Categories
SELANGOR

EXCO sambut baik cadangan ADN aktifkan semula Zon Bersih

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 MAC: Cadangan menghidupkan semula Program Zon Bersih disambut baik Kerajaan Negeri sebagai usaha membersihkan kawasan titik panas, di Selangor, kata Ng Sze Han.

Bagaimanapun, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru berkata, Kerajaan Negeri masih merangka dan merancang pelan tindakan dalam menambahbaik sistem penyampaian dan tadbir urus khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, pelan tindakan itu perlu dirangka bagi memastikan kualiti kehidupan lebih baik, sekali gus mewujudkan persekitaran bersih serta sihat.

“Pelaksanaan Program Zon Bersih selama empat tahun bermula 2010 hingga 2013 berjaya mengubah kawasan kotor menjadi lebih bersih dengan adanya usaha yang menggalakkan daripada PBT, Ahli Majlis, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi luar di Selangor.

“Program Zon Bersih dan seumpama dengannya dapat memberi impak positif kepada masyarakat secara lebih berkesan,” katanya.

Sze Han menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew berhubung cadangan mengaktifkan program Zon Bersih, di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Terdahulu, Zon Bersih yang dilaksana pada 2010 bertujuan memupuk semangat kerjasama antara Kerajaan Negeri dan rakyat.

Antara kriteria pemantauan Zon Bersih adalah dengan memastikan penyelenggaran kebersihan dilaksanakan secara berterusan, cekap dan berkesan, selain meningkatkan kualiti kesihatan persekitaran pada tahap selesa, sihat dan selamat.