Categories
SELANGOR

Indeks kualiti udara di lima stesen terus dipantau

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 20 MAC: Pemantauan indeks kualiti udara bagi kesemua lima stesen di Selangor terus dipergiat dari semasa ke semasa sebagai langkah pengesanan awal masalah jerebu, kata Hee Loy Sian.

EXCO Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi & Hal Ehwal Pengguna itu berkata, setakat jam 3 petang semalam, kesemua stesen di negeri ini menunjukkan bacaan IPU di tahap sederhana pada paras 51-100.

Katanya, pihaknya melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau status udara menggunakan paramater PM2.5 bagi mengesan sebarang perubahan standard kualiti udara.

“Lima stesen Kualiti Udara di Selangor termasuk di Shah Alam (Sekolah Kebangsaan TTDI Jaya); Banting (Kolej Mara Banting); Pelabuhan Klang (Klinik Kesihatan Pandamaran); Kuala Selangor (Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor dan Petaling Jaya (Sekolah Kebangsaan Bandar Utama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Peningkatan Indeks Pencemar Udara (IPU) Ke Tahap Tidak Sihat Di Stesen Pemantauan Kualiti Udara JAS iaitu Banting, di Dewan Annex, di sini, hari ini.

Justeru, bagi menangani cuaca panas dan kering, beliau berkata, setiap agensi terlibat dalam pengurusan bencana jerebu mempertingkatkan usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi menyebabkan jerebu di peringkat tempatan.

Katanya, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan termasuk semua pemilik tanah dinasihatkan memantau secara rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar.

“Ini termasuk tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.

“Kita juga mengambil langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya.