Categories
NASIONAL

EAC putus urusan kelulusan permit pembinaan dipendekkan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 JUL: Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) memutuskan supaya tempoh urusan mendapatkan kelulusan permit pembinaan dipendekkan dari 390 kepada 90 hari.

Urus Setia EAC, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam kenyataan berkata, perkara itu diputuskan ketika Mesyuarat EAC kali keempat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

Katanya, cadangan itu akan dilaksanakan secepat mungkin dengan menghapuskan syarat tidak diperlukan tanpa membabitkan pindaan undang-undang berkaitan sedia ada.

“Penambahbaikan prosedur mendapat kelulusan permit pembinaan itu bagi mengurangkan kos menjalankan perniagaan sekali gus merancakkan lagi pelaburan swasta,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan, antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat juga adalah langkah segera yang boleh dilaksanakan untuk memacu industri pelancongan negara bagi merangsang ekonomi domestik.

Katanya, strategi memacu industri pelancongan juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan hasil pertukaran asing.

“Antara perkara diberi penekanan adalah usaha meningkatkan produk pelancongan, mempertingkatkan kualiti perkhidmatan, merangka semula kaedah pemasaran, mengukuhkan tadbir urus dan mempergiatkan pelancongan domestik.

“Kerajaan Pakatan Harapan turut mengutamakan langkah segera bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi, memastikan pembangunan yang mampan dan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama seluruh rakyat.

“Kerajaan yakin pelaksanaan langkah segera ini dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara, seterusnya meningkat kesejahteraan rakyat demi kemakmuran bersama,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi lancar iklan raya “31 cucu”

SHAH ALAM, 31 MEI: Bersempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menampilkan iklan raya bertajuk 31 cucu.

Video iklan berdurasi 4 minit 10 saat itu mengisahkan Pak Ali yang tinggal berseorangan setelah kematian isteri dan mempunyai 31 orang cucu.

Apabila Aidilfitri menjelang tiba, beliau dikejutkan dengan panggilan telefon yang mengatakan kesemua anak dan cucunya akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya.

Bagi membolehkan beliau memberikan duit raya kepada semua cucunya pada Hari Raya nanti, Pak Ali membuat dan menjual dodol dengan resipi arwah isterinya.

Bantuan dan sokongan orang kampung menjayakan misi raya Pak Ali.

Menariknya, iklan itu turut menampilkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali sebagai “cameo” yang menyaksikannya membeli dodol Pak Ali.

 

Categories
NASIONAL

Tumpu industri baharu, jana ekonomi negara

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan memberi tumpuan kepada pewujudan industri baharu bagi menjana ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi dan relevan mengikut perkembangan semasa.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata teras strategik kedua dalam sektor pertumbuhan baharu itu digariskan dalam perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu untuk memastikan matlamat Kemakmuran Bersama yang dirangka kerajaan Pakatan Harapan dapat dicapai.

“Ledakan teknologi baharu dalam era revolusi industri 4.0 menuntut pelaburan dan mewujudkan kapasiti dalam 15 sektor cadangan sebagai bidang pertumbuhan utama ekonomi, antaranya industri kandungan (hiburan dan digital), hab ASEAN (logistik, teknologi, penyelidikan dan pejabat wilayah) serta pertanian pintar dan bernilai tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin berkata, kementerian juga sudah memulakan langkah perlaksanaan teras strategik keenam iaitu pembangunan wilayah yang inklusif untuk menangani jurang pembangunan antara wilayah.

Justeru, katanya kementerian itu meluluskan projek-projek pembangunan dan infrastruktur bernilai RM4.8 bilion di Kedah dan RM1.4 bilion di Kelantan bagi membangunkan pusat-pusat ekonomi yang komprehensif, di seluruh negara.

-BERNAMA