Categories
NASIONAL

Serangan masjid: Kerajaan sudah ambil tindakan sewajarnya bantu mangsa

PARIS, 19 MAC: Kerajaan terutama menerusi Kementerian Luar melaksanakan tindakan sewajarnya bagi membantu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa atau terkesan dalam insiden keganasan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, pada 15 Mac lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sejurus berita mengenai tragedi itu disiarkan, Kementerian Luar menerusi Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah sudah mengeluarkan kenyataan untuk membantu keluarga mangsa.

“Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Pelbagai Hala Kementerian Luar (Datuk Nadzirah Osman) juga telah pergi ke New Zealand untuk memberikan bantuan kepada keluarga mangsa di sana.

“Jadi janganlah menyatakan seperti kerajaan tidak melakukan sepatutnya kerana kerajaan dan Kementerian Luar Negeri telah membuat apa yang perlu untuk membantu rakyat kita di sana,” katanya kepada BERNAMA dan RTM di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris di Malaysia, semalam yang melaporkan mengenai kekecewaan anggota keluarga mangsa tragedi itu terhadap kekurangan bantuan daripada pihak berkuasa Malaysia di negara itu.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, beliau berkesempatan berhubung dengan anggota keluarga kepada dua mangsa tembakan itu iaitu Prof Dr Zurinawati Mohyi dan Noor Azila Abd Wahid.

Dr Wan Azizah berkata, Zurinawati yang merupakan isteri kepada mangsa Mohd Nazril Hisham Omar dan Noor Azila isteri kepada Rahimi Ahmad menyatakan bahawa suami mereka berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan.

“Saya difahamkan seorang lagi mangsa yang cedera, Mohd Tarmizi Shuib juga berada dalam keadaan stabil, namun kita masih lagi tidak mendengar khabar mengenai anaknya berusia 17 tahun yang masih hilang, kita harapkan dia akan ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Dalam sidang media yang sama, Dr Wan Azizah berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat Biro Pengurusan Transformasi Sosial (MOST) yang dipengerusikannya dan merakamkan penghargaan kepada semua anggota negara yang terlibat dalam menunjukkan komitmen untuk merealisasikan cadangan dan pelan tindakan yang dipersetujui berkaitan kajian dan pembangunan mengenai kemanusiaan dan sosial.

“Wakil Ketua Pengarah UNESCO, Angela Melo pada mesyuarat itu turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia sebagai sebuah negara contoh susulan sumbangan dan kepimpinan dalam MOST khususnya sebagai presiden MOST bagi tempoh 2017-2019,” katanya.

Selain mempengerusikan mesyuarat itu, Dr Wan Azizah yang dalam rangka lawatan kerja empat hari di negara ini bermula pada 17 Mac lalu akan mempengerusikan Sesi ke-14 Majlis Antara Kerajaan bagi MOST hari ini dan esok di bangunan ibu pejabat UNESCO di sini.

– BERNAMA