Categories
RENCANA

Permintaan tebu tinggi menjelang Ramadan

KULIM, 6 APRIL: Pengusaha tanaman tebu kini menghadapi masalah bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap tanaman kontan itu menjelang bulan Ramadan Mei depan.

Pengusaha ladang tebu di Kampung Naga Lilit di sini, Yusuf Mohd Nayan, 39, berkata beliau sudah mula menerima tempahan daripada pelanggan seawal 40 hingga 50 hari sebelum tibanya Ramadan dan mengakui ada tempahan terpaksa ditolak kerana tanamannya yang terhad.

“Tempahan awal ini penting, kalau lambat pasti gigit jari, stok tebu sangat terhad ketika bulan puasa kerana permintaan sangat tinggi di kalangan peniaga air tebu kerana air tebu merupakan minuman popular untuk berbuka,” katanya ketika ditemui Bernama di ladangnya di sini.

Yusuf yang mengusahakan 0.8 hektar tanaman tebu sejak lebih tiga tahun lalu berkata peniaga air tebu biasanya akan membuat tempahan dalam kuantiti yang banyak bagi memastikan bekalan mereka mencukupi sepanjang bulan puasa.

“Sekali orang tempah dalam 500 kilogram, ada yang tempah sehingga dua tan bagi memastikan bekalan mereka mencukupi,” katanya.

Yusuf berkata pada bulan selain Ramadan, beliau hanya mampu menjual antara dua hingga tiga tan metrik tebu sebulan, namun untuk bulan puasa, setiap hari jualannya boleh mencecah sehingga 500 kilogram dan tanamannya habis dalam tempoh singkat.

Pengusaha tebu dari Bandar Baharu, Azhar Suleiman, 43, turut mengakui beliau juga mungkin tidak mampu memenuhi permintaan bekalan tebu daripada semua peniaga air tebu sepanjang Ramadan.

KULIM, 6 April — Pengusaha tebu di Kmapung Naga Lilit, Yusuf Mohd Nayan, 39, menunjukkan tebu merah yang mampu mencecah berat sekilogram jika cukup matang.
Tebu itu dijual pada harga RM1 untuk setiap kilogram dan mendapat permintaan tinggi untuk keperluan sepanjang Ramadan.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagaimanapun, katanya beliau akan cuba membuat persiapan bagi memastikan permintaan pelanggan dapat dipenuhi dengan menyediakan stok bekalan tebu bermula tiga hingga empat bulan sebelum tibanya Ramadan.

“Tebu akan matang dalam tempoh antara 100 hingga 120 hari, jadi saya perlu merancang kitaran tuaian tebu supaya bekalan pada bulan puasa dapat disediakan semaksimum mungkin,” katanya.

Sementara itu, peniaga air tebu Ramlan Ishak, 49, berkata bekalan tebu sepanjang Ramadan memang sukar diperolehi jika terlambat membuat tempahan daripada pengusaha ladang tebu.

“Tahun ini saja saya tempah hingga 700 kilogram untuk kegunaan sepanjang Ramadan kerana permintaan terhadap air tebu meningkat berkali ganda dan setiap hari saya mampu jual 200 hingga 250 bungkus di bazar Ramadan,” katanya. -BERNAMA