Categories
SELANGOR

RM3 juta bangun infrastruktur luar bandar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 MAC: Kerajaan Negeri meluluskan RM3 juta bagi pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam luar bandar tahun ini membabitkan kerja naiktaraf atau baikpulih jalan luar bandar, longkang, dewan serbaguna dan balai raya.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, ini tidak termasuk peruntukan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan melalui Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris).

“Bagi memastikan pembangunan luar bandar ini dilaksanakan secara dinamik dan mampan, Kerajaan Negeri komited supaya peruntukan bagi pembangunan luar bandar ini diteruskan setiap tahun dan kerja-kerja bagi naiktaraf dan baik pulih dilaksanakan secara berperingkat supaya kemudahan awam atau asas di luar bandar ini berada di dalam keadaan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada sesi sebelah pagi Persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil maklum terhadap aduan diterima daripada setiap Pejabat Daerah dan Tanah yang merupakan agensi penghubung antara Kerajaan Negeri dan juga penduduk.

Rodziah berkata, Kerajaan Negeri juga masih menyediakan peruntukan bagi menaiktaraf jalan-jalan luar bandar.

Penyediaan peruntukan setiap tahun adalah berdasarkan kepada kemampuan kewangan semasa Kerajaan Negeri.