Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan SPM diumum 5 Mac

SHAH ALAM, 27 FEB: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 membabitkan 416,416 calon akan diumumkan 5 Mac ini, kata Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kementerian dalam kenyataan hari ini memaklumkan calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing bermula 10 pagi atau melalui perkhidmatan mySMS dengan menaip SPMAngka Giliran dan hantar ke 15888.

“Perkhidmatan akan mula diaktifkan pada 10 pagi, 5 Mac ini dan ditamatkan pada 6 petang, 11 Mac. Calon juga boleh menyemak keputusan melalui portal Lembaga Peperiksaan Malaysia di sppat.moe.gov.my/semakan,” kata kenyataan itu.

Kementerian berkata calon persendirian pula akan dimaklumkan melalui pos atau berhubung dengan Jabatan Pendidikan Negeri, bergantung kepada tempat mendaftar ketika menduduki peperiksaan.

Seramai 416,416 calon mendaftar untuk menduduki SPM di seluruh negara dengan 357,010 calon adalah sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Selain itu, 8,320 calon di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah menengah agama negeri (8,317), sekolah menengah agama rakyat (2,209), sekolah swasta (14,203) manakala calon persendirian (26,357).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Pendaftaran pelajar dari Hubei ditangguhkan

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan sementara pendaftaran pelajar dari beberapa kawasan di wilayah Hubei, termasuk ibu negerinya Wuhan di semua institusi pendidikan di negara ini susulan penularan koronavirus 2019.

KPM dalam kenyataan memaklumkan penangguhan dibuat sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak, namun pelajar dari wilayah lain di China dibenarkan mendaftar untuk belajar di Malaysia dengan pemantauan rapi daripada institusi pendidikan terlibat.

“Semua warga pendidik dan pelajar warganegara dan bukan warganegara yang tiba dari China perlu melalui saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa negara dan mematuhi arahan selanjutnya yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pantau status kesihatan semua warga pendidik dan pentadbir serta pelajar yang membuat lawatan dari China melalui institusi pendidikan masing-masing,” kata KPM.

Kementerian memaklumkan akan sentiasa bekerjasama dengan KKM dan semua agensi terlibat dalam memastikan kesihatan warga pendidik, pentadbir dan pelajar di semua institusi pendidikan diberi perhatian.

Pada 27 Januari lalu, kerajaan mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta kawasan sekitarnya berkuat kuasa serta-merta.

Sehingga kini, sebanyak lapan kes disahkan positif koronavirus di negara ini semuanya membabitkan warganegara China.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Arahan tidak benar edar komik berdasarkan undang-undang

PONTIAN, 20 OKT: Tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak membenarkan pengedaran buku komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ kepada institusi pendidikan termasuk sekolah adalah berlandaskan undang-undang, kata Menterinya Dr Maslee Malik.

“Bab percetakan ini di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) jadi kita bertindak atas nasihat KDN.

“Sebarang komik politik, buku politik atau propaganda untuk diedar ke sekolah, kalau boleh kena melalui salurannya, kalau boleh melalui KDN kerana kita mempunyai undang-undang.

“Kita bertindak atas landasan kedaulatan undang-undang. Apa-apa hal, kita kena rujuk kepada KDN kerana bahan cetak ini ada dia punya akta sendiri,” katanya.

Maszlee berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Sekolah 2020 oleh Yayasan Harapan Pontian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kerang, di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung 43 pemimpin akar umbi, termasuk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri daripada DAP, semalam, yang membantah pengumuman melarang pengedaran komik berkenaan daripada memasuki sekolah.

Jumaat lalu, KPM melalui kenyataan menegaskan pihaknya tidak pernah memberi kebenaran dan kelulusan untuk pengedaran buku komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ kepada institusi pendidikan termasuk sekolah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KPM tidak terburu-buru mansuh aliran sastera, sains

PONTIAN, 20 OKT: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak terburu-buru berhubung pemansuhan aliran sastera dan sains bagi pelajar Tingkatan Empat sebaliknya sedang meneliti segenap aspek termasuk libat urus dan penggajian.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata pihaknya akan mengumumkan berkenaan pemansuhan itu apabila tiba masanya.

“Kita (KPM) tidak buat apa-apa pengumuman dasar (mengenai pemansuhan). Apa yang berlaku adalah semasa ucapan saya di Jerman, pada sesi townhall. Laporan yang diberikan itu menggambarkan seolah-olah ia adalah (pemansuhan) satu pengumuman dasar, tetapi sebenarnya belum (pemansuhan).

“Kita mengatakan bahawa di masa depan, kita ingin memastikan supaya pelajar tidak terkongkong dengan aliran-aliran, contohnya, ada pelajar sains yang boleh mengambil subjek sastera manakala ada pelajar sastera yang boleh ambil subjek sains. Tetapi laporan itu macam seolah-olah kenyataan dasar. Kita akan umum kalau sudah sampai masanya, akan buat kenyataan dasar,” katanya.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Jom Sekolah 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kerang, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Majlis Profesor Negara (MPN), yang menasihati kerajaan agar tidak tergesa-gesa untuk melaksanakan pemansuhan aliran sastera dan sains bagi pelajar Tingkatan Empat mulai tahun depan.

Presiden MPN Prof Datuk Dr Raduan Che Rose, dilaporkan berkata langkah itu dikhuatiri memberi implikasi terhadap kursus di peringkat universiti selain bertentangan dengan langkah Kementerian Pendidikan menggalakkan mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Maszlee berkata KPM menerima input daripada pelbagai pihak dalam usaha penambahbaikan sistem pendidikan yang ada.

Katanya pemansuhan aliran itu juga merupakan sebahagian daripada hasil laporan jawatankuasa kajian dasar yang ditubuhkan kabinet, yang diminta Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Yang mana kalau kita lihat trend pendidikan dunia pada hari ini iaitu pembelajaran rentas aliran.

“Yang mana kita tahu, dalam tempoh 10, 20 atau 30 tahun ke hadapan nanti, banyak pekerjaan yang berlaku rentas bidang. Contohnya, agriculture, di masa hadapan akan muncul agro teknologi yang memerlukan petani mempunyai literasi dari segi teknologi, kita tahu penggunaan robotik, dron ini memerlukan pendedahan kepada literasi digital,” katanya.

Menurut Maszlee, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, didapati tidak ramai pelajar memasuki aliran sains kerana memerlukan keputusan baik, sedangkan terdapat pelajar sastera yang mungkin meminati subjek biologi.

“Maka, kita ke arah untuk membenarkan contohnya, pelajar daripada aliran sastera mengambil aliran sains. Kita tahu ada kalangan pelajar aliran sains yang begitu mahir dan cemerlang dalam kesusasteraan tetapi sistem yang ada hari ini tidak membenarkan mereka.

“Rentas aliran ini adalah trend masa hadapan dan global. Mahu atau tidak mahu, kita kena siapkan diri ke arah tersebut,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Jerebu: Lima sekolah swasta di Selangor ditutup

SHAH ALAM, 17 SEPT: Lima sekolah swasta di negeri ini ditutup susulan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada paras sangat tidak sihat sehingga hari ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia dalam kenyataan berkata, sekolah terbabit ialah Straits International School, Rawang; Tenbi International School Setia Ecohill, Semenyih dan Tanarata International School di Kajang.

Turut ditutup ialah Cempaka International School Cheras dan King Henry VIII School di Cyberjaya.

“Penutupan itu membabitkan 1,843 murid secara keseluruhannya,” kata kenyataan itu.

Selain Selangor, empat sekolah swasta di Kuala Lumpur turut ditutup antaranya Sri Utama School, Garden International School dan Eaton International School.

Sementara Putrajaya pula ialah International Modern Arabic School dan Nexus International School, di Negeri Sembilan pula hanya satu sekolah swasta ditutup.

Terdahulu, laporan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) bagi kawasan Johan Setia, Klang didapati semakin meningkat iaitu 238 sehingga 12 tengahari ini.

Sementara bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Klang pula semakin membimbangkan iaitu pada paras 197 menghampiri tahap udara sangat tidak sihat.

Kuala Selangor pula 191, Banting mencatatkan bacaan 183, Shah Alam 173 dan Petaling Jaya 163, sekali gus mencatatkan kualiti udara tidak sihat.

Categories
NASIONAL

Tambahan tempat matrikulasi tidak jejas lepasan STPM ke UA

PUTRAJAYA, 20 MEI: Pertambahan sebanyak 15,000 tempat untuk program Matrikulasi yang diputuskan Kabinet baru-baru ini tidak akan menjejaskan pengambilan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke peringkat ijazah pertama di universiti awam (UA).

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini berkata kementerian mengamalkan prinsip meritokrasi dalam pengambilan pelajar.

“Berdasarkan prinsip ini, semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal diberi peluang untuk mengikuti pengajian di IPTA (institusi pendidikan tinggi awam),” katanya.

Menjelas lanjut, KPM berkata calon-calon yang layak dan memenuhi syarat am dan syarat khas program pengajian serta kriteria pemilihan yang telah ditetapkan akan dipertimbangkan berdasarkan kepada pilihan program pengajian yang dipohon.

Katanya proses pemilihan pelajar bergantung kepada pengiraan markah merit iaitu 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.

Menurut KPM, markah akademik bagi kedua-dua lepasan STPM dan Matrikulasi adalah berdasarkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) yang diperoleh calon yang memohon.

“Kejayaan mendapat tempat di UA bergantung sepenuhnya kepada markah merit, tempat yang disediakan serta kelayakan calon dan bukannya bergantung kepada kategori calon tersebut,” katanya.

Selain itu, KPM berkata bilangan tempat yang boleh ditawarkan juga bergantung kepada prasarana dan kapasiti UA.

KPM berkata dalam tempoh dua tahun sejak 2017, tawaran untuk lepasan STPM telah menunjukkan pertambahan sebanyak 4,242 (21.07 peratus), manakala lepasan Matrikulasi meningkat sebanyak 1,981 tawaran (10.83 peratus) pada sesi 2018/2019.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Permohonan pencalonan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu dibuka

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 29 APRIL: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuka permohonan pencalonan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) 2019, bermula 29 April sehingga 31 Julai ini.

KPM dalam kenyataan berkata, program yang diperkenalkan sejak 2012 itu adalah inisiatif strategik Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Universiti Awam (UA) 2016-2020.

Katanya, langkah itu sekali gus menjadikan Bahasa Melayu kekal sebagai saluran pembangunan ilmu, penyampaian maklumat dan komunikasi di Malaysia.

“Pada masa sama, ia mengiktiraf ahli akademik UA yang memperlihatkan pencapaian cemerlang dalam penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

“Sejak 2012, seramai lima ahli akademik dinobatkan sebagai tokoh akademik Bahasa Melayu terdiri daripada pelbagai bidang termasuk saintis dan pakar perubatan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari www.moe.gove.my/atabm atau e-mel urus setia [email protected].

Categories
NASIONAL

Dakwaan akhbar kononnya kaum India dipinggir tidak berasas – KPM

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 2 APR: Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) menafikan laporan sebuah akhbar harian berbahasa Tamil yang mendakwa tiada peluang kerja bagi kaum India di sektor pendidikan.

Menurut kenyataannya yang dikeluarkan hari ini, KPM menyatakan tidak wajar Malaysia Nanban mengeluarkan laporan tanpa menyemak fakta dan maklumat betul.

KPM menjelaskan bahawa urusan pengambilan kakitangan sektor pendidikan tidak diuruskan oleh pihaknya tetapi diurus Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik.

“Dari segi keperluan pengambilan yang dikemukankan kepada SPP, KPM tidak pernah menetapkan sebarang syarat pengisian jawatan berasaskan diskriminasi kepada mana-mana kaum, kepercayaan atau jantina dalam mengambil kakitangan awam di semua peringkat.

“Kami dimaklumkan SPP juga melaksanakan proses pengambilan secara profesional dan penuh berintegriti berdasarkan merit kelayakan seorang calon,” katanya.

Pada masa sama, KPM turut menyifatkan laporan itu tidak berasas dan cuba mencetuskan persepsi negatif terhadap pihaknya.

Katanya, KPM dan SPP tidak meminggirkan mana-mana kaum kerana sektor pendidikan merupakan bidang yang memerlukan penglibatan semua rakyat Malaysia bagi menyediakan pendidikan berkualiti.

Pada 31 Mac lalu, Malaysia Nanban mendakwa kaum India dipinggirkan dan tidak berpeluang kerja di sektor pendidikan.

Categories
NASIONAL

Fenomena Vorteks Kutub, semua pelajar Malaysia di Midwest disah selamat

PUTRAJAYA, 1 FEB: Education Malaysia Chicago mengesahkan semua pelajar Malaysia di sekitar Midwest, Amerika Syarikat selamat berikutan keadaan cuaca sejuk melampau yang jarang berlaku di wilayah terbabit, dikenali sebagai fenomena Vorteks Kutub.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, Education Malaysia Chicago akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan menasihatkan pelajar supaya sentiasa berada di kawasan selamat dan tertutup sepanjang tempoh cuaca sejuk melampau itu.

KPM berkata, fenomena Vorteks Kutub membawa angin sejuk melampau menyebabkan suhu menurun sehingga -53 darjah Celsius dan berpotensi mengancam keselamatan dan nyawa.

“Keadaan ini boleh menyebabkan seseorang terkena reput fros jika terdedah di tempat terbuka selama 10 minit.

“Education Malaysia Chicago akan terus memantau kebajikan dan keselamatan pelajar Malaysia di sekitar Midwest melalui persatuan pelajar Malaysia di universiti dan institusi berkenaan, khususnya sepanjang tempoh keadaan cuaca sejuk melampau terbabit.

“Pihak berkuasa di Illinois telah mengeluarkan perintah darurat bagi mengawal keadaan dan bagi mengurangkan perkara tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

KPM berkata, kebanyakan syarikat dan premis perniagaan mengarahkan pekerja mereka bekerja dari rumah, selain banyak sekolah dan institusi pendidikan ditutup.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Tiada program sendiri, PERMATA ‘lubuk’ peruntukan?

manivanan gowinKUALA LUMPUR, 24 SEPT : Seorang ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) hari ini mempertikaikan fungsi Permata Negara yang didakwa gagal memenuhi misi dan visi penubuhannya sebagai institusi mempelopori keperluan pelajar pintar.

Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin berkata, institusi di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri itu menerima peruntukan RM150 juta tahun ini tetapi tidak menonjolkan program khusus yang memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Sebaliknya, dakwa beliau, sejumlah RM77 juta dari peruntukan itu disalurkan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) untuk projek menaiktaraf 313 tadika, RM16 juta kepada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan RM9 juta kepada Kerajaan Sarawak.

RM20 juta lagi dipulangkan kepada Kerajaan Pusat.

“Saya terkejut kerana Permata tiada program sendiri tetapi perlu menumpang KEMAS, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan sebagainya,” soal Manivanan.

Beliau melahirkan kebimbangan kerana situasi ini seolah-olah Permata dijadikan lubuk untuk mengambil peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

“Saya nampak Permata digunakan sebagai saluran untuk ambil peruntukan daripada kerajaan dan beri kepada badan lain. Bukankah KEMAS sepatutnya mendapat peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah untuk membaiki, menaik taraf dan sebagainya?” soal Manivanan.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Kerajaan Pusat yang menempatkan Permata di bawah JPM dan bukannya di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia berikutan penubuhannya terarah kepada pendidikan.

“Ini sudah jelas bahawa Kerajaan seharusnya memansuhkan Permata dan memindahkan fungsinya kepada Kementerian Pendidikan Malaysia atau pun memindahkan terus Permata kepada pihak kementerian,” katanya.