Categories
SELANGOR

PAKATAN kaji kekalahan PRK Semenyih – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 3 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan menjalankan post mortem bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, semalam.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penilaian berkenaan penting bagi memastikan kelestarian pentadbiran PAKATAN di peringkat pusat mahupun negeri.

Katanya, pihaknya akan melihat semua faktor kekalahan termasuk calon, jentera, pendekatan kempen mahupun faktor serangan pihak lawan.

“Semua faktor itu kita akan tengok secara teliti kerana masing-masing menyumbang kepada faktor kekalahan semalam.

“Namun saya tidak nafikan pertarungan agak sengit dan mendebarkan sampai ke hujung,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Acara Malaysia Women Marathon (MWM) 2019 edisi ketujuh di Padang Timur, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut kekalahan calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali, Amirudin berkata, beliau mengakui bukan tugas mudah untuk meneruskan mandat bagi mengekalkan kerusi PAKATAN di Semenyih.

“Sejak 2008 lagi kita sudah lihat, ia agak sukar. Namun kita perlu muhasabah dan melihat bagaimana pendekatan kita dengan masyarakat sebelum ini.

“Walaupun begitu, saya akan melihat fakta secara menyeluruh terlebih dahulu serta meneliti keputusan undi mengikut saluran serta lokaliti secara lebih terperinci,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan kemenangan calon Barisan Nasional, Zakaria Hanafi pada PRK DUN Semenyih, selepas memperoleh 19,780 undi.

Zakaria menang dengan majoriti 1,914 undi menewaskan Muhammad Aiman yang mendapat 17,866 undi; calon Parti Sosialis Malaysia, Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang (725 undi).