Categories
NASIONAL

KKM umum PeKa B40 bermula esok

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 APR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) akan bermula di seluruh negara, esok.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, PeKa B40 memberi fokus kepada jalinan kerjasama awam-swasta dalam membantu kumpulan B40 dengan mengutamakan perkhidmatan klinik perubatan swasta umum yang sudah berdaftar.

Beliau berkata, sehingga 12 April lalu, terdapat 423 klinik swasta umum (GP) yang telah berdaftar bagi skim PeKa B40 sebagai ‘Klinik PeKa B40’.

“Penerima yang layak boleh menjalankan saringan kesihatan di klinik GP yang memaparkan pelekat khusus PeKa B40.

“Pada masa yang sama, lain-lain klinik GP diseru untuk berdaftar secara atas talian untuk turut menjadi Klinik PeKa B40.

“Ia bagi memudahkan penerima skim ini menjalankan saringan kesihatan di klinik berhampiran dengan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pendaftaran sebagai Klinik PeKa B40 akan berterusan selama skim ini berjalan.

“Sebagai permulaan, PeKa B40 akan melalui fasa ujian operasi di mana KKM akan menilai kelancaran logistik dan mendapatkan maklumbalas daripada semua pemegang taruh yang berkaitan.

“Tempoh ujian ini akan berlangsung sehingga PeKa B40 dilancarkan sepenuhnya kelak,” katanya.

Selain manfaat utama saringan kesihatan, PeKa B40 juga memberikan bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

Dzulkefly berkata, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berdaftar, berumur 50 tahun dan ke atas dalam 2019 automatik layak untuk menyertai skim ini secara percuma dan tiada pendaftaran khusus.

Semakan kelayakan dan pelbagai matlumat lanjut boleh didapati di laman web PeKa B40 di alamat www.pekab40.com.my atau dengan menghubungi 03-2730 7575.