Categories
AGENDA NASIONAL

Bapa dua kanak-kanak maut makan sisa makanan dari tong sampah direman 14 hari

ALOR SETAR, 14 FEB: Bapa kepada dua beradik warga Myanmar yang maut selepas dipercayai memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa dekat Bukit Malut, Langkawi, semalam ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata polis menahan lelaki yang berumur 36 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pada pukul 12.05 tengah malam tadi tadi.

Beliau berkata lelaki itu ditahan selepas menyelesaikan urusan berkaitan dua anak lelakinya itu yang dikenali sebagai Nizambudin Jamaludin, 4, dan Ngei, 2, yang maut kira-kira 6.15 petang semalam, dan lelaki itu juga didapati positif dadah.

“Lelaki yang bekerja dengan mengambil upah membaiki kelengkapan bot dan melakukan kerja kampung itu ditahan reman selama 14 hari. Mayat dua beradik itu akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar hari ini untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shariman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata lelaki yang tidak mempunyai rumah sendiri dan menumpang di rumah jiran itu tinggal bersama dua anak lelakinya manakala isterinya dipercayai telah pulang ke negara asal, Myanmar.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Reman penganggur penggal kepala ibu dilanjut empat hari

SHAH ALAM, 22 JAN: Tempoh tahanan reman seorang penganggur yang disyaki memenggal kepala ibunya di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor dilanjutkan empat hari lagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintenden Ramli Kasa berkata reman suspek berusia 28 tahun itu dilanjutkan hingga Selasa depan selepas perintah yang dikeluarkan pada 16 Jan tamat hari ini.

“Jika tiada halangan, suspek itu berkemungkinan didakwa Isnin ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan suspek setelah menerima maklumat mengenai seorang wanita berusia 56 tahun dicederakan anak lelakinya pada 5.45 petang 15 Jan lepas.

Polis turut merampas sebilah parang yang disyaki digunakan dalam insiden itu dan laporan awal ujian air kencing suspek mendapati dia positif dadah jenis metamfetamina serta amfetamina.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Doktor swasta jual sijil vaksin palsu direman lagi

MARANG, 14 JAN: Seorang doktor klinik swasta yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan kes menjual sijil vaksinasi Covid-19 tanpa suntikan sebenar, hari ini direman lagi di Mahkamah Majistret di sini berhubung kes penipuan.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan lelaki berusia 51 tahun itu direman sehingga esok bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Lelaki itu yang memakai kemeja-T berwarna kelabu dan berseluar jeans biru tiba di Mahkamah Marang di sini pukul 9.40 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Supt M Zambri Mahmud ketika dihubungi berkata permohonan reman itu dibuat selepas doktor itu didakwa menerima bayaran untuk membekalkan sijil vaksinasi Covid-19 tanpa suntikan sebenar dengan kadar bayaran tertentu, tetapi gagal menyediakan sijil tersebut kepada pelanggannya.

“Laporan ke atas doktor itu melibatkan pengadu yang menggunakan perkhidmatannya dengan membayar sebanyak RM450 dan dijanjikan dalam masa 14 hari status di MySejahtera mereka (tertera) sebagai penerima vaksin, namun status tersebut tidak bertukar,” katanya.

Pada Sabtu lepas doktor yang mendakwa dirinya antivaksin itu ditahan selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 tanpa suntikan sebenar, namun dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Bagaimanapun polis menahan semula doktor tersebut pada 12 tengah hari semalam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa sebelum ini berkata siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik berkenaan untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu pihaknya masih menyiasat jumlah sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi tanpa suntikan.

Doktor berkenaan dipercayai mengenakan bayaran antara RM400 hingga RM600 kepada individu yang berhasrat mendapatkan sijil vaksinasi tanpa melakukan suntikan yang sebenar.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu kandung, kekasih disyaki dera anak hingga maut direman seminggu

JOHOR BAHRU, 5 DIS: Seorang wanita dan kekasihnya direman seminggu selepas disyaki mendera hingga menyebabkan kematian anak kandung lelakinya yang berusia lima tahun di sebuah rumah di Nusa Bestari dekat Iskandar Puteri, Jumaat lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata wanita berusia 35 tahun dan lelaki berusia 32 tahun itu direman bermula semalam bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Sehingga kini tangkapan kes ini hanya melibatkan dua individu. Mayat mangsa (kanak-kanak lelaki) masih belum dituntut dan berada di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Sebelum ini ibu mangsa merupakan seorang tukang cuci, pernah berkahwin banyak kali namun tidak mendaftarkan perkahwinannya dan mempunyai lapan anak,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandung dan kekasihnya selepas polis menerima panggilan daripada petugas HSA mengenai kejadian itu pada pukul 12.20 tengah hari, Jumaat lepas.

Sementara itu, Ayob Khan berkata pemeriksaan terhadap mayat seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan tidak diketahui jantina yang ditemukan dalam keadaan reput di tebing sungai di Jalan Anggerik Putih Majidee, Kampung Desa Makmur di sini, semalam, tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

Beliau berkata sehingga kini pihaknya masih menunggu laporan lengkap bedah siasat daripada pihak hospital.

“Mayat yang kita jumpa ini tidak sempurna, ada organ yang hilang, kaki pun sudah tiada. Kita masih tidak dapat kesan jantina, bangsa dan sebagainya. Setakat ini tiada elemen jenayah ditemukan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh kakitangan JPJ direman bantu siasatan tiris kutipan cukai jalan

JOHOR BAHRU, 22 FEB: Tujuh kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung urusan cukai jalan yang dipercayai melibatkan ketirisan mencecah RM3.1 juta, dua tahun lalu.

Perintah reman hingga 28 Februari itu dikeluarkan Majistret Nurmadiana Mamat yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kesemua mereka yang terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berumur 27 hingga 42 tahun itu ditahan antara 11 pagi dan 1 tengah hari semalam di pejabat SPRM di sini, bagi membantu siasatan berhubung urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang melibatkan lebih 1,000 jenis kenderaan bermotor.

Menurut sumber, mereka dipercayai telah memanipulasi sistem MYSIKAP bagi urusan cukai jalan LKM dan jumlah ketirisan kutipan cukai jalan JPJ Johor itu dianggar mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019.

Menurut sumber tersebut, kaunter hadapan JPJ dikenal pasti antara yang mudah terdedah kepada aktiviti jenayah terutama membabitkan rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa, dan isu paling kerap berlaku ialah perbuatan salah guna kuasa oleh kakitangan dengan menceroboh sistem JPJ.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 800 individu dikompaun, 71 direman ingkar PKP

SHAH ALAM, 14 FEB: Polis menahan 877 individu semalam atas pelbagai kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, 806 dikompaun dan 71 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan adalah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (253), rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran (177) serta aktiviti pusat hiburan (101).

“Selain itu, tidak memakai pelitup muka (98), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (82) manakala baki 166 lain-lain kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata secara keseluruhan sebanyak 57,918 pemeriksaan semalam dengan kekuatan 14,071 anggota pasukan pematuhan.

Katanya, pemantauan dijalankan di 4,212 pasar raya, restoran (5,630), penjaja (2,385), kilang (1,570), bank (3,650) dan pejabat kerajaan (664).

“Pemantauan turut dibuat di 1,017 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (268) dan terminal pengangkutan udara (76),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kartel daging: Ejen penghantaran terlibat rasuah direman lima hari

JOHOR BAHRU, 12 JAN: Seorang ejen penghantaran daging sejuk beku dikenakan perintah reman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret hari ini, dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah berhubung isu skandal kartel daging.

Perintah reman sehingga 16 Jan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Nur Fathiah Mohd Fedzir yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Lelaki berusia 55 tahun yang direman itu diwakili peguambela dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Lelaki berkenaan ditahan di pejabat SPRM Johor malam tadi bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Tertuduh yang berpakaian baju lokap SPRM berwarna oren, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 8.45 pagi tadi dengan diiringi pegawai SPRM dengan menaiki kenderaan agensi itu.

Semalam, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan lelaki itu pada pukul 8 malam tadi, namun enggan mengulas lanjut berikutan kes masih dalam siasatan.

Pada 4 Jan lepas, empat individu termasuk dua pengarah syarikat-syarikat pengimport daging sejuk beku turut dikenakan reman, kerana dipercayai terlibat dalam kes rasuah dalam aktiviti penyeludupan bahan mentah itu.

Tiga hari kemudian, dua pegawai Maqis ditahan SPRM Johor, kerana disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah berhubung isu aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku dari negara yang dilarang untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Pada 1 Dis tahun lepas, pihak berkuasa menyerbu sebuah kilang di Senai, sekali gus mendedahkan kegiatan kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal, sebelum meletakkan logo halal palsu untuk membolehkannya dijual di pasaran tempatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat individu termasuk pengarah dua syarikat import daging beku direman

JOHOR BAHRU, 4 JAN: Empat individu termasuk pengarah dua syarikat pengimport daging sejuk beku, dikenakan perintah reman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret hari ini, dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah penyeludupan daging sejuk beku, awal bulan lepas.

Perintah reman sehingga 7 Jan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Baharu Nur Izzaty Muhammad, yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Dua lelaki dan seorang wanita yang ditahan merupakan pengarah, pengarah urusan dan kerani dari sebuah syarikat yang diwakili peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan manakala seorang lagi lelaki merupakan pengarah syarikat lain yang diwakili peguam Yap Che Kai.

Kesemua mereka yang berusia antara 39 dan 50 tahun ditahan di pejabat SPRM Johor malam tadi bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Kesemua mereka yang berpakaian baju lokap SPRM berwarna oren tiba di pekarangan mahkamah kira-kira 9 pagi diiringi pegawai SPRM dengan menaiki kenderaan SPRM.

Terdahulu, SPRM menerusi kenyataan memaklumkan sudah mengenal pasti pengimport daging sejuk beku yang dipercayai terbabit dengan rasuah dalam aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku yang dilarang dibawa masuk ke negara ini.

SPRM mendapat kerjasama beberapa agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Empat individu menyamar pegawai SPRM ditahan

PUTRAJAYA, 17 DIS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu yang disyaki menyamar sebagai pegawai kanan SPRM dan timbalan pendakwa raya dan meminta rasuah sebanyak RM60,000 bagi menyelesaikan kes siasatan suruhanjaya itu.

Tiga daripada mereka termasuk perancang utama yang dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ yang mengaku sebagai Pengarah SPRM ditahan dalam satu operasi di sebuah hotel di sini pada jam 4.30 petang semalam, manakala seorang lagi ditahan di rumahnya di Melaka pada jam 8.30 malam tadi.

Empat lelaki itu termasuk seorang pemilik syarikat dan seorang pengarah syarikat berusia 39 hingga 54 tahun, direman enam hari bermula hari ini sehingga 22 Disember setelah SPRM membuat permohonan di hadapan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Menurut sumber SPRM, keempat-empat lelaki yang menyamar itu dikatakan telah meminta wang rasuah kononnya bagi menukarkan pertuduhan ke atas pengadu kepada seksyen kesalahan yang lebih ringan dan membuka semula akaun pengadu yang dikatakan dibekukan oleh SPRM.

“Hasil risikan mendapati ahli kumpulan itu sanggup masuk ke kawasan Ibu Pejabat SPRM untuk mengambil gambar bagi menyakinkan pengadu bahawa mereka ialah pegawai SPRM,” kata sumber SPRM itu, yang menambah kesemua pergerakan mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) bangunan berkenaan..

Menurut sumber SPRM itu, identiti seorang wanita yang merupakan ahli kumpulan itu bagi membantu siasatan telah dikenal pasti dan gerakan mengesannya sedang giat dijalankan.

Pengarah Perisikan SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman, yang mengesahkan penahanan itu, berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana meminta dan menerima rasuah.

Beliau turut menasihatkan agar berhati-hati dengan individu tertentu yang menyamar sebagai pegawai SPRM bagi meminta wang rasuah untuk menyelesaikan kes siasatan SPRM.

“Kegiatan menyamar sebagai pegawai SPRM ini dilihat semakin meningkat sejak kebelakangan ini memandangkan tindakan tegas SPRM menerusi pelbagai operasi yang dijalankan dalam tahun ini.

“Akan ada individu yang mengambil kesempatan menyamar dan meminta wang daripada orang ramai. Ini merupakan satu bentuk scam (penipuan) yang sedang berlaku,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

217 ditahan ingkar PKP, tidak pakai pelitup muka kesalahan tertinggi

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Sebanyak 217 Individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 210 dikompaun manakala tujuh direman, semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tidak memakai pelitup muka mencatat kesalahan tertinggi dengan 99 kes, diikuti dengan kegagalan menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan sebanyak 60 kes.

Kesalahan lain adalah kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal sebanyak 31 kes, aktiviti pusat hiburan (17) dan lain-lain (10), katanya dalam satu kenyataan berkaitan PKP dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata seramai 67 pendatang asing diberkas hasil kawalan ketat sempadan negara secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Turut dirampas dalam operasi itu ialah empat kenderaan darat dan lapan bot, katanya.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Ismail Sabri berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 27 tapak binaan di seluruh negara, dan kesemua mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Sementara itu, beliau berkata sejak 24 Julai hingga semalam, 85,383 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 77 hotel serta 19 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 12,626 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 542 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, sementara 72,215 individu dibenarkan pulang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Reman empat individu terlibat pencemaran Sungai Selangor dilanjut

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Tempoh tahanan reman seorang wanita yang merupakan pengarah di sebuah syarikat pembinaan jalan raya berhubung siasatan kes pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor dilanjutkan sehari lagi sehingga Khamis ini oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini.

Majistret Nur Hafizah Rajuni juga membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman selama enam hari terhadap tiga suspek lelaki sehingga 23 November ini.

Kesemua suspek berumur antara 33 hingga 43 tahun sebelum ini ditahan reman selama tujuh hari mulai 11 Nov lepas untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Wanita itu yang berumur 40 tahun dan lelaki berumur 43 tahun yang merupakan pengarah syarikat itu dan dua lelaki yang seorang daripadanya adalah warga Bangladesh tiba di Kompleks Mahkamah Selayang pada 8.30 pagi dan dibawa masuk ke mahkamah untuk prosiding reman pada 9.30 pagi.

Sebelum ini, media melaporkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 telah dihenti tugas menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang, berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang pada 10 November lepas.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Seorang lagi suspek cemar Sungai Selangor direman tujuh hari

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Seorang lelaki direman tujuh hari mulai hari ini hingga 19 November berhubung kejadian pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor yang menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Lembah Klang, Selasa lepas.

Perintah reman ke atas suspek berusia 58 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Hafizah Rajuni di Mahkamah Majistret Selayang di sini, selepas membenarkan permohonan polis untuk mereman suspek selama tujuh hari.

Lelaki itu direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding reman itu bermula pada 9 pagi dan selesai 9.20 pagi. Suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang pada 8.30 pagi selepas ditahan semalam.

Pada 11 Nov lepas, empat individu termasuk dua pengarah syarikat pembinaan jalan raya berusia antara 33 dan 43 tahun ditahan reman tujuh hari mulai 11 hingga 17 November ini bagi membantu siasatan kes sama mengikut seksyen serupa.

Mahkamah sama mengeluarkan perintah reman itu ke atas seorang wanita berusia 40 tahun dan lelaki berusia 43 tahun yang merupakan pengarah syarikat itu dan dua lelaki yang seorang adalah warga Bangladesh.

Sebelum ini, media melaporkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 telah dihenti tugas menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang, berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang pada 10 November lepas.

-BERNAMA