Categories
SELANGOR

MDKL bida lambakan sampah plastik di Jalan Sungai Rambai

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) melaksanakan bidaan lambakan sampah plastik hanya di satu lokasi, di Lot 3267, Jalan Sungai Rambai, kata Ng Sze Han.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru itu berkata, bidaan dilakukan dengan persetujuan pemilih tanah terbabit.

Bagaimanapun, katanya, tiada pembeli yang berminat untuk membeli lambakan sampah plastik berkenaan.

“Tindakan notis 7(A) daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat di bawah Kkanun Tanah Negara 1965 sudah diberikan kepada pemilik tanah untuk proses remedi tanah terbabit.

“Malah, pemilik tanah diberi tempoh untuk membersihkan kawasan sehingga Mei tahun ini dan setakat 4 Mac, pemilik tanah masih lagi dalam proses membersihkan rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung industri kitar semula plastik termasuk status pembidaan lambakan sampah plastik di daerah berkenaan.

Pada masa sama, katanya, untuk status 33 buah kilang yang sudah dilaksanakan operasi, kesemua kilang terbabit sudah tidak menjalankan operasi.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 22 buah kilang dibersihkan sepenuhnya, manakala 11 buah kilang dalam proses pembersihan dan dijangka akan bersih sepenuhnya pada Mei ini,” katanya.