Categories
SELANGOR

EXCO rancang jadikan Sukan Luar Bandar acara tahunan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 APR: Program Sukan Luar Bandar akan diteruskan sebagai acara tahunan berikutan sambutan menggalakkan diterima pada edisi pertama, baru-baru ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Program Sukan Luar Bandar Negeri Selangor 2019 yang diadakan di Stadium Mini Paya Jaras, Ahad lalu, disertai lebih 2,000 orang.

“Program dijalankan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Selangor serta pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras ini akan dijadikan acara tahunan.

“Pihak pejabat EXCO serta Jabatan Belia dan Sukan juga akan mengkaji untuk penambahbaikan acara ini supaya lebih menarik minat masyarakat,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Khairuddin berkata, acara ini mampu menjadi pemangkin kepada budaya bersukan dalam masyarakat Malaysia.

Katanya, sebagai negara bakal bergelar negara maju pada 2020, rakyatnya perlu mengamalkan budaya hidup sihat dengan bersukan.

Program Sukan Luar Bandar Negeri Selangor 2019 mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada masyarakat di Selangor.

Antara acara diadakan perlawanan bola sepak persahabatan membabitkan lagenda bola sepak Selangor menentang pasukan pilihan EXCO, bola jaring, liga penalti, sukaneka dan lain-lain.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)