Categories
GLOBAL

Trump tawar jumpa Jong-un di sempadan Korea

WASHINGTON, 29 JUN: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menawarkan untuk bertemu Kim Jong-un di sempadan antara Korea Selatan dan Korea Utara, tulisnya di Twitter, lapor agensi berita Yonhap.

Trump mengemukakan tawaran itu pada Sabtu (waktu Jepun), beberapa jam sebelum beliau dijadual melawat Seoul selepas menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Osaka, Jepun.

“Selepas beberapa mesyuarat penting, termasuk pertemuan dengan Presiden Xi dari China, saya akan berlepas ke Korea Selatan (dengan Presiden Moon),” tulis Trump.

“Di sana nanti, jika Kim membacanya, saya bersedia bertemu dengannya di sempadan.”

Berikutan itu timbul spekulasi mengatakan Trump mungkin akan bertemu Jong-un di Zon Bebas Tentera (DMZ) semasa melawat Seoul, pada Sabtu dan Ahad.

Terdahulu, pada Rabu di Washington Trump menafikan beliau merancang bertemu Jong-un.

Namun, pada pertemuan dengan putera mahkota Arab Saudi di Osaka, Trump mengesahkan akan ke DMZ.

“Kami akan ke sana. Jika dia (Kim) ada di sana, kami mungkin akan bertemu selama dua minit,” katanya.

Andai kedua-dua pemimpin itu bertemu, ia akan menjadi pertemuan ketiga, selepas sidang kemuncak pertama di Singapura Jun lalu dan kedua di Vietnam pada Februari.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Trump tiada rancangan jumpa Jong Un di Korea Selatan

WASHINGTON, 25 JUN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak bercadang untuk bertemu pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un semasa lawatannya ke Korea Selatan lewat minggu ini, lapor agensi berita Yonhap.

Laporan yang memetik kenyataan seorang pegawai kanan pentadbiran AS berkata, Trump akan berkunjung ke Seoul pada Sabtu dan Ahad selepas menghadiri sidang kemuncak Kumpulan 20 di Jepun, yang mendorong spekulasi bahawa satu pertemuan antara Trump dan Kim boleh diatur di sempadan antara Korea.

“Presiden (Trump) berada di sana untuk bertemu Presiden Moon (Jae In),” kata pegawai itu kepada pemberita dalam satu perbualan telefon pada Isnin.

Mengulas lawatan Trump ke zon bebas tentera, beliau berkata butiran jadual presiden itu belum dimuktamad.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Vietnam giat lakukan persiapan sambut Kim Jong Un

HANOI, 23 FEB: Persiapan bagi menyambut kedatangan ketua Korea Utara, Kim Jong Un, yang dijangka tiba minggu depan dengan menaiki kereta api untuk menghadiri sidang kemuncak bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sedang giat dilakukan pihak berkuasa.

Kedua-dua pemimpin itu dijadualkan bertemu di Hanoi, pada 27 dan 28 Februari ini sebagai susulan terhadap pertemuan pertama mereka di Singapura, pada Jun tahun lalu yang berakhir tanpa sebarang kepastian berhubung penghapusan program nuklear Pyongyang.

Di Dandong, timur laut China yang bersempadan dengan Korea Utara, terdapat beberapa isyarat membuktikan kereta api dinaiki Jong Un akan merentasi China dalam perjalanan ke Vietnam.

Semua tetamu yang menginap di hotel berhadapan jambatan dinaiki kereta api berkenaan untuk memasuki China juga sudah diarahkan petugas untuk mendaftar keluar.

Hotel Zhonglian yang terletak di sepanjang sungai Yalu dan memisahkan kedua negara itu juga akan ditutup, bermula hari ini.

Sumber memberitahu, Jong Un dijangka tiba di Vietnam dengan menaiki kereta api lebih awal sebelum mesyuarat bersama Trump diadakan dan akan melawat dua wilayah bagi meninjau perkembangan ekonomi selepas perang negara terbabit.

“Kami sedang bersiap sedia menyambut ketibaan delegasi Korea Utara sekitar 25 Februari. Kami sedang merangka sambutan mereka di stesen kereta api Dong Dang, sebelum bergerak ke Hanoi dengan menaiki kereta,” kata seorang sumber rapat logistik.

Sumber dan media melaporkan, Jong Un dijangka tiba di Dong Dang dengan merentasi Beijing dari Pyongyang.

Sumber kedua logistik turut mengesahkan ketibaan kereta api berkenaan pada lewat 25 Februari atau 26 Februari.

*Sumber: AFP / Terjemahan: BHOnline

Categories
GLOBAL

Abe mahu jumpa Jong-un, pulih hubungan diplomatik

TOKYO, 28 JAN: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berikrar ‘meleraikan isu kepercayaan bersama’ dalam pertemuan dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, sekali gus memulihkan semula hubungan diplomatik antara dua negara berkenaan.

Ketika berucap pada majlis pembukaan Parlimen, Abe juga berjanji membawa hubungan antara Sino-Jepun ke tahap baharu dan berikrar menyediakan peruntukan bajet yang mampu memperkukuh infrastruktur ekonomi ketiga terbesar dunia itu.

“Saya akan bertindak dengan tegas, tidak akan gagal merebut segala peluang untuk memecahkan kerangka kepercayaan bersama.

“Saya sendiri akan berhadapan dengan Pengerusi Kim Jong-un, untuk menangani isu nuklear dan peluru berpandu dengan Korea Utara, selain isu penculikan,” kata nya.

Bagaimanapun, Abe tidak menetapkan tempoh masa untuk bertemu dengan pemimpin Korea Utara itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu dibuat selepas Jong-un mengarahkan persiapan dibuat menjelang sidang kemuncak kedua dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dijangkakan pada akhir bulan depan.

– AFP

Categories
GLOBAL NASIONAL

‘Perang nuklear’ Trump-Jong-un berterusan

WASHINGTON, 3 JAN: Perbalahan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Korea Utara, Kim Jong-un berkenaan isu nuklear, masih berlangsung sehingga hari ini.

Terbaru, Trump menerusi laman mikro Twitter menegaskan butang nuklear miliknya berfungsi dengan baik, lapor Reuters.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Jong-un mengatakan beliau memiliki butang nuklear lebih besar dan berkuasa.

Terdahulu, pada Isnin, Jong-un secara sinis mengatakan AS kini berada di bawah kawalan senjata nuklear mereka dan butang itu hampir dengannya.

Jong-un turut mengakui apa yang didedahkan itu adalah kenyataan, bukan ancaman.

Categories
GLOBAL NASIONAL

Perang lisan Trump-Jong-Un

WASHINGTON, 23 SEPT: Perang lisan antara Donald Trump dan Kim Jong-Un semakin memuncak selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu menyifatkan pemimpin Korea Utara berkenaan sebagai ‘lelaki gila’, lapor AFP.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Jong-Un memberi isyarat mungkin meletupkan bom hidrogen di Lautan Pasifik.

Beberapa jam sebelum itu, Jong-Un menyifatkan Trump ‘menghadapi masalah mental’ dan ‘nyanyuk’ serta memberi amaran presiden itu akan membayar harga tinggi atas ancamannya memusnahkan Korea Utara jika dicabar.

Perang lisan itu berlaku sehari selepas Washington mengumumkan sekatan lebih ketat bertujuan mengekang program nuklear dan peluru berpandu balistik Korea Utara, pada hujung ucapan Trump di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Dalam ucapan itu, Trump menggelar Jong-Un sebagai ‘Lelaki Roket’ dan menyatakan beliau dalam misi membunuh diri.

Jong-Un turut menyelar Trump dan berjanji akan ‘menjinakkan pemimpin AS yang memiliki masalah mental dan nyanyuk dengan api’ dalam ucapan dibacakan di televisyen oleh pembaca berita dengan imej pemimpin Korea Utara di mejanya.