Categories
SELANGOR

EXCO: Ambil alih tanah, utiliti punca projek WCE lewat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 MAC: Isu pengambilalihan tanah termasuk pengalihan utiliti menjadi antara punca projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) di jajaran Assam Jawa ke Tanjong Karang mengalami kelewatan.

EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, sehingga 28 Februari lalu, status kemajuan pembinaan jajaran berkenaan adalah sebanyak 13.99 peratus.

“Jajaran dari Persimpangan Assam Jawa sehingga sekitar Ladang Sungai Terap sepanjang 19.5 kilometer (KM) ini sedang dalam pembinaan iaitu dalam peringkat kerja rawatan tanah dan kerja penanaman cerucuk bagi pembinaan jambatan.

“Manakala, jajaran dari Ladang Sungai Terap ke Persimpang Tanjong Karang sepanjang 10 KM sudahpun dimulakan dan dalam proses reka bentuk terperinci serta penyediaan pelan pengambilan tanah,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sungai Burong, Dato’ Mohd Shamsuddin Lias berhubung status terkini pembinaan WCE, di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Katanya, pembinaan WCE dilaksanakan secara penswastaan oleh syarikat konsesi West Coast Expressway Sdn Bhd (WCESB) bermula dari 25 Ogos 2014 dan tarikh siap pada 24 Ogos ini.

“Sebarang kos kelewatan dari tarikh siap pembinaan adalah di bawah tanggungan pihak syarikat konsesi dan tiada kos tambahan kepada kerajaan,” katanya.