Categories
AGENDA NASIONAL

Hakim: Tindakan Najib dalam kes SRC memalukan negara

PUTRAJAYA, 8 DIS: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes dana SRC International Sdn Bhd bukan demi kepentingan negara tetapi hanya memalukan negara.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata Najib terlibat secara aktif dalam memastikan RM4 bilion pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC International disalurkan kepada syarikat itu tetapi selepas dana itu dikeluarkan, perayu (Najib) tidak mengambil peduli mengenai dana tersebut.

Dalam penghakiman 54 muka surat, Hakim Abdul Karim berkata bekas perdana menteri itu tidak menyoal SRC International tentang apa yang berlaku kepada dana itu, mahupun bagaimana ia digunakan dan bagi tujuan apa.

“Malah, beliau mengarahkan Menteri Kewangan kedua ketika itu (Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah) supaya tidak mengambil tahu hal SRC.

“Kelakuan perayu boleh menunjukkan hanya satu perkara, iaitu sebaik sahaja dana itu telah diperoleh SRC International, yang perayu mempunyai kawalan penuh, beliau bebas menggunakannya untuk kepentingan peribadi.

“Ini ditunjukkan melalui pengaliran RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadinya. Ini bukanlah sesuatu yang boleh dikatakan telah dilakukan demi kepentingan negara. Tiada kepentingan negara di sini, cuma memalukan negara,” kata Hakim Abdul Karim yang menyampaikan keputusan itu bersama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Hakim Abdul Karim berkata Najib mengambil bahagian dalam dua keputusan Kabinet untuk mengeluarkan dua jaminan kerajaan kepada KWAP supaya pinjaman yang diberikan oleh KWAP kepada SRC tidak boleh dipertikaikan.

Beliau berkata keterangan menunjukkan perayu bukan sahaja hadir tetapi mempengerusikan dua mesyuarat Kabinet yang diadakan pada 17 Ogos 2011 serta 8 Februari 2012, dan dengan itu terlibat dalam keputusan Kabinet untuk meluluskan jaminan kerajaan tersebut yang memihak kepada KWAP.

Hakim berkata perkara itu disahkan oleh Tan Sri Mazidah Abdul Majid (saksi pendakwaan ke-40) yang ketika itu merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri.

“Menurut Mazidah, perayu juga tidak mengisytiharkan kepentingannya dalam kedua-dua keputusan Kabinet, tidak juga menarik diri daripada perbincangan berhubung dua perkara ini dalam agenda, dan tidak juga meninggalkan mesyuarat.

Perbuatan sebegitu akan menghalang perayu dan akan menunjukkan ke arah pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” katanya.

Hakim juga bersetuju dengan hakim perbicaraan bahawa terdapat bukti kukuh yang jelas menunjukkan kepentingan peribadi perayu dalam keputusan Kabinet untuk mengeluarkan dua jaminan kerajaan itu.

Beliau berkata berkata hakim Mahkamah Tinggi membuat kesimpulan daripada keterangan mengenai peranan dan penglibatan perayu dalam penubuhan SRC, geran penubuhan awal, pinjaman KWAP, pengaturan jaminan kerajaan serta struktur pemilikan dan tadbir urus SRC, dan kawalan ke atas dana SRC dan pengaliran sebahagian daripada dana SRC ke dalam akaun peribadi perayu membuktikan fakta bahawa perayu mempunyai kepentingan dalam SRC yang melebihi kepentingan jawatan awamnya.

“Kami mendapati tiada sebab yang kukuh untuk tidak bersetuju dengan penemuan itu,” katanya sambil menambah bahawa panel hakim juga bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi bahawa Najib gagal menunjukkan tindakannya yang membawa kepada keputusan Kabinet untuk memberikan dua jaminan kerajaan dilakukan demi kepentingan Kerajaan Malaysia.

Hakim itu berkata dalam rayuan ini, penglibatan perayu dalam jenayah itu dapat dilihat sejak penubuhan SRC International sehinggalah kelulusan pinjaman KWAP yang dijamin oleh jaminan kerajaan.

Beliau berkata Najib terlibat dalam kelulusan itu, sehingga sebahagian daripada dana SRC International berjumlah RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun banknya untuk kepentingan dan faedah peribadinya

Oleh itu, hakim berkata panel hakim mendapati Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah betul sepenuhnya dalam mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 tanpa keraguan munasabah.

“Pihak pendakwaan telah mewujudkan kes prima facie dan kes pembelaan telah dipertimbangkan sepenuhnya oleh yang arif hakim perbicaraan.

“Akhirnya, hakim perbicaraan berpuas hati, sama seperti kami, bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan pertuduhan melampaui keraguan munasabah. Secara keseluruhan, kami dapati sabitan itu selamat,” katanya ketika menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, jika gagal penjara lima tahun, kerana menyalah guna kedudukan.

Najib, 68, bekas perdana menteri dan menteri kewangan pertama di negara ini yang dituduh di mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 28 Julai 2020, menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib selepas mendapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya akan menjalani hukuman penjara 12 tahun setelah Hakim Mohd Nazlan memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

1MDB: Bicara kes Najib disambung lepas empat bulan tangguh

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Setelah hampir empat bulan ditangguhkan, perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan bermula di Mahkamah Tinggi pagi ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan bersambung dengan saksi pendakwaan ke-10 iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman akan disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan.

Mohd Hazem, 47, mula memberi keterangan pada 14 September tahun lalu.

Najib, 67, didakwa terhadap empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Mahkamah menetapkan 4 hingga 7 Januari, 25 hingga 27 Januari; 2 hingga 4 Februaru, 8 hingga 11 Februari, 15 hingga 18 Februari; 5 hingga 8 April, 19 hingga 22 April, 26 hingga 28 April; 3 hingga 6 Mei, 17 hingga 20 Mei, 24 hingga 27 Mei; 1 hingga 3 Jun, 8 hingga 10 Jun, 21 hingga 24 Jun, 28 hingga 30 Jun dan 5 hingga 8 Julai untuk perbicaraan kes itu.

Sebelum ini, petugas media dikehendaki mengambil pas khas untuk memasuki mahkamah terbuka dan dua bilik video yang dikenali sebagai ‘video link’ yang memaparkan perbicaraan secara langsung.

Bagaimanapun, sejak pandemik Covid-19 Mac tahun lalu, pihak pengurusan mahkamah mengehadkan jumlah media bagi mahkamah terbuka dan bilik video kepada masing-masing 10 orang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Tun Rahah

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Tun Rahah Mohamed Noah yang telah kembali ke rahmatullah petang tadi.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah yang merupakan balu kepada Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein dan berharap seluruh keluarga Rahah sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut satu kenyataan menerusi Instagram Istana Negara hari ini.

Allahyarhamah, yang juga ibu kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, meninggal dunia ketika dalam rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

Al-Sultan Abdullah berkesempatan berangkat menziarahi Allahyarhamah di hospital tersebut semalam.

Rahah, 87, berkahwin dengan Abduk Razak pada 4 September 1952 dan dikurniakan lima anak lelaki iaitu Najib, Datuk Seri Mohamed Nazir, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam serta Datuk Mohamed Nazim.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tun Rahah meninggal dunia pada usia 87 tahun

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Tun Rahah Mohamed Noah, isteri kepada Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak meninggal dunia hari ini.

Perkara itu disahkan oleh anaknya yang juga merupakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman sosial sebentar tadi, lapor Bernama.

“Innalillahiwainnailaihirojiun, bonda saya sudah tiada. Kami sekeluarga di hospital. Kesedihan dan air mata mengalir, tiada kata-kata untuk kehilangan ini,” tulisnya di Facebook.

Tun Rahah, 87, sebelum ini dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court untuk rawatan.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengucapkan takziah kepada Najib atas pemergian ibu tersayang.

“Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat. Al Fatihah,” tulisnya di Twitter.

Categories
AGENDA NASIONAL

1MDB jaga kepentingan Najib, jana dana Umno

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah syarikat untuk menjaga kepentingan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bagi menjana dana untuk Umno.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman, 47, berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low semasa beliau berkhidmat di syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-10 itu berkata beliau tidak pernah dijelaskan bagaimana cara Jho Low dan Najib mendapatkan dana itu.

“Saya mahu nyatakan di sini bahawa sejak awal lagi semasa menyertai 1MDB, dan diberitahu oleh Datuk Azlin (Datuk Azlin Alias, Ketua Setiausaha Sulit Najib) bahawa syarikat ini adalah untuk menjaga kepentingan Datuk Seri Najib dan parti UMNO, saya memang mencurigai bahawa dana syarikat akan disalahgunakan.

Tetapi pada pendapat saya, dana-dana yang disalahgunakan ini kemudian akan dipulangkan balik kepada syarikat dalam jangka masa yang tertentu.

“Perkara ini ini boleh terjadi apabila ada pelaburan yang dipersetujui oleh ahli lembaga pengarah (BOD) dan pemegang saham, dan kuasa diberikan kepada mana-mana pengurus untuk menguruskan pelaburan ini.

“Yang mana beberapa daripada jumlah wang dana untuk pelaburan akan digunakan untuk membiayai UMNO, dan yang selainnya akan dilaburkan dengan harapan ia mendapat pulangan untuk menggantikan wang yang telah digunakan untuk UMNO,” katanya dalam penyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Saksi itu juga berkata beliau mula memikirkan kembali peranan-peranan Jho Low, Jasmine Loo, dan Terence Geh (kedua-duanya pegurus kanan 1MDB) yang telah memanipulasikan pengurusan 1MDB pada ketika itu dan beliau yakin mereka ini tahu berkenaan perkara berkenaan dan sebab itulah mereka telah menghilangkan diri.

“Mereka inilah yang sangat aktif menguruskan hal-hal dokumentasi yang diperlukan, seperti yang telah diarahkan oleh Jho Low. Saya tidak menyangka bahawa saya sendiri terlepas pandang ataupun terpedaya dengan perkara ini.

“Ini kerana semua perancangan yang dibuat adalah seolah-olah perancangan yang baik dan betul, tetapi saya memang merasa curiga apabila banyak dana diterbitkan melalui hutang dengan menggunakan alasan untuk membiayai projek. Malahan dana yang dipinjam juga ada yang melebihi daripada keperluan.

“Saya pasti ‘mastermind’ (dalang) untuk rancangan ini ialah Jho Low, kerana saya tahu beliau yang buat semua rancangan perniagaan, tetapi saya tidak pernah tahu bahawa mereka merancang untuk menyalahgunakan kewangan syarikat di luar negara,” katanya.

Mohd Hazem berkata beliau juga tidak pernah diberitahu tentang bagaimana perancangan atau pengurusan dana yang diterbitkan di luar negara akan digunakan ataupun dibelanjakan.

Katanya sepanjang beliau berkerja di 1MDB, beliau selalu diberikan ‘presentasi’ (taklimat) dan penyata dana luar negara terutamanya apabila 1MDB perlu menutup akaun tahunan.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib ada kepentingan peribadi guna SRC bagi faedah sendiri

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Mahkamah Tinggi memutuskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kepentingan peribadi untuk menggunakan SRC International Sdn Bhd sebagai wadah bagi kepentingan diri sendiri dengan memanfaatkan kedudukannya serta kawalan beliau terhadap syarikat.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penghakimannya berkata pihak pembelaan gagal menggunakan undang-undang untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan dakwaan salah guna kuasa menurut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Kepentingan tertuduh di SRC dalam konteks Seksyen 23(1) bukan kawalannya terhadap SRC tanpa lebih daripada itu. Itu semata-mata asas kepada kepentingan,” kata hakim yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati bekas perdana menteri itu bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan melibatkan penyelewengan RM42 juta dana SRC.

Mohd Nazlan berkata penglibatan tertuduh dalam mesyuarat kabinet yang meluluskan jaminan kerajaan bagi pembiayaan RM4 bilion kepada SRC oleh Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang kemudian disalurkan dengan cepat kepada SRC, secara langsung menyebabkan tertuduh berada di kedudukan untuk mengakses lebih banyak dana syarikat pada bila-bila masa apabila dirasakan perlu oleh tertuduh, termasuk RM12 juta yang masuk ke dalam akaun-akaun tertuduh pada lewat 2014 dan awal 2015.

Hakim seterusnya berkata alasan penglibatan itu ialah motivasi bagi hasrat mendapatkan akses kepada dana yang lebih besar dalam SRC termasuk RM42 juta terbabit.

“Dana RM42 juta yang diterima pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015 merupakan penyebab langsung kepada penglibatan tertuduh dalam mesyuarat kabinet. Jumlah tersebut merupakan ‘gratifikasi’ seperti tuduhan menurut Seksyen 23 Akta SPRM terhadap tertuduh.

“Fakta-fakta dalam perbicaraan ini ialah pihak-pihak yang terlibat ialah kerajaan (kabinet) dan SRC. Tertuduh mengetuai kerajaan dan juga kepentingan peribadi dalam SRC yang dikawal beliau,” kata hakim itu.

Hakim Mohd Nazlan berkata kelulusan oleh kabinet memanfaatkan SRC yang dikawal oleh tertuduh sendiri.

Hakim berkata tidak perlu ada pengaturan di antara tertuduh dan pihak lain berhubung gratifikasi yang bakal diterima untuk membuktikan kehadiran niat jenayah.

“Harus ditekankan di sini bahawa tertuduh mempunyai kepentingan dalam SRC. Beliau terlibat dalam mesyuarat kabinet yang meluluskan permohonan SRC untuk mendapatkan jaminan kerajaan,” katanya.

“Keputusan untuk meluluskan (jaminan kerajaan) secara langsung meletakkan tertuduh di kedudukan yang memberikan akses kepada lebih banyak dana SRC.

“Gratifikasi dari segi manfaat dengan segera menjadi hak tertuduh untuk beliau putuskan bila dana tersebut akan disalurkan bagi kegunaan beliau sendiri,” kata hakim.

Hakim Mohd Nazlan seterusnya berkata beliau telah menganalisis hujahan mengenai kepentingan negara dan kerelevanan Seksyen 23(4) pada akhir kes pendakwaan.

Katanya beliau meragui tertuduh boleh dianggap sebagai pegawai di SRC dan wakil kerajaan, serta turut mendapati jawapan lengkap kepada hujahan pembelaan mengenai isu itu ialah Seksyen 23(4) tidak boleh diguna pakai dalam kes ini kerana tidak ditunjukkan tindakan yang diambil tertuduh, yang membawa kepada keputusan kerajaan untuk meluluskan dua jaminan kerajaan, dibuat demi kepentingan atau faedah kerajaan.

Hakim Mohd Nazlan berkata pembelaan tertuduh tidak memberikan sebarang perkara baharu yang substantif dan tidak dapat mengubah dapatan di akhir kes pendakwaan bahawa tindakan tertuduh bukan untuk kepentingan negara dan bukti yang dikemukakan itu tidak mewajarkan penggunaan Seksyen 23(4) Akta SPRM.

Menyentuh mengenai apa yang berlaku selepas pembiayaan daripada KWAP disalurkan, hakim berkata selepas keseluruhan pinjaman RM4 bilion diagihkan kepada SRC, kelakuan tertuduh seperti tidak konsisten dengan pembabitannya sebelum itu.

“Pemeriksaann balas terhadap tertuduh mendedahkan secara jelas beberapa kesimpulan yang tidak membantu pembelaannya.

“Pertama, tiada bukti menunjukkan tertuduh berasa bimbang dengan penggunaan dana yang dipinjamkan kepada SRC oleh KWAP dalam kedua-dua aspek, iaitu fakta bahawa wang itu datang daripada tabung persaraan negara, iaitu dana awam, serta hakikat usaha mempromosikan inisiatif strategik tenaga negara tidak langsung tercapai.

“Ketiadaan tindakan daripada tertuduh untuk mendapatkan semula dana yang dikatakan dibekukan oleh pihak berkuasa Swiss atas dakwaan pengubahan wang juga membingungkan, dan sebaliknya (kelakuan) lebih konsisten dengan kelakuan seseorang yang tidak mahu masalah itu diselesaikan disebabkan keterlibatannya dalam pemindahan secara haram dana itu, seperti yang dibuktikan menerusi minit pemegang saham MOF Inc (Menteri Kewangan Diperbadankan), meskipun beliau mendakwa minit itu palsu,” katanya.

Hakim berkata adalah jelas menjelang penghujung 2015 SRC berdepan masalah kewangan dan memo MOF bertarikh 4 November 2015 membangkitkan keperluan pembiayaan yang berakhir dengan tiga pinjaman jangka pendek kepada SRC bagi mengelakkan KWAP mengisytiharkan ingkar membayar hutang terhadap SRC yang akan menyebabkan kerajaan dipertanggungjawabkan menerusi jaminannya.

Hakim juga berkata tertuduh menyokong pinjaman jangka pendek terbabit namun langsung tidak memanggil pengarah-pengarah SRC bagi memberi penjelasan kepada beliau sekalipun berstatus penasihat emeritus dan perdana menteri yang mempunyai kuasa yang luas berdasarkan memorandum dan artikel persatuan syarikat termasuk melantik ahli lembaga pengarah SRC.

“Tertuduh juga tidak bersetuju dengan penegasan bahawa RM4 bilion itu telah hilang dengan menyatakan fakta itu tidak dibuktikan, sedangkan tertuduh sendiri tidak mengemukakan sebarang bukti untuk menunjukkan beliau mengambil langkah-langkah bagi mendapatkan kepastian tentang apa yang sebenarnya berlaku terhadap dana itu.

“Selain itu, tertuduh juga tidak dapat memberikan jawapan yang jelas sama ada beliau berpuas hati dengan kemajuan SRC selepas agihan pertama berjumlah RM2 bilion sebelum bersetuju untuk menyokong pinjaman kedua berjumlah RM2 bilion, hanya dalam tempoh enam bulan selepas pinjaman pertama,” katanya.

Hakim juga berkata tertuduh mendakwa beliau ada bertanya dan diberitahu wang terbabit diketepikan untuk keperluan pelaburan segera namun tidak bertanya sama ada wang pinjaman masih dalam bentuk tunai.

Hakim Mohd Nazlan berkata menurut tertuduh, perkara itu adalah di bawah tanggungjawab lembaga pengarah untuk menyelia dan tertuduh juga tidak bersetuju bahawa ada tuntutan bagi syarikat mengemas kini status penyaluran pinjaman pertama yang diperoleh menerusi jaminan kerajaan apabila cadangan jaminan kerajaan yang kedua dibentang pada mesyuarat kabinet.

“Sekali lagi saya sukar untuk memahami perkara ini kerana sumber pembiayaan adalah dana persaraan dan jumlah yang terlibat sangat besar.

“Sehubungan itu, dalam penghakiman saya, selepas memeriksa pembelaan tertuduh dan menimbang semua pembelaan dalam kes ini, saya dapati pembelaan gagal menyangkal sangkaan menurut Seksyen 23(2) Akta SPRM mengenai keseimbangan kebarangkalian atau menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dari segi tuduhan ke atas tertuduh mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib dijatuhi hukuman penjara 72 tahun, denda RM210 juta

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 72 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan hukuman penjara itu dilaksanakan serentak.

Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan kes CBT dan setiap kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta, atau penjara lima tahun dalam kes menyalahguna kedudukan.

Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman pada 6.30 petang, setelah mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan pihak pembelaan, permohonan pendakwaan untuk hukuman berat dan kenyataan ringkas tertuduh serta mengambil kira kepentingan awam.

“Saya turut mengambil kira sumbangan tertuduh kepada negara,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan selesai, namun menaikkan jumlah jaminan sebanyak RM1 juta lagi dan mengarahkan ia dikemukakan esok.

Sebelum ini, Najib diikat jamin RM1 juta.

Mahkamah juga memerintahkan bekas perdana menteri itu untuk melapor diri ke balai polis dua kali sebulan.

Najib meninggalkan mahkamah pada 7.34 malam, bersama peguamnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib, Arul Kanda mengaku tidak bersalah pinda laporan audit 1MDB

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggiterhadap pertuduhan pindaan membabitkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Najib, 67, dan Arul Kanda, 44, masing-masing mengangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Hakim itu mengarahkan pertuduhan pindaan dibacakan kepada kedua-dua tertuduh selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan terhadap mereka.

Pertuduhan pindaan itu membabitkan perkataan “yang telah disediakan” dalam pertuduhan sebelum ini ditukar kepada “yang telah dimuktamadkan” dan juga perkataan “sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan” (dalam pertuduhan sebelum ini) ditukar kepada “sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula”.

Mengikut pertuduhan pindaan, Najib selaku perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan engikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes 1MDB Najib sambung 29 Jun, tumpu isu SRC

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan disambung di Mahkamah Tinggi hari ini, dilapangkan bagi memberi laluan kes SRC International Sdn Bhd yang turut dihadapi bekas perdana menteri itu.

Penangguhan itu susulan permohonan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah supaya mahkamah melapangkan perbicaraan kes berkenaan setelah pasukan pembelaan masih belum selesai mengemukkan hujah lisan dalam kes SRC International.

“”Mengenai penghujahan dalam kes SRC International, hari ini kami (pembelaan) akan meneruskannya dan berharap akan berlangsung sepanjang hari. Oleh itu, kami dengan hormat meminta agar perbicaraan kes 1MDB ini dilapangkan,” katanya kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 29 Jun bagi mendengar kes 1MDB itu.

Pendakwaan diwakili Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Apabila perbicaraan kes 1MDB itu disambung semula, Muhammad Shafee dijangka meneruskan pemeriksaan balas saksi pendakwaan kesembilan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Di Mahkamah Tinggi yang lain, Najib dibicarakan atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan menyalahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Kes berkenaan kini di peringkat penghujahan lisan di akhir kes pembelaan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bicara SRC Najib dilapangkan, beri laluan kes 1MDB

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) yang sepatutnya bermula hari ini dilapangkan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Nur Syahirah Hanapiah, yang mewakili Najib kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Peguam itu berkata mahkamah telah menghantar notis kepada pihak-pihak yang terlibat pada 13 Mei lepas bagi memaklumkan mengenai tarikh perbicaraan yang telah dilapangkan.

“Ini berikutan mahkamah memberi keutamaan untuk kes lain melibatkan Datuk Seri Najib yang sedang dalam perbicaraan antaranya kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan laporan audit,” katanya.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah menetapkan 27 Julai depan untuk pengurusan kes yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 13 hari bermula 2 sehingga 25 Jun untuk perbicaraan kes itu.

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, yang digunakan untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik beliau.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Najib juga menghadapi tujuh pertuduhan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC iaitu tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan dana itu.

Kes itu di peringkat hujahan lisan di akhir kes pembelaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengurusan 1MDB gelar PSI ‘projek menyakitkan hati’ – saksi

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini diberitahu bahawa pengurusan 1MDB menggelar PetroSaudi International (PSI) sebagai ‘satu projek yang menyakitkan hati atau menjengkelkan.’

Perkara ini didedahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 50, semasa disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengenai “Projek PITA.”

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata ia adalah satu lelucon dalam kalangan pengurusan 1MDB.

Shahrol Azral: ‘P’ bermaksud PSI manakala ‘ITA’ bermaksud menyakitkan hati atau menjengkelkan (dalam bahasa Inggeris) kerana projek itu memang menyakitkan hati atau menjengkelkan.

Muhammad Shafee: Jadi pada dasarnya, PITA adalah satu lelucon bahawa PetroSaudi adalah ‘menyakitkan hati atau menjengkelkan?

Shahrol Azral: Ya.

Muhammad Shafee: Itu adalah projek … yang menyakitkan hati atau menjengkelkan?

Shahrol Azral: Ya, untuk menghantar balik dana daripada PSI.

Muhammad Shafee: Mengapa ia menjadi lelucon dalam kalangan pengurusan memandangkan ia menyakitkan hati, adakah kerana anda menganggapnya begitu?

Shahrol Azral: Ia menyakitkan hati kerana kami terpaksa berhati-hati kerana ia adalah sensitif … Jadi kami tidak boleh meneruskannya hanya atas dasar komersial tanpa pengetahuan lembaga pengarah dan saya rasa dana ini adalah satu isu sensitif yang perlu kami uruskan dengan berhati-hati dan kami perlu meminta pandangan Datuk Seri Najib.

Kepada soalan lain, saksi itu berkata tiada sesiapa dalam kalangan Lembaga Pengarah 1MDB yang tahu mengenai gelaran ‘PITA’ itu.

Shahrol Azral juga bersetuju dengan peguam itu bahawa terdapat satu lagi projek yang digelar sebagai ‘Magnolia’ namun beliau tidak tahu apa yang dimaksudkan kerana nama itu diberikan dan digunakan oleh Goldman Sachs.

Saksi itu juga bersetuju dengan Muhammad Shafee bahawa tiada kertas kerja dan pembentangan dibuat mengenai ‘Projek PITA’ kepada lembaga pengarah.

Shahrol Azral berkata peguam 1MDB ketika itu, Jasmine Loo, sepatutnya membuat pembentangan mengenai projek tersebut kepada lembaga pengarah.

“Tiada kertas kerja mengenai Projek PITA yang dibentangkan kepada lembaga pengarah,” katanya.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion membabitkan dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 4 Jun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sambung bicara kes 1MDB babit Najib, Arul Kanda 15 Jun

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan selama 15 hari bermula 15 Jun depan untuk menyambung perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 15 hingga 18 Jun, 27 hingga 30 Julai, 10 hingga 13 Ogos dan 24 hingga 26 Ogos untuk perbicaraan kes itu semasa sebutan di hadapannya hari ini.

Beliau turut mengingatkan pihak pendakwaan, yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Rozaliana Zakaria dan Nadia Zulkefli supaya menyediakan pernyataan saksi sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh perbicaraan.

Ditanya berapa orang saksi lagi yang akan dipanggil memberi keterangan, Rozaliana berkata lima saksi pendakwaan masih belum disoal balas oleh pihak pembelaan dan 20 saksi lagi akan dipanggil memberi keterangan.

Najib diwakili peguam Nur Syahirah Hanapiah sementara Arul Kanda diwakili peguam Datuk N Sivananthan.

Setakat ini, seramai tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan termasuk bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya, manakala Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan ke atas laporan itu, untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA