Categories
EKONOMI

Pelaksanaan AETS beri kesan positif harga getah

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Pengumuman pelaksanaan Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS) ke-6 menampakkan kesan positif, menurut Kementerian Industri Utama (MPI) dalam kenyataan, hari ini.

Ia menyaksikan harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR20) FOB meningkat 12.7 peratus kepada 587.0 sen/kilogram pada 7 Mac berbanding 521.0 sen/kilogram pada 31 Disember lalu.

Untuk rekod, Malaysia bakal melaksanakan AETS bermula 1 April sehingga 31 Julai depan dengan jumlah eksport dihadkan kepada 357,535 tan metrik, iaitu pengurangan 15,600 metrik tan.

Terdahulu, pelaksanaan AETS dipersetujui ketika Mesyuarat Khas Peringkat Pegawai Kanan Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) pada 4-5 Mac lalu di Bangkok, Thailand.

Ia dihadiri pegawai kanan dari Thailand, Indonesia dan Malaysia.

Mesyuarat terbabit adalah susulan daripada keputusan dibuat oleh ketiga-tiga Menteri ITRC ketika Mesyuarat Khas Peringkat Menteri ITRC di Bangkok, pada 22 Februari lalu.

“Secara keseluruhannya, ketiga-tiga negara bersetuju melaksanakan AETS selama empat bulan dengan jumlah pengurangan eksport getah asli 240,000 tan metrik,” katanya lapor BERNAMA.

Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, sebuah jawatankuasa pemantauan iaitu Jawatankuasa Pemantauan dan Pengawasan AETS ditubuhkan dan dianggotai wakil badan pelaksana setiap negara anggota ITRC.

Program lain di bawah kerangka kerja ITRC seperti Skim Penggalakan Permintaan dan Skim Pengurusan Penawaran diteruskan dan ditambah baik bagi meningkatkan penggunaan domestik getah asli selain mengimbangi permintaan serta penawaran getah asli dunia.

Antara program dijangka memberikan impak kepada peningkatan penggunaan getah asli adalah Jalan Berturap Getah.

“Thailand, Indonesia dan Malaysia yakin bahawa kerjasama ini dapat membantu memperkukuhkan lagi harga getah asli untuk kesejahteraan pekebun kecil getah di rantau ini,” katanya.