Categories
GLOBAL

Trump tawar jumpa Jong-un di sempadan Korea

WASHINGTON, 29 JUN: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menawarkan untuk bertemu Kim Jong-un di sempadan antara Korea Selatan dan Korea Utara, tulisnya di Twitter, lapor agensi berita Yonhap.

Trump mengemukakan tawaran itu pada Sabtu (waktu Jepun), beberapa jam sebelum beliau dijadual melawat Seoul selepas menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Osaka, Jepun.

“Selepas beberapa mesyuarat penting, termasuk pertemuan dengan Presiden Xi dari China, saya akan berlepas ke Korea Selatan (dengan Presiden Moon),” tulis Trump.

“Di sana nanti, jika Kim membacanya, saya bersedia bertemu dengannya di sempadan.”

Berikutan itu timbul spekulasi mengatakan Trump mungkin akan bertemu Jong-un di Zon Bebas Tentera (DMZ) semasa melawat Seoul, pada Sabtu dan Ahad.

Terdahulu, pada Rabu di Washington Trump menafikan beliau merancang bertemu Jong-un.

Namun, pada pertemuan dengan putera mahkota Arab Saudi di Osaka, Trump mengesahkan akan ke DMZ.

“Kami akan ke sana. Jika dia (Kim) ada di sana, kami mungkin akan bertemu selama dua minit,” katanya.

Andai kedua-dua pemimpin itu bertemu, ia akan menjadi pertemuan ketiga, selepas sidang kemuncak pertama di Singapura Jun lalu dan kedua di Vietnam pada Februari.

-BERNAMA