Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: Liverpool sahkan tempat bertemu Barcelona

OLEH AFIX REDZUAN

PORTO, 18 APR: Liverpool tidak berdepan masalah untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menang selesa 1-4 mengatasi FC Porto di gelanggang lawan awal pagi tadi.

Kemenangan menerusi agregat 6-1 dimulakan dengan gol pertama pada minit ke-27 menerusi Sadio Mane yang menampan masuk hantaran Mohamed Salah.

Porto cuba membantah jaringan itu tetapi hasil semakan video bantuan pengadil (VAR) jelas Mane tidak berada dalam posisi offside.

Bersambung babak kedua, giliran Salah menjadikan kedudukan 0-2 buat The Reds apabila mudah menewaskan penjaga gol, Iker Casillas pada minit ke-65 hasil lorongan Trent-Alexander Arnold.

Eder Militao merapatkan kedudukan 1-2 buat Porto selang empat minit kemudian hasil sepakan penjuru Alex Telles sebelum Roberto Firmino menambah jaringan ketiga buat Liverpool menerusi tandukan pada minit ke-77.

Virgil Van Dijk mematikan sisa perjuangan pasukan tuan rumah pada minit ke-84 apabila menanduk masuk gol keempat Liverpool untuk membawa skuad kendalian Jurgen Klopp ke separuh akhir untuk dua musim berturut-turut.

Liverpool dijadualkan bertemu Barcelona yang menewaskan Manchester United di peringkat separuh akhir semalam.

KREDIT FOTO: UEFA CHAMPIONS LEAGUE

Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: FC Porto bangkit singkirkan Roma

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 7 MAC: FC Porto bangkit pada penghujung masa tambahan untuk menempah tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan menewaskan AS Roma, 3-1, di laman sendiri awal pagi tadi.

Walaupun tewas 2-1 pada perlawanan pertama, FC Porto berjaya mengikat agregat 2-2, pada minit ke-26 melalui tampanan Tiquinho hasil lorongan Moussa Marega.

Roma berjaya menjadikan kedudukan 1-1, pada minit ke-37 hasil sepakan penalti Daniele De Rossi.

Masuk babak kedua, giliran Marega kembali meletakkan tuan rumah di hadapan dengan gol kedua, pada minit ke-52 selepas melepasi perangkap ‘offside’ untuk menampan hantaran Jesus Corona bagi kedudukan 2-1.

Tanpa sebarang jaringan tambahan, perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan 30 minit yang menyaksikan FC Porto dihadiahkan sepakan penalti, pada minit ke-115.

Alessandro Florenzi melakukan kesilapan dengan menarik baju Fernando Santos selepas tayangan semula video bantuan pengadil (VAR) dilakukan pengadil, Cuneyt Cakir.

Alex Telles tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol Roma, Robin Olsen untuk membawa FC Porto ke suku akhir.

Kredit Foto: UEFA Champions League