Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor bangun sistem pengurusan geospatial

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 APRIL: Anak syarikat milik penuh Pemerbadanan Menteri Besar, SmartSel Sdn Bhd (SmartSel), memeterai perjanjian kerjasama dengan IMOSS Technology Sdn Bhd (ITSB) dalam usaha membangunkan Sistem Pengurusan Geospatial Selangor (SelGems) menggunakan teknologi LiDAR dan pemetaan imej digital di Selangor.

SmartSel dalam kenyataan memaklumkan, usahasama itu menyasarkan pembangunan pangkalan data geospatial Selangor secara komprehensif dan mampu diguna pakai serta diaplikasikan secara meluas ketika pengurusan bencana, pemuliharaan alam sekitar serta pemetaan utiliti bagi menyokong konsep Selangor Lestari serta pembangunan seimbang negeri terbabit.

Katanya, usaha SelGems itu dijangka akan menyumbang ke arah perancangan pembangunan menyeluruh serta kecekapan yang lebih besar dalam penggunaan tanah Selangor.

“Selangor percaya bahawa tumpuan terhadap kemampanan merupakan kunci untuk pembangunan yang lebih inklusif.

“Melalui sistem pengurusan geospatial berpusat semua agensi kerajaan, pihak berkuasa, sektor swasta dan pihak berkepentingan masyarakat yang berkaitan akan dapat mengakses data geospatial dan menyeluruh untuk perancangan, membuat keputusan, pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya.

Pada masa sama SmartSel berkata, perspektif pelaburan asing juga ditangani melalui ketersediaan maklumat yang terkini dan relevan.

Katanya, ia sekali gus memberi Selangor kelebihan penting apabila pelabur mengenal pasti dan memilih industri yang sesuai untuk dibangunkan di negeri itu.

“Usaha ini akan membantu kesejahteraan rakyat melalui peningkatan keselamatan dan kesihatan alam sekitar selain manfaat lain,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, SMARTSEL dan ITSB akan memulakan projek perintis untuk menjalankan kajian LiDAR di sepanjang Sungai Klang untuk menganalisis aliran air sungai, tadahan, sumber kemungkinan polusi dan garis banjir untuk membantu Selangor dalam pengurusan bencananya perancangan, pemantauan alam sekitar dan pembangunan projek ‘Selangor Maritime Gateway’ (SMG).

Perjanjian kerjasama itu ditandatangani ketika berlangsungnya Pameran Maritim dan Udara Antara­bangsa Langkawi 2019 (LIMA) baru-baru ini.

SmartSel diwakili Pengarah Urusan, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir, manakala ITSB diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Pertukaran dokumen perjanjian itu Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor, Raja Shahreen Raja Othman.