dengan atau dapat memberikan keterangan tentang pelakuan sesuatu kesalahan di bawah undang-undang ini.

“Peruntukan UUK 38(2) pula pihak berkuasa melesen atau pegawai diberi kuasa yang menyita apa-apa benda di mana-mana premis berlesesn di bawah perenggan (1) hendaklah menyediakan suatu senarai benda yang disita dan dengan segera menyerahkan suatu salinan ditandatangani olehnya kepada pemegang lesen, penghuni atau tuan punya premis berlesen itu atau pengkhidmat dan ejennya yang berada di premis berlesen itu,” katanya.