Categories
SELANGOR

Era Malaysia baharu angkat wanita setiap peringkat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 MAC: Keupayaan sesebuah negara mencapai setiap sasaran dalam Matlamat Pembangunan Mampan memerlukan keterlibatan semua pihak.

Isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad percaya era Malaysia Baharu ketika ini mengangkat kaum wanita di setiap peringkat.

Justeru, katanya, golongan wanita merupakan pemegang taruh terpenting dalam menjayakan agenda berkenaan.

Beliau berkata, pembabitan wanita dalam kepimpinan di Malaysia adalah sangat signifikan dan perlu diberikan tempat dalam pentadbiran setiap organisasi.

“Hal ini supaya setiap dasar, polisi dan keputusan yang dibuat akan menjadi lebih inklusif dan peka terhadap kehendak setiap golongan masyarakat.

“Malaysia pada hari ini menempa sejarah dengan menobatkan Timbalan Perdana Menteri Pertama Wanita, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Apresiasi Kepimpinan Wanita Selangor, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Masdiana berkata, penyertaan wanita dalam setiap lapis kepimpinan di negara menambah variasi dan kepelbagaian yang bakal menatijahkan hasil positif dalam meningkatkan produktiviti.

“Memandangkan wanita itu sendiri sememangnya memiliki peranan semula jadi yang pelbagai, iaitu seorang ibu, isteri, anak malah seorang nenek.

“Maka, sudah tentulah peranan semulajadi yang pelbagai ini membentuk dinamika berbeza yang menjadi nilai tambah kepada setiap organisasi sedia ada seperti nilai empati, peduli dan bersifat rahmah,” katanya.

Pada masa sama, beliau yang juga Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) berharap Kerajaan Negeri turut memperkukuhkan program yang dilaksanakan menerusi Institut Wanita Berdaya (IWB) dan Pusat Wanita Berdaya (PWB).

“Saya amat berharap agensi ini terus menjadi landasan utama wanita di Selangor untuk mendapatkan latihan pengupayaan, baik dari aspek kepimpinan, pembinaan kapasiti mahupun kemahiran asas.

“Ia sebagai persediaan untuk mereka ini diangkat ke tahap yang lebih tinggi, menjadi pemimpin di peringkat komuniti, daerah mahupun negeri,” katanya.