Categories
NASIONAL

EAC putus urusan kelulusan permit pembinaan dipendekkan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 JUL: Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) memutuskan supaya tempoh urusan mendapatkan kelulusan permit pembinaan dipendekkan dari 390 kepada 90 hari.

Urus Setia EAC, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam kenyataan berkata, perkara itu diputuskan ketika Mesyuarat EAC kali keempat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

Katanya, cadangan itu akan dilaksanakan secepat mungkin dengan menghapuskan syarat tidak diperlukan tanpa membabitkan pindaan undang-undang berkaitan sedia ada.

“Penambahbaikan prosedur mendapat kelulusan permit pembinaan itu bagi mengurangkan kos menjalankan perniagaan sekali gus merancakkan lagi pelaburan swasta,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan, antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat juga adalah langkah segera yang boleh dilaksanakan untuk memacu industri pelancongan negara bagi merangsang ekonomi domestik.

Katanya, strategi memacu industri pelancongan juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan hasil pertukaran asing.

“Antara perkara diberi penekanan adalah usaha meningkatkan produk pelancongan, mempertingkatkan kualiti perkhidmatan, merangka semula kaedah pemasaran, mengukuhkan tadbir urus dan mempergiatkan pelancongan domestik.

“Kerajaan Pakatan Harapan turut mengutamakan langkah segera bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi, memastikan pembangunan yang mampan dan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama seluruh rakyat.

“Kerajaan yakin pelaksanaan langkah segera ini dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara, seterusnya meningkat kesejahteraan rakyat demi kemakmuran bersama,” katanya.