Categories
NASIONAL

Pertandingan reka logo VM2020 tawar hadiah RM3,000

PUTRAJAYA, 1 MAC: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan mengadakan pertandingan mencipta logo kempen Visit Malaysia Year 2020 (VM2020) selama 14 hari bermula 11 Mac ini.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, penyertaan terbuka kepada semua warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas dengan satu penyertaan bagi setiap peserta.

“Pertandingan tamat pada 5 petang, 24 Mac,” katanya pada sidang media bersempena pertandingan itu, di sini hari ini.

Beliau berkata rekaan logo harus melambangkan seni budaya masyarakat Malaysia dan ke arah Malaysia baharu selain perlu digemblengkan dengan logo Malaysia Truly Asia.

“Selain itu, setiap penyertaan hendaklah mempunyai reka bentuk logo dan rasional yang menonjolkan kepelbagaian produk-produk ekopelancongan yang menarik di Malaysia,” katanya.

“Rekaan logo perlu menggunakan perkataan bahasa Inggeris kerana melibatkan pasaran antarabangsa manakala rasional logo pula hendaklah dikemukakan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris,” katanya, menambah pemenang akan diumumkan pada 12 April.

Selain sijil, hadiah wang tunai RM1,000 hingga RM3,000 disediakan untuk tiga penyertaan terbaik serta RM250 masing-masing bagi lima pemenang sagu hati.

Borang pertandingan akan disediakan dalam masa terdekat menerusi laman web www.tourism.gov.my/, www.malaysia.travel dan www.motac.gov.my atau hubungi talian infoline 1-300-88-5050 untuk maklumat lanjut, katanya.

VM2020 yang menumpukan kepada kelestarian (ekopelancongan dan kebudayaan) menyasarkan ketibaan 30 juta pelawat dengan sumbangan RM100 juta kepada pendapatan negara pada tahun depan.

– BERNAMA