Categories
SELANGOR

Cadangan infrastruktur baharu majukan Pantai Morib

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LANGAT, 14 APR: Bagi memajukan Pantai Morib sebagai destinasi pelancongan di Selangor, Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar, bercadangan membina infrastruktur baharu di kawasan itu.

Beliau yang juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli berkata, infrastruktur baharu itu mampu merancakkan sektor pelancongan sekali gus menarik orang ramai hadir ke kawasan terbabit.

“Saya sudah ada beberapa idea, lukisan dan pelan. Nanti saya akan beri kepada Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan pejabat saya.

“Contohnya saya bercadang membina satu binaan berbentuk U di kawasan pantai dan laut yang membolehkan pengunjung berjalan di atasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media ketika Program Retromania Grand Gathering 2019 di Pantai Morib di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, katanya, cadangan terbabit boleh bermula jika Kerajaan Negeri dan pihak Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bersetuju.

Sementara itu, Xavier berkata, pihaknya berharap pengunjung yang hadir ke Pantai Morib boleh turut membantu MDKL dalam menjaga kebersihan di kawasan itu.

“Jika boleh, saya juga ingin jadikan kawasan ini kawasan larangan plastik. Sebab isu pencemaran plastik ini suatu isu besar di seluruh dunia, malah banyak manfaat jangka panjang jika kita tidak menggunakannya,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)