Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor: Pemimpin, penjawat awam perlu jauhi rasuah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan kepada semua pemimpin negeri dan negara serta penjawat awam supaya tidak membabitkan mahupun mendekatkan diri dengan perbuatan rasuah.

Baginda bertitah, gejala rasuah adalah perbuatan mengkhianati amanah negara dan masyarakat malahan kesannya sama seperti penyakit barah yang merebak secara perlahan serta senyap sehingga mengakibatkan kerosakan sistem sesebuah negara.

“Beta ingin menasihatkan agar pemimpin negeri serta penjawat awam, hendaklah sentiasa menitikberatkan etika kerja yang berlandaskan nilai murni dan kejujuran yang tinggi semasa menjalankan tugas diamanahkan kepada mereka.

“Rasuah adalah satu perbuatan salah guna kuasa dan salah guna kedudukan bagi tujuan memperkayakan diri sendiri, anggota keluarga serta kroni ketika seseorang itu memegang jawatan dan diamanahkan dengan tanggungjawab mentadbir urus sumber awam.

“Gejala rasuah bukan sahaja membabitkan mereka yang menerima rasuah malahan golongan yang memberi rasuah juga perlu ditangani agar ianya tidak menjadi satu budaya buruk serta menjadi amalan masyarakat negara ini.

“Tiada erti kepada kemajuan sesebuah negara jika sikap pemimpin dan penjawat awam tidak amanah serta jujur di dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” titah baginda ketika merasmikan Kompleks Bangunan Baharu SPRM Negeri Selangor di Seksyen 16, di sini, hari ini.

Baginda bertitah, tugas sebagai penjawat awam dan ahli politik bukan jalan untuk mengumpul harta kekayaan serta bermewah-mewah sebaliknya mereka perlu mengingati kembali sumpah jawatan yang telah diikrarkan untuk berkhidmat dengan amanah serta jujur kepada rakyat.

“Rasuah dikenal pasti sebagai salah satu penyebab utama kepada kemelesetan di dalam pertumbuhan ekonomi dan kehilangan keyakinan pelabur kepada ekonomi sesebuah negara. Kita seharusnya belajar daripada sejarah betapa telah banyak kerajaan dan negara yang hancur dan musnah akibat gejala rasuah yang diamalkan oleh pegawai dan kakitangannya serta para pemimpinnya.

“Malahan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka dahulu adalah akibat berlakunya amalan rasuah yang tidak terkawal di samping dengki khianat di kalangan pembesarnya. Oleh itu, kita perlu sentiasa ingat bahawa rasuah adalah musuh negara dan perlu dibanteras hingga ke akar umbi,” titah baginda.