Categories
SELANGOR

MPSJ anjur gotong royong basmi denggi Ahad ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 APR: Penduduk di sekitar Subang Jaya dipelawa menyertai Program Gotong-Royong Perdana Basmi Denggi, di Padang Balai Masyarakat JKP Zon 8, Jalan Tempinis, Kampung Tengah A, Batu 13, Puchong, pada Ahad ini.

Program anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bersama Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu bermula jam 7 pagi.

Gotong-royong bersepadu itu turut mendapat kerjasama Skuad COMBI Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Pejabat Kesihatan Daerah Petaling (PKD), Jabatan Bomba dan Pernyelamat (Bomba), Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) serta pelajar Sekolah Tahfiz dari Kg Tengah, Bukit Lanchong serta Kem TUDM Kinrara.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, pelbagai aktiviti diadakan seperti senam robik, pertandingan mewarna kanak-kanak, gotong-royong, pameran kesihatan dan denggi serta semburan kabus (fogging).

“Kita berharap penduduk di kawasan berkenaan akan sama-sama turun padang seawal jam 7 pagi bagi menjayakan program ini selain memberi kebenaran kepada pihak berkuasa tempatan untuk memasuki rumah bagi tujuan pemeriksaan

“Kita mahu memusnahkan tempat yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, sebanyak 99 kes denggi dicatatkan di kawasan Kampung Tengah, Puchong, di sini sejak Januari hingga 7 April lalu sekali gus menjadikannya lokasi denggi tertinggi diterima MPSJ.