Categories
NASIONAL

Caj 20 sen guna beg plastik di Wilayah Persekutuan mulai 15 Mac

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Pengguna yang memerlukan beg plastik biodegradasi di Wilayah Persekutuan bakal dikenakan caj pencemaran 20 sen, bermula 15 Mac ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, pendekatan itu bagi memberi kesedaran dan perubahan minda dalam kalangan rakyat berhubung pencemaran sisa plastik, selaras Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030.

Katanya, ia juga berupaya memupuk kesedaran berkenaan inisiatif hijau dan menjamin kelestarian alam sekitar.

“Maklum balas daripada peniaga dan penjaja mendapati usaha mengurangkan penggunaan beg plastik tidak akan berjaya selagi ia masih disediakan kepada pengguna secara percuma.

“Bagaimanapun, sejak penggunaan produk biodegradasi (mampu terurai secara semula jadi) di Wilayah Persekutuan diperkenalkan, peniaga dan penjaja memberi kerjasama yang baik dalam menjayakan inisiatif hijau ini.

“Kementerian berharap semua warga mengambil positif dan dapat berganding bahu menjayakan inisiatif pembangunan teknologi hijau di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Khalid berkata, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan terhadap peniaga dan penjaja yang masih menggunakan beg plastik konvensional untuk pelbagai tujuan.

“Membawa beg sendiri ketika membeli-belah amat digalakkan dan lebih memudahkan, selain menggunakan bekas dari rumah sekiranya ingin membungkus makanan.

“Larangan penggunaan straw plastik masih diteruskan, manakala langkah penguatkuasaan akan mula dilaksanakan pada Januari 2020,” katanya.

Terdahulu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin memberi tempoh tiga tahun kepada Kerajaan Negeri dari 2019 hingga 2021 untuk menguatkuasakan caj pencemaran.

Katanya, Kerajaan Negeri turut diberi kuasa untuk menentukan sendiri nilai caj pencemaran yang mahu dikenakan dan tarikh pelaksanaannya.