Categories
NASIONAL

Hampir US$15 juta dimasukkan Aabar Investment ke akaun SRC

KUALA LUMPUR, 16 APR: Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak harı ini diberitahu bahawa hampir US$15 juta dimasukkan oleh Aabar Investment PJS Limited dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), ke dalam akaun SRC International Sdn Bhd.

Pengurus Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara Malaysia (BNM) Azizul Adzani Abdul Ghafar mengesahkan transaksi itu berlaku pada 2 April 2015, semasa disoal balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, merujuk kepada dokumen yang dirampas daripada Ambank, di Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Harvinderjit : Merujuk penyata akaun di muka surat 65, pada 2 April 2015 ada transaksi berjumlah RM14,999,988 dimasukkan daripada Aabar Investment?

Azizul Adzani : Ada

Saksi kedua itu berkata selepas membuat serbuan dan rampasan dokumen di Ambank, beliau telah menyimpan lapan fail yang mengandungi lapan dokumen iaitu empat akaun Ambank milik Najib, tiga dokumen akaun syarikat SRC Sdn Bhd dan satu dokumen akaun Syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd selain tiga sampul surat yang juga mengandungi dokumen di dalam laci dalam keadaan berkunci di pejabatnya.

Azizul Adzani berkata sebelum itu, beliau membuat laporan polis berhubung rampasan dokumen itu di Balai Polis Tun H.S.Lee.

Ditanya Harvinderjit sama ada beliau ada membuat salinan laporan polis itu saksi tersebut berkata “ada tapi saya tidak bawanya hari ini.”

Harvinderjit : Boleh bawa salinan laporan polis ke mahkamah esok?

Azizul Adzani : Boleh

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim kemudiannya berkata pihak pendakwaan akan memeriksa semula saksi itu selepas saksi berkenaan mengemukakan salinan laporan polis dan memohon supaya saksi itu hadir esok ke mahkamah dan perbicaraan diteruskan dengan memanggil saksi ketiga.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

SUMBER: BERNAMA