Categories
NASIONAL

SPR seru pengundi keluar awal lunas tanggungjawab

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 11 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru kepada semua pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Sabtu ini.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, pengundi dinasihatkan merancang masa dan keluar awal pagi serta tidak memilih untuk keluar mengundi di saat-saat akhir.

“Bagi pengundi yang menerima Kad Pengundi (Voter’s Card) atau mengetahui maklumat pengundian boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu membuat semakan di barung semakan SPR.

“Bagi yang tidak menerima Kad Pengundi atau belum mengetahui maklumat pengundian, disarankan membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SPR turut mengingatkan kepada pengundi supaya membawa kad pengenalan dan Kad Pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Ia bertujuan memudahkan semakan dibuat serta melancarkan proses pengundian pada hari terbabit. Pengundi juga dinasihatkan tidak menyerahkan kad pengenalan kepada pihak selain daripada petugas pilihan raya,” katanya.

Semakan berkaitan maklumat pengundian boleh dibuat melalui portal rasmi SPR (www.spr.gov.my), telefon ke talian 03-88927018, aplikasi MySPR Semak dan SMS ke 15888 (taip SPR<jarak>SEMAK<jarak>NO.KAD PENGENALAN).

Ketika membuat semakan, pengundi disarankan mencatat dan menyimpan maklumat berikut, iaitu pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

Seramai 20,793 pengundi biasa layak mengundi pada 13 April ini daripada 20,804 jumlah keseluruhan pengundi. Manakala 11 daripadanya mengundi secara pos.

Waktu mengundi adalah bermula jam 8.00 pagi sehingga 5.30 petang.