Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: FC Porto bangkit singkirkan Roma

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 7 MAC: FC Porto bangkit pada penghujung masa tambahan untuk menempah tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan menewaskan AS Roma, 3-1, di laman sendiri awal pagi tadi.

Walaupun tewas 2-1 pada perlawanan pertama, FC Porto berjaya mengikat agregat 2-2, pada minit ke-26 melalui tampanan Tiquinho hasil lorongan Moussa Marega.

Roma berjaya menjadikan kedudukan 1-1, pada minit ke-37 hasil sepakan penalti Daniele De Rossi.

Masuk babak kedua, giliran Marega kembali meletakkan tuan rumah di hadapan dengan gol kedua, pada minit ke-52 selepas melepasi perangkap ‘offside’ untuk menampan hantaran Jesus Corona bagi kedudukan 2-1.

Tanpa sebarang jaringan tambahan, perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan 30 minit yang menyaksikan FC Porto dihadiahkan sepakan penalti, pada minit ke-115.

Alessandro Florenzi melakukan kesilapan dengan menarik baju Fernando Santos selepas tayangan semula video bantuan pengadil (VAR) dilakukan pengadil, Cuneyt Cakir.

Alex Telles tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol Roma, Robin Olsen untuk membawa FC Porto ke suku akhir.

Kredit Foto: UEFA Champions League