Categories
AGENDA NASIONAL

Dua suspek baharu video lucah direman empat hari

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Dua suspek terbaharu yang ditahan semalam berhubung penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri, direman empat hari bermula hari ini.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

“Dua suspek itu direman selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu. Tiga tangkapan dilakukan semalam di Pasir Gudang, Johor namun seorang lagi dibebaskan selepas keterangannya diambil,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Permohonan reman bagi kedua-dua suspek dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi tengah hari tadi.

Huzir berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Mahkamah Majistret hari ini ini mengekalkan perintah tahanan reman enam hari yang diputuskan terhadap bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz berhubung video lucah yang tular baru-baru ini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun meminda perintah reman yang dikenakan terhadap lima lelaki yang ditahan bersama Haziq Abdullah daripada enam hari kepada empat hari.

-BERNAMA