Categories
AGENDA NASIONAL

EAC fokus 2020 tingkat pelaburan, kukuh produktiviti negara

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) akan memberi tumpuan utama kepada aspek peningkatan pelaburan selain mengukuhkan produktiviti dan inovasi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi pada 2020.

Dalam mesyuarat pertamanya tahun ini yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, Majlis tersebut akan turut memberi perhatian kepada usaha untuk menangani isu pengangguran menerusi penambahbaikan kualiti graduan melalui program latihan peningkatan kemahiram selain menangani isu kos sara hidup.

“Seiring dengan usaha ke arah membangunkan ekonomi digital sebagai persediaan menghadapi era Revolusi Industri 4 (4IR), EAC juga telah memperhalusi cadangan berkaitan pembangunan infrastruktur digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Isu yang dibincangkan termasuk cadangan perkongsian infrastruktur yang bertujuan mengoptimumkan perbelanjaan sedia ada dan membolehkan perkhidmatan kesalinghubungan jalur lebar disediakan dalam tempoh yang lebih singkat,” kata urusetia EAC menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi memastikan sasaran Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dapat dilaksanakan sepenuhnya, semua pihak termasuk syarikat pembekal perkhidmatan, kerajaan negeri, kementerian dan agensi yang berkaitan, digesa memberi kerjasama penuh.

Sementara itu, EAC menjangkakan tahun 2020 akan lebih mencabar ketika kedudukan ekonomi dunia yang masih belum meyakinkan berikutan kemelut perang dagang Amerika Syarikat dan China yang berterusan serta situasi geopolitik serantau yang berpanjangan.

Ketegangan di Timur Tengah juga dilihat boleh menjejaskan harga minyak mentah dunia, yang akan memberi kesan kepada pengeluaran sektor tenaga, katanya.

“Situasi ini mengurangkan keyakinan pelabur untuk melabur di negara membangun, justeru memberi kesan kepada ekonomi Malaysia,” katanya.

EAC berperanan untuk meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat.

Majlis itu ditubuhkan bagi menyahut dan bertindak ke atas maklum balas rakyat terhadap masalah yang di hadapi, khususnya dalam bidang ekonomi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mesyuarat EAC bincang usaha giat semula perniagaan, rancak pelaburan

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) mengadakan mesyuarat kali kelima bagi membincangkan cadangan yang boleh dilaksanakan segera untuk menggiatkan semula aktiviti perniagaan serta merancakkan pelaburan domestik.

Urus Setia EAC, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam kenyataannya berkata, mesyurat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu turut membincangkan cadangan usaha untuk meningkatkan perbelanjaan isi rumah.

“Ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan momentum pertumbuhan dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu,” menurut kenyataan itu.

Isu seperti pembiayaan perumahan, tahap keberhutangan isi rumah dan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana juga turut dibincangkan, katanya.

Mesyuarat EAC semalam juga membincangkan cadangan penambahbaikan Dasar Pendidikan Negara dengan melibatkan semakan semula dasar pendidikan daripada peringkat prasekolah sehingga universiti, menurutnya.

“Cadangan ini akan dibuat dengan mengambil kira pandangan dan input daripada semua pihak pemegang taruh dan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kesejahteraan hidup rakyat turut diberi perhatian.

“Sejajar dengan hasrat itu, Program Sarapan Pagi (PSP) sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dibincangkan ke arah mewujudkan amalan gaya hidup sihat terutama dalam kalangan murid di peringkat awal persekolahan,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

EAC putus urusan kelulusan permit pembinaan dipendekkan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 JUL: Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) memutuskan supaya tempoh urusan mendapatkan kelulusan permit pembinaan dipendekkan dari 390 kepada 90 hari.

Urus Setia EAC, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam kenyataan berkata, perkara itu diputuskan ketika Mesyuarat EAC kali keempat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

Katanya, cadangan itu akan dilaksanakan secepat mungkin dengan menghapuskan syarat tidak diperlukan tanpa membabitkan pindaan undang-undang berkaitan sedia ada.

“Penambahbaikan prosedur mendapat kelulusan permit pembinaan itu bagi mengurangkan kos menjalankan perniagaan sekali gus merancakkan lagi pelaburan swasta,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan, antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat juga adalah langkah segera yang boleh dilaksanakan untuk memacu industri pelancongan negara bagi merangsang ekonomi domestik.

Katanya, strategi memacu industri pelancongan juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan hasil pertukaran asing.

“Antara perkara diberi penekanan adalah usaha meningkatkan produk pelancongan, mempertingkatkan kualiti perkhidmatan, merangka semula kaedah pemasaran, mengukuhkan tadbir urus dan mempergiatkan pelancongan domestik.

“Kerajaan Pakatan Harapan turut mengutamakan langkah segera bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi, memastikan pembangunan yang mampan dan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama seluruh rakyat.

“Kerajaan yakin pelaksanaan langkah segera ini dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara, seterusnya meningkat kesejahteraan rakyat demi kemakmuran bersama,” katanya.

Categories
EKONOMI NASIONAL

BNM: EAC perlu cari kaedah rancak pelaburan awam

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) perlu mencari kaedah bagi pergiatkan lagi pelaburan awam untuk memacu ekonomi negara, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, majlis itu perlu mengkaji insentif sedia ada untuk melihat sama ada ia menarik pelaburan langsung asing yang betul dan sekiranya insentif diberikan kepada syarikat yang betul.

“Kami telah kongsikan dengan kerajaan tentang apa yang boleh dikaji untuk memulihara ekonomi dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun penuh 2018 dan pertumbuhan suku keempat 2018 (4Q18) di sini, hari ini.

Nor Shamsiah turut mengesyorkan supaya EAC menangani isu berkaitan kos sara hidup yang tinggi dengan melakukan kajian terhadap kos itu sendiri, dan bagaimana kerajaan dapat meningkatkan pendapatan dengan menjana lebih banyak kerja perdapatan tinggi, meningkatkan rantaian nilai industri-industri dan menambah baik mobiliti buruh.

“EAC juga perlu berusaha memastikan sistem pendidikan kita mengeluarkan jenis graduan yang betul untuk memenuhi keperluan industri. Ini adalah antara pembaharuan struktur jangka panjang yang perlu kita laksanakan.

“Kita juga perlu lakukan kajian untuk menyokong sektor pelancongan, wang dibelanjakan bagi pelancongan dan bagaimana kita boleh maksimumkan ekonomi semasa untuk meningkatkan pendapatan,” katanya.

Pada Isnin, kerajaan mengumumkan penubuhan EAC 16 anggota, dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anggota majlis itu termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking; Menteri Kerja Raya, Baru Bian; Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid; mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz dan Pengerusi Permodalan Nasional Bhd, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Sementara itu, mengenai pertumbuhan pinjaman Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Nor Shamsiah berkata, langkah mengklasifikasikan semula PKS pada tahun lalu tidak menjejaskan bantuan kewangan diberikan oleh kerajaan kepada syarikat-syarikat.

Pinjaman diberikan kepada PKS meningkat kepada RM80.8 bilion pada 4Q18 daripada RM77.2 bilion pada 3Q18.

Tahun lalu, BNM menerusi pekeliling dalaman mengumumkan entiti senaraian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan anak syarikat mereka tidak lagi diklasifikasikan sebagai PKS dan tidak layak untuk bantuan kerajaan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Penubuhan EAC tepat, tingkat keyakinan rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 FEB: Langkah kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) disifatkan keputusan tepat bagi meningkatkan keyakinan rakyat.

Kakitangan syarikat pemaju perumahan, Nasharuddin Yusuf, 46, berkata, keyakinan rakyat adalah elemen penting dalam usaha kerajaan memulihkan ekonomi sekali gus meningkatkan kebajikan rakyat terbanyak.

“Saya sokong kerana untuk kebajikan rakyat memang baik kerana kerajaan perlu ambil tahu keadaan rakyat yang dalam kesukaran berhadapan kos sara hidup meninggi.

“Lagi pun bagi saya kita cuba tukar kerajaan tahun lalu pun inilah sebabnya iaitu kebajikan rakyat dan kita mintak kerajaan lihatlah keadaan kehidupan rakyat pada masa sekarang ini dan bagaimana untuk atasinya,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Nasharuddin turut menyifatkan pemilihan anggota EAC sebagai tepat berdasarkan pengalaman dan kepakaran masing-masing.

Nelayan, Siew Seow Chiang, 41, pula berharap EAC akan menumpukan usaha meringankan beban rakyat.

“Bagi orang lain saya tak pasti kerana bukan mudah nak puaskan hati semua orang tetapi bagi saya langkah untuk membantu rakyat adalah sesuatu yang baik,” katanya.