Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Najib tidak tahu belanja berpuluh juta duit SRC

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengaku di Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau telah berbelanja berpuluh juta ringgit wang yang dikreditkan ke dalam akaun bank peribadinya antara 2014 dan 2015.

Bekas Perdana Menteri berusia 67 tahun itu berkata, beliau membelanjakan setiap sen dalam akaunnya itu kerana berpendapat ia dana untuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dimilikinya.

Bagaimanapun, Najib mengekalkan pendiriannya bahawa beliau tidak tahu wang itu adalah dana SRC International Sdn Bhd.

Ketika disoal-balas oleh Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V. Sithambaram, ahli Parlimen Pekan itu bersetuju bahawa beliau telah membelanjakan RM27 juta yang dikreditkan ke dalam akaun pada Julai dan RM5 juta pada Sepember 2014.

Sithambaram: RM27 juta masuk dalam akaun anda pada Julai, anda berkata anda tidak tahu?

Najib: Ya, Saya tidak tahu yang ia adalah wang SRC, Saya hanya mengetahuinya agak kemudian.

Sithambaram: Tetapi anda membelanjakan setiap sen daripadanya?

Najib: Ya

Sithambaram: Adakah anda tahu RM5 juta masuk ke dalam akaun anda pada September?

Najib: Saya tidak tahu, masa itu

Sithambaram: Tetapi anda membelanjakan setiap sen daripadanya?

Najib: Ya

Sithambaram: Pada Disember RM27 juta dimasukkan dalam akaun anda. Adakah anda tahu?

Najib: Pada ketika itu, saya tidak tahu.

Sithambaram: Tetapi anda membelanjakannya?

Najib: Ya, saya membelanjakannya… ia adalah dana CSR yang saya ada

Kepada soalan lain, Najib berkata beliau tidak berasa terperanjat bila Nik Faisal Ariff Kamil bekas ketua pegawai eksekutif SRC tidak memberitahu beliau bahawa RM32 juta itu dipindahkan ke dalam akaunnya memandangkan Nik Faisal yang menguruskan akaunnya.

Sithambaram: Jadi pemegang mandat itu boleh saja tidak memaklumkan kepada anda mengenai jumlah dana yang besar itu masuk dan keluar daripada akaun anda dan anda tidak berpendapat ia sesuatu yang terperanjat, benar begitu?

Najib: Ya

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyalahguna RM42 juta dana SRC International, merangkumi tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahguna kedudukan terhadap dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib tidak tahu ada RM3.2 bilion dalam akaun bank

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Sebanyak US$1.05 bilion (RM3.2 bilion) daripada pihak Arab Saudi dimasukkan ke dalam akaun peribadi AmBank milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak antara 2011 hingga 2013, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Menurut penyataan saksi Najib, sebanyak US$99,999,976.00 (RM304,329,765.73) dikreditkan pada 2011; US$269,999,985.59 (RM831,919,489.84) pada 2012 dan US$680,999,976.00 (RM2,081,476,926) pada 2013.

Perkara ini timbul semasa Najib, 66, memberi keterangan membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Ketika ditanya peguamnya Rahmat Hazlan sama ada beliau mengetahui secara tepat transaksi kredit akaun AmBank miliknya yang nombornya berakhir dengan 694 dari tahun 2011 hingga 2013, Najib menjawab: “Saya tidak tahu berkenaan butiran bagi setiap satu dan semua transaksi kredit ke akaun 694 pada ketika itu.”

Ditanya sama ada beliau mengetahui mengenai jumlah wang yang diterima itu, Najib berkata beliau hanya mengetahui mengenai kesemua transaksi itu apabila keterangannya diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Najib, identiti penghantar wang tersebut semestinya diketahui oleh AmBank dan Bank Negara Malaysia yang turut menerima beberapa surat dari 2011 hingga 2013 sebagai dokumen sokongan yang menyatakan bahawa derma itu akan dibuat beberapa syarikat.

“Saya percaya ini adalah sebab mengapa tiada apa-apa yang mencurigakan dibangkitkan kepada saya pada masa itu,” katanya.

“Saya juga telah ditunjukkan beberapa surat yang dikatakan berasal daripada wakil sah Raja Abdullah yang menyatakan bahawa Raja Abdullah mengurniakan saya wang tersebut sebagai hadiah yang boleh digunakan atas budi bicara mutlak saya,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu menambah, pada dasarnya wang tersebut diberikan kerana baginda (Raja Abdullah) tidak mahu kesan buruk seperti Arab Spring merebak ke Malaysia.

Najib berkata surat asal tersebut tertinggal di pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri.

Menjawab soalan Rahmat sekiranya beliau membelanjakan keseluruhan wang yang diterima dalam akaun banknya pada 2013, Najib berkata bahawa sehingga Julai 2013, beliau diberitahu terdapat sejumlah besar wang yang tinggal di dalam akaun yang berakhir dengan 694.

Najib berkata sejumlah RM2.02 bilion dikembalikan dan baki sekitar RM162 juta dipindahkan ke satu akaun baharu yang dibukanya pada Ogos 2013.

Pada 11 November lepas, Najib diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana SRC International setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dakwaan Ahmad Husni diperlakukan sebagai budak pejabat satu komedi – Najib

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memberi keterangan membela diri dalam perbicaraan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC), hari ini menyifatkan dakwaan bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa beliau (Ahmad Husni) hanya diperlakukan sebagai ‘office boy’ adalah satu komedi.

Najib, 66, yang merupakan Menteri Kewangan dan Penasihat Emeritus SRC ketika itu berkata dakwaan Ahmad Husni itu tidak masuk akal kerana beliau telah dirujuk dan juga meluluskan beberapa memo penting sebagai Menteri Kewangan II (MOF2) termasuk Memo Kementerian Kewangan bertarikh 2 Februari 2012 dan Memo Perbendaharaan bertarikh 4 November 2015 membabitkan peruntukan pinjaman jangka pendek kepada SRC.

“Dakwaan bahawa beliau diperlakukan sekadar ‘office boy’ (budak pejabat) adalah satu komedi memandangkan tandatangannya selaku Menteri Kewangan II (MOF2) menunjukkan sebaliknya.

“Datuk Seri Husni juga turut hadir dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Februari 2012 di mana Jaminan Kerajaan Kedua (pinjaman SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) berjumlah RM2 bilion) diluluskan dan tidak membangkitkan apa-apa isu.

“Ia sangat tidak masuk akal apabila MOF2 (Ahmad Husni) sanggup merendahkan diri sendiri ke tahap memanggil dirinya sebagai ‘office boy’, kononnya hanya mengikut arahan apabila beliau sendiri gagal menjalankan tanggungjawab berdasarkan jawatannya, sekiranya benar beliau mempunyai kepercayaan bahawa SRC memerlukan sedikit pemerhatian pada waktu itu,” katanya yang memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi bagi membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Kepada soalan peguamnya Wan Aizuddin Wan Mohammed bahawa Ahmad Husni dalam keterangannya sebelum ini menyatakan beliau diarahkan Najib supaya tidak terlibat dalam SRC dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ahli Parlimen Pekan itu berkata beliau tidak pernah memberitahu Ahmad Husni sedemikian.

“Walaubagaimanapun, saya percaya bahawa Datuk Seri Husni akhirnya mengakui semasa perbicaraan kes ini bahawa saya tidak pernah menggunakan apa-apa perkataan untuk menghalang beliau daripada menjalankan kerja beliau sebagai MOF2 dan saya tidak pernah memberitahu beliau untuk tidak terlibat dengan SRC,” katanya.

Berhubung keterangan Ahmad Husni bahawa beliau dihalang membawa delegasi ke Switzerland selepas mendapat berita dana kepunyaan SRC di negara itu dibekukan, Najib berkata keterangan Ahmad Husni itu berniat untuk memburukkannya dan berunsur dendam akibat ketidakpuasan hati beliau.

“Datuk Husni ada bertanya kepada saya secara tidak formal sama ada patut beliau pergi ke Switzerland dan membantu untuk cuba menyelesaikan isu ini. Ini bukanlah satu permintaan yang rasmi dan formal.

“Sebenarnya Datuk Husni berkata bahawa beliau boleh cuba selesaikan perkara ini memandangkan beliau ada mengenali beberapa individu di Switzerland yang boleh membantu. Saya beritahu kepadanya tiada keperluan untuk beliau pergi kerana mengikut pemahaman saya, terdapat usaha-usaha yang diambil oleh SRC untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.

Disoal Wan Aizuddin mengapa Ahmad Husni mempunyai dendam dan ketidakpuasan hati terhadap bekas perdana menteri itu, Najib menjelaskan beliau percaya Ahmad Husni menyimpan perasaan tidak puas hati selepas beliau dipindahkan daripada MOF ke Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan menggunakan kandang saksi sebagai satu pentas untuk menyuarakan keluhannya secara terbuka.

Najib juga menafikan setiap keputusan oleh Ahli Lembaga Pengarah SRC perlu diluluskan olehnya dan setiap arahannya akan disampaikan melalui Nik Faisal Ariff Kamil, yang ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif SRC.

Beliau juga menafikan keterangan Tan Sri Ismee Ismail (bekas pengerusi Lembaga Pengarah SRC) dan Datuk Suboh Md Yassin (bekas pengarah bukan eksekutif SRC) bahawa Nik Faisal menjadi penghubung antaranya (Najib) dan SRC.

“Dalam perjumpaan yang terhad di antara saya dan Nik Faisal, beliau telah memaklumkan bahawa Lembaga Pengarah telah memutuskan berkaitan dengan pelaburan-pelaburan selepas perbincangan yang mendalam dan ‘due diligence’ (kajian terperinci) dijalankan melalui perunding-perunding dan penasihat-penasihat luar.

“Saya tidak pernah mengarahkan Lembaga Pengarah dalam apa-apa cara berkenaan dengan hal yang sama. Saya tidak berada di dalam mana-mana kedudukan untuk pengurusan mikro mana-mana syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) termasuklah SRC. SRC hanyalah satu daripada syarikat-syarikat MKD yang terlibat dalam projek berkaitan kepentingan nasional pada masa itu.

“Tiada sebab bagi saya untuk mengarahkan Lembaga Pengarah SRC melalui Nik Faisal. Sekarang jelas kelihatan Nik Faisal telah mempermainkan kedua belah pihak. Kepada saya, beliau mengatakan perkara-perkara tersebut telahpun diputuskan oleh Lembaga Pengarah dan kepada Lembaga Pengarah beliau menyatakan saya telah mengarahkan perkara-perkara tersebut,” katanya.

Najib berkata apa yang menghairankan adalah mengapa pengarah-pengarah SRC yang lain termasuk Ismee tidak mengesahkan perkara itu dengannya dan hanya menerima sahaja kata-kata Nik Faisal secara bulat-bulat khususnya berkaitan dengan dana syarikat.

“Tan Sri Ismee, sebagaimana yang saya sebutkan, adalah seorang ahli korporat yang mempunyai pengalaman yang luas dalam menguruskan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Beliau mempunyai nombor (telefon bimbit) peribadi saya untuk dihubungi dan kami telah berjumpa beberapa kali. Tidak pernah sesekali pun saya ditanya tentang perkara itu,” katanya.

Pada 11 November, mahkamah memerintahkan Najib membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hampir US$15 juta dimasukkan Aabar Investment ke akaun SRC

KUALA LUMPUR, 16 APR: Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak harı ini diberitahu bahawa hampir US$15 juta dimasukkan oleh Aabar Investment PJS Limited dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), ke dalam akaun SRC International Sdn Bhd.

Pengurus Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara Malaysia (BNM) Azizul Adzani Abdul Ghafar mengesahkan transaksi itu berlaku pada 2 April 2015, semasa disoal balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, merujuk kepada dokumen yang dirampas daripada Ambank, di Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Harvinderjit : Merujuk penyata akaun di muka surat 65, pada 2 April 2015 ada transaksi berjumlah RM14,999,988 dimasukkan daripada Aabar Investment?

Azizul Adzani : Ada

Saksi kedua itu berkata selepas membuat serbuan dan rampasan dokumen di Ambank, beliau telah menyimpan lapan fail yang mengandungi lapan dokumen iaitu empat akaun Ambank milik Najib, tiga dokumen akaun syarikat SRC Sdn Bhd dan satu dokumen akaun Syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd selain tiga sampul surat yang juga mengandungi dokumen di dalam laci dalam keadaan berkunci di pejabatnya.

Azizul Adzani berkata sebelum itu, beliau membuat laporan polis berhubung rampasan dokumen itu di Balai Polis Tun H.S.Lee.

Ditanya Harvinderjit sama ada beliau ada membuat salinan laporan polis itu saksi tersebut berkata “ada tapi saya tidak bawanya hari ini.”

Harvinderjit : Boleh bawa salinan laporan polis ke mahkamah esok?

Azizul Adzani : Boleh

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim kemudiannya berkata pihak pendakwaan akan memeriksa semula saksi itu selepas saksi berkenaan mengemukakan salinan laporan polis dan memohon supaya saksi itu hadir esok ke mahkamah dan perbicaraan diteruskan dengan memanggil saksi ketiga.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

SUMBER: BERNAMA