Categories
NASIONAL

KKM umum PeKa B40 bermula esok

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 APR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) akan bermula di seluruh negara, esok.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, PeKa B40 memberi fokus kepada jalinan kerjasama awam-swasta dalam membantu kumpulan B40 dengan mengutamakan perkhidmatan klinik perubatan swasta umum yang sudah berdaftar.

Beliau berkata, sehingga 12 April lalu, terdapat 423 klinik swasta umum (GP) yang telah berdaftar bagi skim PeKa B40 sebagai ‘Klinik PeKa B40’.

“Penerima yang layak boleh menjalankan saringan kesihatan di klinik GP yang memaparkan pelekat khusus PeKa B40.

“Pada masa yang sama, lain-lain klinik GP diseru untuk berdaftar secara atas talian untuk turut menjadi Klinik PeKa B40.

“Ia bagi memudahkan penerima skim ini menjalankan saringan kesihatan di klinik berhampiran dengan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pendaftaran sebagai Klinik PeKa B40 akan berterusan selama skim ini berjalan.

“Sebagai permulaan, PeKa B40 akan melalui fasa ujian operasi di mana KKM akan menilai kelancaran logistik dan mendapatkan maklumbalas daripada semua pemegang taruh yang berkaitan.

“Tempoh ujian ini akan berlangsung sehingga PeKa B40 dilancarkan sepenuhnya kelak,” katanya.

Selain manfaat utama saringan kesihatan, PeKa B40 juga memberikan bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

Dzulkefly berkata, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berdaftar, berumur 50 tahun dan ke atas dalam 2019 automatik layak untuk menyertai skim ini secara percuma dan tiada pendaftaran khusus.

Semakan kelayakan dan pelbagai matlumat lanjut boleh didapati di laman web PeKa B40 di alamat www.pekab40.com.my atau dengan menghubungi 03-2730 7575.

Categories
NASIONAL

Skim PeKa B40 masih dalam fasa projek perintis

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Kementerian Kesihatan memaklumkan Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) masih dalam fasa projek perintis dan belum lagi dilancarkan sepenuhnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelancaran diadakan pada 28 Januari lalu adalah sesi pelancaran media yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap skim PeKa B40.

“Kementerian Kesihatan buat masa ini mahu mengkaji penerimaan rakyat serta pemegang taruh lain terhadap skim ini.

“Pembabitan dan sokongan setiap pemegang taruh adalah amat penting bagi memastikan kejayaan skim PeKa B40 iaitu satu inisiatif memberi fokus kepada jalinan kerjasama awam dan swasta melalui pembiayaan daripada dana kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini, lapor BERNAMA.

PeKa B40 yang dibiayai sepenuhnya kerajaan dengan peruntukan permulaan RM100 juta dijangka mampu memanfaatkan 800,000 penerima.

Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) serta pasangannya berumur 50 tahun ke atas, layak menyertai skim itu secara automatik dan tiada pendaftaran diperlukan.

Dr Dzulkefly berkata, bagi fasa projek perintis skim PeKa B40, pemegang taruh swasta yang akan terbabit dalam proses pemberian manfaat saringan kesihatan kepada pesakit adalah pemilik klinik perubatan am swasta dan syarikat makmal perubatan swasta.

“Selari dengan matlamat saya untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan primier di negara ini, skim PeKa B40 secara langsung akan mempertingkatkan kerjasama antara pengamal perubatan di klinik perubatan am swasta dengan pengamal perubatan di fasiliti perubatan kerajaan.

“Skim PeKa B40 diuruskan sendiri oleh Kementerian Kesihatan melalui ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (PHCorp), sebuah syarikat 100 peratus milik kerajaan dan telah ditubuhkan sebagai syarikat yang tidak berasaskan keuntungan di bawah Kementerian Kesihatan.

“PHCorp bukan sebuah Managed Care Organisation (MCO) atau Third Party Administrator (TPA). Tujuan penubuhannya bagi meluaskan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti dengan mengoptimakan penggunaan ekosistem pembekal kesihatan awam dan swasta sedia ada,” katanya.

Katanya, mulai Februari ini kementerian akan mengadakan beberapa siri pertemuan bersama pihak pemegang taruh yang berkenaan untuk membincangkan pembabitan mereka dalam skim itu.

Beliau berkata, skim PeKa B40 akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kejayaan setiap fasa pelaksanaan serta membina asas skim PeKa B40 yang kukuh sebelum ia diperkembangkan kelak.

“Pelaksanaan skim PeKa B40 adalah komitmen kerajaan Persekutuan untuk memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, mengurangkan beban kos sara hidup serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.