Categories
SELANGOR

47 peratus rumah pam air kembali pulih – Air Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MAC: Kira-kira 47 peratus rumah pam yang terjejas ekoran gangguan bekalan elektrik di Seri Kembangan telah mendapat bekalan.

Perkara berkenaan dimaklumkan Air Selangor menerusi laman facebook rasmi mereka, pagi ini.

“Sebahagian rumah pam itu kembali pulih bermula jam 7.30 pagi tadi, sementara proses pengepaman air ke kolam-kolam perkhidmatan sedang giat dijalankan.

“Pemulihan bekalan air ke kawasan yang terjejas akan mengambil sedikit masa dengan pemulihan secara berperingkat,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, bantuan lori tangki air digerakkan ke kawasan terjejas secara berterusan hingga bekalan pulih sepenuhnya.

“Kami amat mengharapkan kerjasama pelanggan sepanjang tempoh gangguan dan proses pemulihan bekalan amatlah dihargai.

“Segala usaha diambil bagi mempercepatkan pemulihan dan mengurangkan impak gangguan kepada pelanggan,” katanya.

Semalam, Air Selangor memberitahu, gangguan air berlaku di beberapa kawasan termasuk Petaling, Hulu Langat dan Sepang ekoran gangguan ekoran bekalan elektrik di Seri Kembangan.