Categories
NASIONAL

Dakwaan akhbar kononnya kaum India dipinggir tidak berasas – KPM

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 2 APR: Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) menafikan laporan sebuah akhbar harian berbahasa Tamil yang mendakwa tiada peluang kerja bagi kaum India di sektor pendidikan.

Menurut kenyataannya yang dikeluarkan hari ini, KPM menyatakan tidak wajar Malaysia Nanban mengeluarkan laporan tanpa menyemak fakta dan maklumat betul.

KPM menjelaskan bahawa urusan pengambilan kakitangan sektor pendidikan tidak diuruskan oleh pihaknya tetapi diurus Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik.

“Dari segi keperluan pengambilan yang dikemukankan kepada SPP, KPM tidak pernah menetapkan sebarang syarat pengisian jawatan berasaskan diskriminasi kepada mana-mana kaum, kepercayaan atau jantina dalam mengambil kakitangan awam di semua peringkat.

“Kami dimaklumkan SPP juga melaksanakan proses pengambilan secara profesional dan penuh berintegriti berdasarkan merit kelayakan seorang calon,” katanya.

Pada masa sama, KPM turut menyifatkan laporan itu tidak berasas dan cuba mencetuskan persepsi negatif terhadap pihaknya.

Katanya, KPM dan SPP tidak meminggirkan mana-mana kaum kerana sektor pendidikan merupakan bidang yang memerlukan penglibatan semua rakyat Malaysia bagi menyediakan pendidikan berkualiti.

Pada 31 Mac lalu, Malaysia Nanban mendakwa kaum India dipinggirkan dan tidak berpeluang kerja di sektor pendidikan.