Categories
SELANGOR

Lantikan berbeza punca imam masjid seliaan institusi tiada elaun

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MAC: Elaun imam masjid di bawah seliaan institusi termasuk hospital, jabatan penjara dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tidak diberi berikutan lantikannya bukan dibawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sehingga kini terdapat sebanyak 17 masjid seliaan institusi di Selangor.

Katanya, antara masjid terlibat adalah Masjid Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia; Masjid Universiti Selangor (UNISEL); Masjid Sultan Abd Samad KLIA; Masjid Ibnu Sina Hospital Sungai Buloh dan Masjid Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang.

“Elaun imam tidak diberikan kepada masjid-masjid institusi kerana terdapat pelantikan daripada pihak institusi bagi mentadbir masjid dibawah seliaan mereka.

“Setakat ini, belum ada apa-apa kelulusan bagi pemberiaan elaun bulanan kepada imam di masjid berkenaan, namun begitu perkara ini akan diberi perhatian dan perbincangan sedang dilaksanakan bersama JAKIM bagi menyelaraskan perkara itu,” katanya ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkenaan peruntukan elaun imam masjid institusi yang didakwa dihentikan.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, JAKIM sudah menyelaraskan pemberian elaun bulanan Imam 1 dan 2 di setiap negeri dengan pemberiaan imbuhan bulanan sebanyak RM850.

Katanya, ia hanya diberikan kepada imam masjid kariah sahaja mengikut Garis Panduan Pembayaran Imbuhan Imam JAKIM Tahun 2011.

“Selaras dengan itu juga, Kerajaan Negeri pada 2015 dan 2016 meluluskan sumbangan tambahan kepada imam masjid kariah Selangor berjumlah RM450,” katanya.