Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan

SHAH ALAM, 24 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Watikah-Watikah Pelantikan serta Darjah Kebesaran dan Bintang Negeri Selangor sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda.

Pada istiadat di Bilik Singgahsana, Istana Bukit Kayangan di sini hari ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengurniakan watikah kepada Dato’ Kaya Maha Bijaya Klang Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi.

Selangor Royal Office melalui Facebook memaklumkan watikah pelantikan turut dikurniakan kepada anggota panel tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor Dato’ Mohd Shukor Sabudin serta Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor Zalinah Said dan Abdul Halim Abdullah.

Sultan Sharafuddin juga mengurniakan watikah sama kepada Timbalan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor Salehan Yatim dan Mohd Tajudin Saifullah Abd Wahab.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Ketua Pendakwa Syarie Negeri Selangor dan Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor turut dikurniakan watikah tersebut.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor berangkat ke majlis bacaan Yasin, tahlil

SHAH ALAM, 21 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil bersempena Hari Hol Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Turut berangkat ke majlis di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Facebook Selangor Royal Office memaklumkan turut hadir ialah anakanda-anakanda Almarhum antaranya YAM Tengku Panglima Besar Selangor Tengku Abdul Samad Shah Alhaj, YAM Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah Alhaj, YAM Tengku Puteri Hajah Zahariah serta Orang-Orang Besar Istana.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil bersempena Hari Hol Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah pada 21 November 2021. Foto Facebook Selangor Royal Office

Hari ini genap 20 tahun Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang juga Sultan Selangor kelapan mangkat pada 21 November 2001 dan dimakamkan di Makam Diraja Klang.

Baginda diputerakan pada 8 Mac 1926 di Istana Bandar Temasya, Kuala Langat dan mangkat jam 11.57 pagi, 21 November 2001 bersamaan 5 Ramadan 1422 Hijrah pada usia 75 tahun.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Selangor perkenan bilangan jemaah di masjid, surau ditambah

SHAH ALAM, 31 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor memperkenan mempertingkat jumlah jemaah di masjid dan surau negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sebagai contoh masjid negeri boleh menerima kehadiran sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 ketika ini.

“Masjid-masjid Daerah dinaikkan kepada antara 700 hingga 1,000 jemaah bergantung kepada jumlah kapasiti masing-masing.

“Masjid-masjid Institusi pula ditambah kepada antara 500 hingga 1,200 jemaah sementara Masjid Pengurusan antara 400 hingga 700 jemaah,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook.

Baginda bertitah pertimbangan dan keputusan itu diambil setelah meneliti data-data terbaharu penularan wabak Covid-19 yang memperlihatkan statistik kematian harian menurun kepada satu digit.

Mengikut statistik, jumlah kematian akibat Covid-19 di Selangor berjumlah 9,581 orang setakat Rabu lalu iaitu separuh daripadanya terdiri daripada orang Melayu beragama Islam.

Bagaimanapun Baginda dengan tegas mengingatkan para jemaah agar mengambil serius dan terus berhati-hati serta sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika beribadat di dalam masjid.

Pada 13 Oktober lalu, Kerajaan Negeri setuju menambah jumlah jemaah solat Jumaat di Masjid Negeri kepada 2,000 orang berbanding 1,000 orang sebelum ini.

Berdasarkan perkongsian infografik di Facebook, EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni memaklumkan jumlah jemaah bagi solat lima waktu kekal 500 orang.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan seru rakyat segera ambil vaksin, kembali hidup normal

SHAH ALAM, 30 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru rakyat negeri ini segera mengambil vaksin supaya kehidupan normal mampu dikembalikan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga tidak mahu rakyat mementingkan diri dengan menolak suntikan vaksin yang boleh menjejaskan sasaran negara mencapai imuniti kelompok.

Baginda turut menzahir penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang merawat dan menguruskan wabak Covid-19 khususnya kakitangan hospital dan pihak lain terlibat termasuk pengurusan jenazah dan pengebumian.

Dalam kenyataan Facebook Selangor Royal Office pada 30 Ogos, Sultan Selangor juga terharu dengan pengorbanan mereka dan mendoakan urusan mereka dipermudah sepanjang memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Baginda ingin mengingatkan kepada rakyat jelata agar terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dan segera mengambil suntikan vaksin Covid-19 masing-masing,” titah Sultan Sharafuddin.

Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menzahir ucapan Selamat Hari Kemerdekaan ke-64 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Baginda berdua juga mengajak rakyat menghayati erti kemerdekaan sebenar di samping menghargai perjuangan tokoh terdahulu dalam mencapai kemerdekaan negara pada 1957.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kekal 30 peratus kawasan hutan simpan keputusan tepat, wajar

SHAH ALAM, 23 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah keputusan mengekalkan keluasan hutan simpan kekal tidak kurang 30 peratus daripada tanah negeri ini adalah tepat dan wajar dalam melaksanakan agenda hijau.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah setakat ini 31.47 peratus keluasan negeri melibatkan 250,000 hektar kawasan sudah diwartakan sebagai hutan simpan kekal.

“Kerajaan Negeri Selangor turut menyasarkan 32 peratus kawasan diwartakan sebagai hutan kekal simpan pada 2025,” titah Baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, Selangor merupakan satu-satunya negeri yang menguatkuasakan penyiasatan awam sebagai syarat penyahwartaan hutan simpanan kekal.

“Hal ini menunjukkan tahap komitmen dan kesungguhan tinggi Kerajaan Negeri Beta dalam melindungi sumber hutan selaras dengan agenda pembangunan hijau negeri,” titah Baginda.

Baginda juga mengingatkan kerajaan pimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari supaya terus melaksanakan agenda hijau untuk menarik pelaburan yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim untuk tempoh masa yang panjang.

Titah Sultan Sharafuddin, perubahan iklim atau kejadian bencana alam menyebabkan impak negatif terhadap ekonomi.

“Kerajaan Beta berpandangan wujud keperluan menggiatkan lagi usaha memastikan ekonomi lebih tangkas ketika berdepan ancaman dan risiko, sama ada perubahan iklim, bencana alam seperti banjir dan kejadian lain yang mengancam dan menggugat kesejahteraan rakyat,” titah Baginda.

Siaran langsung sidang dewan negeri boleh ditonton menerusi Youtube SelangorTV dan Facebook MediaSelangor. Laporan berita pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor terima menghadap Naib Canselor UPM baharu

SHAH ALAM, 20 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) baharu Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman di Istana Bukit Kayangan, semalam.

Kenyataan di Facebook Selangor Royal Office memaklumkan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga Canselor UPM diberi taklimat ringkas mengenai visi dan hala tuju universiti itu.

“Khususnya dalam aspek pemerkasaan bidang penyelidikan dan sektor pertanian berteknologi tinggi,” menurut kenyataan itu semalam.

Pelantikan Mohd Roslan berkuat kuasa 1 September ini sehingga 31 Ogos 2023.

Turut berangkat, Raja Muda Selangor Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Amir Shah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan titah umat Islam contohi nabi, tinggalkan sifat khianat, sebar berita palsu

SHAH ALAM, 9 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru umat Islam mencontohi sifat terpuji Nabi Muhammad SAW dengan membuang segala sifat negatif termasuk hasad dengki dan fitnah di media sosial.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sifat negatif boleh meruntuhkan perpaduan ummah dan memberi kesan yang buruk khususnya kepada generasi akan datang.

“Jauhilah perkara yang boleh membawa kepada kemungkaran serta sifat tercela seperti berdusta, khianat, menyembunyikan kebenaran dan menyebarkan berita palsu yang merupakan sifat-sifat orang munafik,” titah baginda menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Menerusi perutusan sempena Sambutan Ma’al Hijrah baginda berharap sambutan kali ini dihayati dan dirai dengan penuh kesedaran dan kefahaman, pentingnya penghayatan nilai murni dalam Islam diterjemah kepada setiap aspek kehidupan.

“Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT semoga seluruh umat Islam di negara kita sentiasa dilimpahi rahmat, dijauhkan daripada wabak penyakit dan kekal hidup dalam suasana aman, makmur dan sejahtera,” titah baginda.

Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Ma’al Hijrah 1443H kepada seluruh umat Islam di negeri ini.

Categories
AGENDA SELANGOR

Sultan Selangor puji Kerajaan Negeri laksana saringan percuma

SHAH ALAM, 8 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor memuji langkah agresif Kerajaan Negeri dalam melaksana program Saringan Komuniti secara percuma.

Dalam masa sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga meminta rakyat terus mematuhi arahan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini termasuk duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar, serta tidak leka dalam mengamalkan SOP wajib seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan sentiasa memastikan kebersihan diri,” menurut kenyataan Facebook Royal Selangor hari ini.

Sejak 8 Mei sehingga 10 Jun, Kerajaan Negeri menjalankan program pengawasan wabak secara aktif melalui Saringan Komuniti di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Setakat semalam seramai 91,586 orang telah disaring di 46 Dewan Undangan Negeri (DUN), daripada jumlah itu 3,237 individu disyaki positif namun kebanyakannya tiada gejala.

Selain itu, baginda turut menzahir rasa kecewa dengan kewujudan golongan antivaksin di negeri ini dan berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pemahaman terpesong.

“Baginda percaya vaksin mampu menyelamatkan nyawa individu dan sesebuah komuniti masyarakat, khususnya daripada wabak berbahaya seperti Covid-19,” kata kenyataan itu.

Sultan Selangor juga bimbang jika masih ada individu atau kumpulan yang berdegil untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor ramai penduduk, Sultan titah banyakkan suntikan

SHAH ALAM: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berharap Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk penduduk negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terkejut apabila Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengesahkan Selangor hanya menerima 615,210 dos vaksin Covid-19, bukan 2.9 juta seperti dakwaan sebelum ini.

“Baginda juga menyifatkan nisbah jumlah pemberian dos vaksin tidak adil dan tidak seimbang dengan kepadatan penduduk Selangor yang berjumlah kira-kira 6.5 juta.

“Baginda juga suka untuk mengingatkan bahawa negeri Selangor adalah penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan untuk negeri ini.

“Titah Baginda, dalam situasi sekarang, nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda-agenda lain,” menurut kenyataan Facebook Selangor Royal Selangor.

Sultan Sharafuddin juga berharap jumlah pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini khususnya di luar bandar termasuk kaedah pandu lalu atau klinik bergerak ditambah bagi meluaskan liputan suntikan vaksin.

Baginda juga menasihati kepada orang ramai yang telah menerima suntikan vaksin supaya kekal dalam keadaan waspada.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor berkenan ke Majlis Pemakaian Pangkat Tengku Amir Shah

SHAH ALAM, 8 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Majlis Pemakaian Kenaikan Pangkat Laftenan kepada Kapten untuk Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor di Istana Alam Shah hari ini.

Istana Alam Shah memaklumkan majlis pemakaian pangkat berkuat kuasa 19 November tahun lalu sepatutnya berlangsung lebih awal namun ditangguh susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Tengku Amir Shah menduduki dua sesi peperiksaan kenaikan pangkat pada Julai 2020 (bertulis) di Kem Terendak, Melaka dan pada September 2020 (amali) di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu di Facebook Selangor Royal Office.

Sejak 15 April 2017, Tengku Amir Shah memakai pangkat Leftenan dan kini memegang jawatan Ketua Platun Rintis Serang (Rinser) 17 17 RAMD (Para).

“Setelah memakai pangkat Kapten, Baginda kekal di Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja RAMD (Para),” tambah kenyataan itu.

Turut hadir dalam majlis itu, Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri selamatkan lebih 100 kucing

SHAH ALAM, 23 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor berkenan menyelamatkan haiwan terbiar demi menjaga kebajikan binatang berkenaan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin bertitah baginda berdua kini memelihara beberapa ekor kucing terbiar yang telah dikasi termasuk Snowy, kucing yang datang ke kediaman baginda mencari makanan empat tahun lalu.

“Atas inisiatif sendiri, Snowy dijadikan haiwan angkat dan kini menjadi kucing kesayangan dan peneman setia Sultan Sharafuddin.

“Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Penaung Diraja program Stray Free Selangor (SFS) kendalian Society For The Prevention of Cruelty Animals (SPCA Selangor) juga telah menyelamatkan lebih 100 kucing terbiar, 30 dipelihara sendiri makanakala selebihnya diberi sebagai haiwan angkat,” titah baginda dalam kenyataan disiarkan Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Baginda bertitah, langkah menjadikan haiwan terbiar sebagai haiwan angkat disertai rawatan dan penjagaan rapi membolehkan binatang terbiar menjadi bersih dan menyenangkan.

Untuk rekod, bermula Mac 2017 sehingga Disember 2020, sejumlah 7,117 kucing dan anjing terbiar telah dikasi di bawah program SFS yang diselia oleh SPCA Selangor.

Antara kucing-kucing terbiar yang diselamatkan oleh DYMM Tengku Permaisuri Norashikin dan kini dalam peliharaan Baginda. Foto Facebook Selangor Royal Office
Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Sultan Selangor titah semua pemimpin fokus pelihara kesejahteraan

SHAH ALAM, 31 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan semua pemimpin supaya memberi fokus kepada usaha memelihara kesejahteraan rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj bertitah usaha perlu digerakkan secara bersama tanpa mengira fahaman politik bagi membantu meningkatkan pendapatan rakyat.

“Sempena tahun baharu ini, baginda mengambil kesempatan untuk menitahkan semua pemimpin tidak mengira fahaman politik untuk sama-sama menggembleng tenaga dan fokus kepada usaha demi memastikan kesejahteraan hidup rakyat. Jangan asyik bertelagah dan pentingkan diri sendiri.

“Apabila ekonomi sesebuah negara berkembang dan makmur maka ekonomi serta pendapatan rakyat akan turut meningkat dan kukuh,” titah baginda menerusi Perutusan Tahun Baharu 2021 di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Baginda bertitah, tahun 2021 diharap membawa lebih banyak kecemerlangan dan kejayaan kepada rakyat dalam pelbagai aspek.

“Baginda juga sentiasa mendoakan wabak berbahaya Covid-19 yang masih berleluasa ini dihapuskan dengan segera agar rakyat dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

“Semoga tahun 2021 akan menjadi tahun yang lebih baik buat semua rakyat berbilang bangsa dan agama di Malaysia,” titah baginda.

Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin juga menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2021.