Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Peniaga bazar Ramadan abai kebersihan disenarai hitam – MPSJ

OLEH SHEEDA FATHIL

PUCHONG, 11 MEI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) optimis peniaga di bazar Ramadan menjaga kebersihan dan mengikut syarat yang sudah ditetapkan pihak berkuasa tempatan terbabit.

Pengarah Jabatan Perlesenan MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, bagaimanapun mereka yang tidak menjaga kebersihan tapak niaga berpotensi disenarai hitam.

“Mereka yang tidak menjaga kebersihan atau tidak mengikut syarat berpotensi disenarai hitamkan untuk permohonan bazar pada tahun akan datang.

“Kita sarankan peniaga supaya mematuhi syarat ditetapkan MPSJ dan apabila sudah selesai berniaga kumpulkan sampah di satu tempat, pastikan tidak berterabur bagi memudahkan kontraktor kutip.

“Malah, banyak keuntungan yang mereka perolehi sekiranya mengikut syarat ditetapkan MPSJ antaranya bakal menerima Anugerah Peniaga Contoh Bazar Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Pelancaran Kempen Bebas Penyedut Minuman Plastik di Majlis Kunjungan Mesra Bazar Ramadan Mampan MPSJ 2019 di Bazar Ramadan Bandar Kinrara, Jalan BK 5 A/1, di sini.

Turut hadir, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru merangkap Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han.